Yangon perhebat sekatan

Yangon perhebat sekatan


SEMAKIN BURUK: Penunjuk perasaan mengejek polis dan tentera dalam bantahan berterusan menentang junta tentera semalam, di Yangon, Myanmar. Tentera menggunakan kekerasan, termasuk melepaskan tembakan meleraikan demonstrasi.

Junta kerah tentera ke 25 kawasan kawal demonstrasi antikerajaan

YANGON: Junta Myanmar menempatkan anggota keselamatannya di 25 kawasan di sekitar negara itu semalam, selain meneruskan tindakan keras melepaskan tembakan amaran dan memukul penunjuk perasaan bagi meleraikan bantahan antikerajaan di ibu negara yang masuk hari ke-11.

Imej satelit mengesahkan laporan perkampungan yang dibakar, penduduk dipaksa berpindah dan pencabulan hak asasi di negara itu.

Kerajaan junta turut mengarahkan tentera menawan biara, memotong talian internet dan menahan beratus-ratus lain, termasuk beberapa sami Buddha.

Bantahan itu turut menular ke luar Myanmar apabila beribu-ribu rakyatnya mengadakan bantahan di bandar raya sekitar Asia, termasuk Jakarta, Kuala Lumpur, Manila, Beijing serta bertempur dengan polis Australia. Duta Australia ke Myanmar mendakwa angka kematian lebih tinggi iaitu 10 orang berbanding 9 orang yang dinyatakan junta, kelmarin.

Persatuan Sains Amerika Syarikat (AAAS) mendakwa paparan imej beresolusi tinggi yang dirakam satelit komersial menunjukkan peningkatan kehadiran anggota tentera Myanmar di 25 bandar di timur Myanmar yang menepati keterangan saksi.

"Kami menemui bukti 18 perkampungan yang lenyap begitu saja," kata penyelidik Lars Bromley dalam satu temu bual.

"Kami menerima laporan pertama seawal April lalu mengenai perkampungan di Karen yang dibakar. Bukti yang ada menunjukkan ia memang berlaku dan kami dapat melihat imej kesan kebakaran pada tanah dan rumah penduduk," katanya.

Di ibu negara Myanmar itu, askar junta dilihat melepaskan gas pemedih mata dan memukul penunjuk perasaan dengan kayu belantan bagi meleraikan bantahan terbaru 2,000 orang di bandar terbesar berkenaan.

Sekurang-kurangnya lima orang diheret ke dalam lori.

Demonstrasi yang membabitkan berpuluh-puluh ribu penduduk, termasuk sami yang mendesak pemerintahan junta 45 tahun itu ditamatkan yang menjadi cabaran paling getir pernah disaksikan kerajaan Myanmar sejak berdekad lamanya.

Krisis bermula 19 Ogos lalu tidak menunjukkan tanda akan reda apabila junta semalam bertindak menyekat sami, termasuk menutup jalan ke lima biara utama yang diisytiharkan sebagai zon larangan serta meletakkan kawat duri di jalan raya, bagi membolehkan tindakan bertumpu kepada orang awam.

Usaha mendapatkan angka korban sebenar pula sukar apabila wartawan dihalang memasuki negara itu, manakala penduduk Yangon dilaporkan takut untuk bersuara. � AFP/Reuters

0 comments: