Pemain dakwa hanya RM5,000

Oleh Johari Ibrahim dan Kamudin Baharom

KFA tidak pernah menganaktirikan sesiapa, cuma lewat membayar sehari: Othman

KETIKA Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menjelaskan ia sudah membayar wang imbuhan kepada lapan bekas pemainnya musim lalu berikutan kejayaan pasukan itu menjulang tiga gelaran termasuk Piala Malaysia, ada bekas pemain yang tetap tidak berpuas hati.

Ini berikutan dia hanya menerima bayaran RM5,000, bukannya RM15,000 yang dikatakan diterima pemain utama dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.


Biarpun mengakui KFA ada membuat pembayaran melalui akaun banknya, pemain yang enggan namanya disiarkan mendakwa hanya RM5,000 dimasukkan sedangkan difahamkan skuad itu menerima hadiah antara RM7,500 dan RM15,000 seorang.

"Saya agak terkejut kerana jumlah yang diterima itu cuma RM5,000,

"Pastinya saya sedih dengan apa yang berlaku. Pengurusan pasukan tidak sepatutnya menafikan hak saya untuk menerima jumlah RM15,000 sebagai pemain utama seperti juga rakan lain," katanya.


Terdahulu, Pengurus Kedah, Datuk Othman Aziz, berkata KFA sudah memasukkan wang itu ke dalam akaun lapan pemain yang meninggalkan skuad Hijau Kuning atau digugurkan bagi musim akan datang.

"Semuanya sudah diselesaikan. Mereka sudah menerima wang insentif itu hari ini (semalam)," katanya yang menjelaskan berlaku kekeliruan dalam isu berkenaan menyebabkan bekas pemain mendakwa mereka tidak menerima insentif.

"KFA tidak pernah menganaktirikan sesiapa, cuma kami lewat membayar sehari daripada yang lain.

"Saya kecewa apabila ada dakwaan kononnya kami tidak telus dan tidak berlaku adil serta tidak profesional," katanya sebagai mengulas laporan akhbar semalam mengenai dakwaan lapan bekas pemain termasuk seorang pemain kesebelasan utama, tidak menerima wang insentif yang dijanjikan berikutan kejayaan itu.

"Nama mereka ada dalam senarai cuma kita lewat memberikannya kerana mereka tidak hadir pada majlis menandatangani kontrak pemain import semalam (kelmarin)," katanya.

Beliau berkata bekas pemain berkenaan tidak dijemput menerima insentif itu di Wisma Darul Aman kelmarin kerana pemberian insentif itu 'diselit' dalam majlis menandatangani kontrak dua pemain import baru Kedah, Ronny Harun dan Zairul Fitri.

0 comments: