Hentikan ketegangan di Myanmar – Abdullah

Daripada: ZULKEFLI HAMZAH

NEW YORK 28 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa Myanmar bukan sahaja perlu menghentikan ketegangan politik yang berlaku sekarang tetapi turut berusaha bersungguh- sungguh untuk melakukan pembaharuan bagi memulihkan demokrasi di negara itu.

Menurutnya, ketegasan ASEAN seperti yang terkandung dalam satu kenyataan selepas pertemuan Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini hari ini melambangkan keprihatinan badan serantau itu terhadap pergolakan terbaru yang berlaku di Myanmar.

“ASEAN akan memastikan apa yang dituntut (dalam kenyataan itu) dilaksanakan oleh Myanmar. Kalau tidak, tiada ertinya. Ia mesti disusuli dengan usaha berterusan menggesa Myanmar untuk melaksanakan apa yang menjadi tuntutan, dengan itu barulah ketegasan ASEAN ada maknanya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan bilateral sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-62 di sini hari ini.

Abdullah mengulas kenyataan keras Menteri-Menteri Luar ASEAN selepas mengadakan pertemuan di PBB terhadap Myanmar, rakan anggotanya dalam pertubuhan serantau itu berhubung keadaan politik di negara itu dan mahu supaya semua tahanan politik termasuk Aung San Suu Kyi dibebaskan.

Menteri Luar Myanmar, Nyan Win turut hadir pada perbincangan tersebut.

Kenyataan seumpama itu merupakan yang pertama pernah dikeluarkan terhadap sebuah negara anggota ASEAN yang selama ini menjalin hubungan konstuktif iaitu tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Singapura, George Yeo itu turut menyokong penuh langkah Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menghantar wakil khas, Ibrahim Gambari ke Myanmar dan mendesak negara itu memberi kerjasama sepenuhnya.

Abdullah berkata, kenyataan keras Menteri-Menteri Luar ASEAN sememangnya tidak pernah dilakukan oleh badan serantau itu dan ia boleh dianggap sebagai kemuncak keprihatinan ASEAN terhadap apa yang berlaku di Myanmar.

Katanya, hubungan konstruktif yang diamalkan oleh ASEAN terhadap Myanmar sebelum ini ternyata tidak berjaya menyelesaikan masalah di negara itu apabila tercetusnya rusuhan yang turut mengorbankan nyawa manusia.

Melalui hubungan konstruktif itu, jelas Abdullah, diharapkan Myanmar dapat secara beransur- ansur melakukan pemulihan demokrasi melalui rundingan dengan pihak-pihak yang berkaitan di negara itu.

“Tetapi nyata sekali dengan tercetusnya rusuhan, apa yang telah dinyatakan oleh junta tentera Myanmar kepada ASEAN selama ini sebenarnya tidak melambangkan hasrat sebenar rakyat Myanmar. Dengan itu, ASEAN terpaksa membuat perubahan dari segi tuntutan berhubung demokrasi di negara itu,” jelasnya.

– Utusan

0 comments: