Angkasawan Malaysia akan alami mabuk angkasa

Daripada Metra Syahril Mohamed

BAIKONUR, Kazakhstan 11 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kemungkinan mengalami ‘mabuk angkasa’ sebelum berlabuh di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dijadualkan pada pukul 8 malam waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia), esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, selain mabuk angkasa, setiap angkasawan akan mengalami perubahan dari segi tekanan darah dan jantung.

‘‘Beliau (Sheikh Muszaphar) masih baru dan diharap dua krew lain iaitu Peggy Whitson dan Yuri Malenchenko dapat membantu Sheikh Muszaphar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di angkasa,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Malaysia melakar satu sejarah penting apabila angkasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar selamat berlepas menuju ke ISS dari Baikonur Cosmodrome dekat sini pada pukul 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia).

Kejayaan itu meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara-negara yang sejak sekian lama sudah menguasai pengembaraan ke angkasa lepas.

Sheikh Muszaphar akan berada di ISS selama sembilan hari sebelum pulang ke Bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang berada di ISS pada kedudukan kira-kira 333 kilometer dari muka Bumi.

Di ISS, beliau akan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Menurut Dr. Ahmad Sabirin, jika tidak terdapat kesesuaian, roket Soyuz TMA-11 yang dinaiki Sheikh Muszaphar bersama dua krew lain akan mengambil sedikit masa sebelum dapat mendarat dengan sempurna.

Katanya, ketika ini, roket tersebut masih berputar mengelilingi Bumi sehingga berada pada kedudukan yang sama dengan ISS untuk mendarat.

‘‘Roket tersebut tidak boleh terus menuju ke ISS. Ia terpaksa berputar secara perlahan-lahan sebelum berada di kedudukan yang sama dengan ISS.

‘‘Ia akan berputar mengelilingi bumi setiap 90 minit dengan kelajuan 7 kilometer setiap saat iaitu kelajuan yang sama dengan ISS,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Sabirin memberitahu, bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini, krew di roket Soyuz dan ISS akan saling berhubungan untuk membolehkan roket itu dapat mendarat dengan selamat.

‘‘Mereka juga akan mengemaskini kedudukan masing-masing ketika berada tepat di kedudukan atas kawasan Pusat Kawalan Moscow (MCC),” ujarnya.

Sementara itu, rombongan media yang berada buat kali terakhir di bumi Baikonur sebelum berlepas ke Astana dan Moscow diberi peluang untuk melawat Hotel Cosmonaut, hotel yang menempatkan angkasawan-angkasawan ketika mereka menjalani latihan sebelum berlepas ke angkasa.

Hotel itu sebelum ini dikawal ketat dan hanya pihak tertentu sahaja dibenarkan memasukinya.

Media Malaysia juga secara eksklusif diberi peluang memasuki bilik tidur yang pernah menempatkan Sheikh Muszaphar.

Di hadapan pintu bilik itu terdapat tandatangan serta nama beliau.

Rombongan media turut dibenarkan melawat sebuah taman di mana setiap angkasawan yang berjaya pulang ke bumi, akan menanam pokok di taman itu.

Di hadapan pokok tersebut akan diletakkan nama serta tahun angkasawan tersebut menjalankan misi ke angkasa.

Bagi Sheikh Muszaphar, beliau juga akan berbuat demikian sekembalinya dari ISS nanti.

0 comments: