Tiga wasiat Dr. Sheikh Muszaphar

Daripada METRA SYAHRIL MOHAMED


Tangisan bangga... Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan isteri Zuraida Sheikh Ahmad turut menitiskan air mata semasa roket Soyuz TMA-11, yang membawa anak mereka Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari Baikonur Cosmodrome di sini, kelmarin.

BAIKONUR, Kazakhstan 11 Okt. – ‘‘Dia memberikan saya tiga surat wasiat jika berlaku apa-apa. Saya pun tidak tahu apakah wasiat berkenaan. Namun saya yakin dia akan selamat pergi dan balik.”

‘‘Dia juga kata yang dirinya amat menyayangi saya, ibunya dan semua ahli keluarganya.” kata Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor, bapa kepada angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Mereka berdua dipertemukan dalam satu majlis khas yang diadakan di Hotel Cosmonaut, beberapa jam sebelum pelancaran roket Soyuz TMA-11 di Baikonur Cosmodrome, malam tadi.

Menurut Sheikh Muszaphar, ketika melihat roket yang membawa anaknya itu meluncur berlepas menuju ke angkasa, beliau berasa bagaikan hendak pengsan.

‘‘Saya menjerit tetapi bila melihat roket itu selamat meluncur ke angkasa hati saya kembali tenang. Saya tahu dia akan selamat.

‘‘Kami sekeluarga akan menunggunya di Moscow sehingga dia selamat pulang ke Bumi nanti dan seterusnya sama-sama pulang ke tanah air,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Menurut beliau, selepas melihat pelancaran itu berjaya, dirinya sekeluarga yakin Sheikh Muszaphar akan mampu untuk melaksanakan misi ke angkasa pada masa akan datang.

‘‘Saya juga melahirkan keyakinan Kapten Dr. Faiz Khaleed akan mampu untuk melaksanakan tugas yang sama pada masa depan.

‘‘Jangan kecewa kerana tidak dapat ke angkasa sekarang. Anda masih muda dan masih banyak lagi peluang,” ujarnya.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Rusia, Datuk Mohamad Khalis Hassan yang turut menyaksikan pelancaran angkasawan Malaysia di sini berkata, pihaknya melahirkan rasa syukur kerana pelancaran itu berjalan dengan baik dan selamat.

‘‘Selepas ini, marilah kita berdoa supaya Sheikh Muszaphar selamat kembali ke Bumi,” tambahnya.

Dengan iringan doa, perasaan bangga serta kesedaran tiada lagi perkara mustahil yang tidak dapat dilakukan oleh rakyat Malaysia, angkasawan pertama negara selamat meluncur ke angkasa dengan kapal angkasa Soyuz TMA-11 tepat pukul 7.21 malam waktu tempatan di sini malam tadi.

Pelancaran roket Soyuz sepanjang 50 meter itu dilakukan dalam keadaan cuaca sejuk dan langit cerah tanpa awan.

Roket itu menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang terletak 333 kilometer dari muka Bumi.

Soyuz mengambil masa selama dua hari perjalanan mengelilingi orbit sebelum dijangka tiba di limbungan ISS.

Soyuz dijadualkan mendarat di ISS pada pukul 8 malam esok dengan Sheikh Muszaphar akan berada di sana selama sembilan hari sebelum kembali ke Bumi.

Dua krew lain dalam Soyuz yang dilancarkan malam tadi ialah Yuri Malenchenko, 45, dari Rusia yang merupakan veteran ISS dan Peggy Whitson, 47, dari Amerika Syarikat, iaitu wanita pertama yang bakal mengetuai operasi di ISS apabila mereka tiba di sana nanti.

Whitson pernah tinggal di ISS selama enam bulan.

0 comments: