Perkasa jawi

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Perwakilan UMNO mencadangkan tulisan jawi harus diperkasakan kembali dalam apa-apa perkara bagi mengingati asal dan nostalgia orang Melayu sebelum ini.

Menurut Exco Wanita UMNO, Senator Datin Paduka Datuk Nor Hayati Onn, tulisan jawi seharusnya diteruskan dari dahulu sehingga bila-bila kerana ia merupakan legenda bangsa melayu.

“Tetapi apa yang saya lihat sekarang bangsa kita sudah tidak mempedulikan jawi dan ada sesetengah individu memang tidak mengenal huruf jawi langsung.

“Berikutan itu, generasi muda turut gagal menguasainya ekoran tiada penerapan dalam diri mereka,” katanya ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai Utusan Melayu Mingguan yang pertama kali mengeluarkan edisi khas UMNO dan diedarkan pada perhimpunan agung kali ini.

Dalam pada itu, Nor hayati juga mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Utusan kerana masih terus menghidupkan akhbar jawi itu.

Bagaimanapun beliau berharap ia dapat dikeluarkan lebih kerap supaya dapat mendidik anak bangsa.

Sementara itu, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman berkata, dalam mengejar kemajuan untuk negara jangan lupa teras asal usul masyarakat melayu.

“Ekoran tulisan jawi merupakan imej dan identiti bangsa Melayu, semua orang patut tahu,” katanya.

Katanya, jika benar masyarakat mahu meneruskan perjuangan bangsa melayu maka perlu berbalik pada asas iaitu tulisan jawi.

“Bagaimanapun, saya lihat kini bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh menguasai jawi tetapi bahasa Malaysia juga sering diperlekehkan.

“Tetapi apabila kerajaan mewujudkan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, barulah saya lihat teras bangsa Melayu diketengahkan semula, tahniah saya ucapkan kepada Menterinya, Datuk Seri Utama Rais Yatim,” jelasnya.

Seorang lagi perwakilan, Suriati Adam, berkata, dia berbangga kerana jawi masih wujud hingga kini walaupun akhbarnya dikeluarkan seminggu sekali.

“Saya bangga kerana Jawi adalah simbol keislaman dan secara tidak langsung ia menunjukkan negara kita masih berpandukan pada konsep Islam walaupun terdapat berbilang kaum,” katanya.

Katanya, dia sendiri sudah lama tidak membaca dalam bahasa jawi, dan hari ini apabila akhbar jawi diedarkan dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya.

“Saya faham bahasa jawi tetapi apabila tidak mempraktikkannya ia menjadi sukar oleh itu, saya ingin terus mempelajarinya kembali,” ujarnya.

0 comments: