Ejen calon dibenar perhati proses kira undi di balai polis

PUTRAJAYA 7 Nov. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membenarkan ejen-ejen calon memerhati proses pengundian pos yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara mulai pilihan raya umum ke-12 ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, SPR juga sedang berunding dengan pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membolehkan ejen-ejen calon memerhati proses pengundian pos yang diadakan di markas-markas atau kem-kem tentera.

“Cara ini diharap dapat menangkis segala tohmahan liar yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kepada SPR, kononnya ada manipulasi atau ketidaktelusan dalam urusan pengundian pos,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak terutama pembangkang mendakwa pengundian pos tidak dilaksanakan dengan adil dan sering memihak kepada parti pemerintah.

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, sistem pengundian pos meragukan kepada tiada kerahsiaan apabila pengundi perlu mengisi borang yang kemudiannya, dimasukkan ke dalam sampul surat yang sama dengan kertas undi.

Menurut Abdul Rashid, beberapa langkah memantapkan sistem dan kaedah pengurusan pilihan raya juga telah diambil secara berterusan termasuk memansuhkan amalan mencatat nombor siri pengundi bermula pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-9 pada 2006.

Katanya, SPR juga telah mempermudahkan urusan pengiraan semula undi apabila membuat satu peraturan baru membenarkan urusan pengiraan semula dibuat di saluran dan bukan di pusat penjumlahan undi bagi membolehkan keputusan pilihan raya diumumkan dengan lebih pantas.

“Bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terutama pengundi bahawa urusan pengundian dibuat secara telus, SPR telah membenarkan sebuah badan bebas, Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) untuk membuat pemantauan di pusat pengundian bermula pada pilihan raya kecil DUN Machap dan DUN Ijok baru-baru ini,” katanya.

0 comments: