Asean desak Myanmar hentikan krisis secara aman

Oleh Azhar Abu Samah di New York

MESYUARAT Tidak Rasmi Menteri-Menteri Luar Asean di sini semalam sebulat suara mendesak Myanmar menghentikan segera tindakan 'ganas' ke atas penunjuk perasaan antikerajaan di Yangon sekarang.

Desakan itu, yang dinyatakan dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat berkenaan, dianggap pendirian paling tegas pertubuhan serantau itu mengenai krisis terbaru di Myanmar.

Semua Menteri Luar Asean, yang berada di sini menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-62, menyatakan rasa kesal kepada Menteri Luar Myanmar, Nyan Win yang turut hadir pada mesyuarat itu kerana tentera menggunakan senjata automatik dan bertindak ganas ke atas penunjuk perasaan sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata desakan seumpama itu tidak pernah dibuat Asean sebelum ini dan pendirian yang tegas dan keras itu menggambarkan 'kemuncak' perasaan pemimpin Asean di atas kejadian di Yangon ketika ini.

"Myanmar perlu mengambil langkah segera menghentikan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan, kembali ke meja perundingan dan memulihkan demokrasi di negara itu, membebaskan segera pemimpin politik yang ditahan, termasuk Aung San Suu Kyi.

"Kenyataan ini memperlihatkan ketegasan Asean untuk memulihkan demokrasi di negara itu dan setiap tuntutan akan dipastikan dilaksanakan Myanmar," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, semalam.


Abdullah berkata, selama ini Asean mengambil pendekatan konstruktif iaitu tidak mahu campur tangan dalam soal dalaman sesebuah negara dan ternyata pendekatan itu tidak berjaya dengan Myanmar.

Katanya, kemajuan dalam sesuatu perkara yang dibincang dengan junta tentera Myanmar amat perlahan dan ada kalanya tidak bergerak langsung.

"Kejadian tunjuk perasaan ini memperlihatkan apa yang dilaporkan kerajaan Myanmar kepada Asean selama ini tidak menunjukkan hasrat sebenar Myanmar. Ini menyebabkan Asean terpaksa mengubah pendekatan kepada Myanmar," katanya.

Kenyataan Menteri-Menteri Luar Asean yang dikeluarkan lewat petang semalam, juga melahirkan kebimbangan kepada Nyan Win bahawa 'keganasan' tentera itu memberi kesan besar ke atas reputasi dan kewibawaan Asean.

"Sebagai pemegang kerusi pengerusi Asean, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sudah mendapat kebenaran rakan-rakan dalam Asean untuk menulis surat kepada Jeneral Than Swee," katanya.

Menurut kenyataan itu, Asean menyambut baik usaha Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon untuk menghantar wakil khasnya, Ibrahim Gambari ke Yangon dan mahu Myanmar memberi kebenaran kepada beliau untuk menemui semua pihak tanpa sekatan seperti yang dilakukan sebelum ini.

Sehingga semalam, sembilan orang dilaporkan terbunuh dalam tunjuk perasaan di Yangon, termasuk seorang wartawan Jepun dan beratus-ratus lagi ditahan. Kira-kira 50,000 beliau dan pelajar terbabit dalam tunjuk perasaan yang diketuai sami Buddha.

0 comments: