|
|
KUALA LUMPUR 11 Okt. – Polis hari ini mengagihkan kepada media salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha untuk menyelesaikan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8.
Rakaman CCTV yang berjaya ditingkatkan kualitinya memaparkan imej seorang lelaki mengangkat beg Diadora berisi mayat Nurin Jazlin dari raga motosikal jenis Modenas Kriss sebelum meninggalkan beg itu di tepi tangga sebuah rumah kedai di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Imej rakaman itu yang sebelum ini kabur telah dihantar ke Makmal Forensik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Washington, Amerika Syarikat pada 27 September lalu dan dibawa pulang semalam.
Gelagat
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, rakaman tersebut turut menyaksikan gelagat mencurigakan seorang wanita memakai baju merah di kaki lima bangunan kedai sederet di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya itu.
Selain itu, turut dirakamkan aksi tiga lelaki yang tiba kemudian menaiki sebuah kereta Perodua Kenari sebelum wanita terbabit meninggalkan tempat tersebut dengan kereta berkenaan.
Menurut Christopher, polis mengambil keputusan untuk menyiarkan rakaman tersebut kepada awam bertujuan mendapat maklumat dan juga kerjasama dari individu-individu yang terdapat di dalam rakaman itu bagi membantu siasatan.
‘‘Kita harap mana-mana pihak yang mungkin mengenali individu-individu tersebut tampil memberikan maklumat dan kerjasama,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Christopher, wanita yang dilihat di dalam rakaman tersebut merupakan wanita seperti fotofit yang dikeluarkan pada 2 Oktober lalu.
‘‘Mengenai lelaki bermotosikal itu dengan fotofit lelaki yang kita edarkan, mungkin orang yang berbeza,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment