SEREMBAN 11 Okt. – Kerajaan Negeri Sembilan merakamkan ucapan tahniah kepada angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan berdoa semoga misi di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berjaya.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencapaian itu amat membanggakan dan seluruh rakyat gembira kerana angkasawan pertama negara itu berasal dari Negeri Sembilan.
‘‘Kita ucapkan selamat berjaya kepada Sheikh Muszaphar dan selamat kembali pada 21 Oktober ini. Ucapan tahniah juga kita berikan kepada mereka yang terlibat dalam program itu.
“Tahniah dan syabas juga kita ucapkan kepada Dr. Faiz Khaleed kerana kini menjadi seorang lagi angkasawan negara,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohamad, pencapaian Sheikh Muszaphar amat membanggakan dan akan menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia, selain melonjakkan minat generasi muda untuk menceburi bidang sains angkasa.
Sementara itu di Baling, kejayaan Dr. Sheikh Muszaphar Abdul Shukor menjadi angkasawan pertama negara menjadi inspirasi bagi Putera UMNO mengorak langkah kejayaan lebih luas pada masa akan datang.
Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sejarah anak muda ini boleh menjadi inspirasi kuat golongan pelapis khususnya ahli Putera seluruh negara.
‘‘Sesungguhnya kejayaan anak muda ini menjadi inspirasi kepada Putera dalam bidang penerokaan angkasa,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya di Masjid Bakai dekat Baling, semalam.
0 comments:
Post a Comment