Timbalan Perdana Menteri berkata, laporan itu yang diumumkan kelmarin adalah hasil daripada siasatan rapi dan teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor manusia serta perkara teknikal lain.
"Laporan (siasatan) itu dibuat Lembaga Siasatan, tapi kalau tak setuju terpulanglah. Laporan itu dibuat secara profesional dan sewajarnya diterima," katanya selepas melancarkan projek kebangsaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Perkhidmatan Pengurusan Portal (MPS) di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.
Najib diminta mengulas kenyataan bapa Allahyarham Kapten Norazlan Termudzi, 29, Datuk Termudzi Abd Aziz, yang tidak berpuas hati terhadap hasil siasatan itu kerana Lembaga Siasatan tidak mengambil sebarang keterangan daripada keluarga mangsa yang terbabit nahas.
Termudzi berkata, beberapa butiran daripada perbualan akhir anaknya bersama Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27, adalah antara bukti yang perlu diambil kira dalam siasatan.
Semalam, keluarga Nor Intan di Butterworth, turut mempersoalkan laporan itu yang disifatkan mereka tidak menyeluruh.
Kelmarin, Timbalan Panglima TUDM, Lt-Jen Datuk Bashir Abu Bakar, mengumumkan nahas pesawat Nuri yang mengorbankan enam pegawai dan anggota TUDM itu berlaku disebabkan terlanggar pokok ketika terbang pada paras rendah.
Laporan Lembaga Siasatan nahas itu mendapati pesawat berkenaan dipercayai terbang rendah di laluannya dalam keadaan cuaca buruk sebelum terhempas di Gunung Bunga Buah berhampiran Genting Highlands.
Lembaga Siasatan nahas Nuri itu yang diketuai Lt-Kol Syed Islam Shahajam turut mengesahkan pesawat malang berkenaan tidak menghadapi masalah teknikal sebelum terhempas.
Dalam kejadian 13 Julai itu, enam terbunuh apabila pesawat Nuri yang dalam penerbangan dari Pangkalan Udara Kuala Lumpur ke Pangkalan Udara Kuantan terhempas di Gunung Bunga Buah.
Selain Kapten Norazlan dan pembantunya, Kapten Nor Intan Asykeen; turut terbunuh Kuartermaster Udara, Sarjan Udara Khusnizam Ariffin, 34; Pegawai Bertauliah Avionik, Sarjan Udara Mohamad Azmi Md Yassin, 35; Juruteknik Badan Pesawat, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28, dan Juruteknik Enjin, Laskar Udara Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.
0 comments:
Post a Comment