Junta Myanmar cari duit lelong batu permata

YANGON 11 Okt. - Junta Myanmar akan melelong batu jed dan permata miliknya yang terkenal pada bulan depan meskipun terdapat tindakan boikot kegiatan yang menjadi sumber keuntungan utama kerajaan.

Menurut akhbar New Light of Myanmar, lelongan yang akan diadakan pada 7 hingga 19 November ini, merupakan yang kelima diadakan di negara ini pada tahun ini.

Jualan lelong yang dilakukannya telah berjaya menarik perhatian pembeli seluruh dunia yang akan membelanjakan kira-kira AS$100 juta (RM340 juta) sepanjang tempoh jualan dan menjadikannya sebagai sumber kewangan utama rejim pemerintah itu.

Pengumuman itu dibuat selepas berlaku bantahan antikerajaan terbesar di negara itu dalam tempoh 20 tahun yang disusuli dengan tindakan keras pihak berkuasa sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.

Myanmar, antara negara termiskin di dunia, merupakan penyumbang sebanyak 90 peratus batu delima dan jed di pasaran dunia.

Walaupun Junta Myanmar melakukan banyak sekatan namun berlaku penyeludupan besar-besaran terhadap galian itu ke Thailand sebelum ia dipasarkan ke negara eropah dan barat.

– AFP

0 comments: