Oleh Abdul halim Yusuf
DUA puluh jam selepas pelancarannya, kapal angkasa Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, sedang berlegar di orbit sebelum berlabuh di Stesen Angka Antarabangsa (ISS), tengah malam ini.
Dr Sheikh Muszaphar dan dua lagi krew, komander penerbangan Dr Peggy Whitson dan jurutera penerbangan Russia Yuri Malenchenko dalam berkeadaan baik dan mereka sentiasa menghubungi Pusat Kawalan Misi Russia (MCC) di Moscow.
Pengarah Urusan dan CEO Aeronautic Technology (M) Sdn Bhd, Datuk Ahmad Sabirin Arshad, berkata pesawat itu kini mengelilingi bumi setiap 90 minit dan setiap kali melintasi Moscow, mereka menyampaikan maklumat terkini kedudukan tepat pesawat.
"Ini penting bagi membolehkan MCC terus mengesan mereka, termasuk lintasan seterusnya melalui ruang angkasa Moscow.
"Bila mereka melintasi Moscow, mereka mempunyai antara 10 hingga 15 minit untuk memberi maklumat kemas kini kepada MCC.
"Ini termasuk apa juga yang mereka lihat... bintang, bulan, malah ISS yang mudah dilihat bila pesawat itu melakukan pusingan orbit mengeliling bumi", katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam, mengenai perkembangan terkini ekspedisi angkasa itu.
Sabirin berkata, ISS mengeliling bumi pada kelajuan 7 kilometer sesaat dan pesawat Soyuz perlu terbang pada kelajuan sama bagi membolehkannya melakukan 'docking' atau berlabuh dengan tepat.
"Percantuman pesawat dengan ISS dijangka berlaku pada jam 12 tengah
malam esok (malam ini) dan mereka mempunyai masa antara 10 malam (ini) dan 2 pagi (esok) untuk berbuat demikian," katanya.
Mengenai keadaan angkasawan Malaysia yang akan kembali ke bumi pada 21 Oktober, Sabirin berkata, beliau akan mengalami saat-saat genting bagi tempoh 18 jam pertama selepas berlepas ke angkasa.
"Tetapi kita yakin Dr Sheikh Muszaphar mampu mengatasi keadaan seumpama itu oleh kerana beliau sudah dilatih melakukan demikian, tanpa perlu mengambil ubat," katanya.
Sabirin berkata, beliau tidak bimbang keadaan angkasawan Malaysia itu, oleh kerana beliau terbang bersama dua angkasawan berpengalaman.
Sementara itu, Pengarah Teknikal MCC, Michael Bronin, berkata semua perancangan berjalan lancar dan krew Soyuz sedang membuat persediaan untuk berlabuh di ISS.
"Ketika ini (petang semalam), Soyuz sedang berlegar di angkasa sekitar Lautan Atlantik berhampiran Amerika Selatan manakala ISS berada di kawasan sekitar Afrika Selatan," katanya.
Mengesahkan wujud komunikasi dengan Soyuz, Bronin bagaimanapun tidak dapat menyatakan butirannya kerana ia membabitkan dasar strategik.
"Komunikasi terbuka antara MCC dengan ISS, hanya akan dibuat sesudah semua krew mendarat di ISS," katanya ketika ditemui di MCC, semalam.
Hanya selepas 90 minit berlabuh, pintu kapal angkasa akan dibuka untuk membolehkan krew menyertai rakan mereka di dalam ISS. Ini akan diikuti dengan sidang video antara MCC dan angkasawan di ISS.
0 comments:
Post a Comment