Oleh Rafidah Mat Ruzki
CARI BUKTI: Anggota forensik memeriksa pakaian kanak-kanak yang dikeluarkan dari sebuah daripada kereta milik suspek di tempat mereka ditangkap di Seksyen 7, Jalan Kristal 7L/L, Shah Alam, semalam. |
Jiran dakwa tak pernah lihat budak perempuan tinggal bersama pasangan ditahan
SHAH ALAM: Sepasukan 30 pegawai dan anggota polis dari Unit Forensik Bukit Aman, menjalankan siasatan terperinci di sebuah rumah kedai di Jalan Kristal L7/L, Seksyen 7, di sini, semalam selepas sepasang suami isteri ditahan di kedai itu bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8.
Terdahulu, pasukan yang diketuai Ketua Unit Siasatan Tempat Jenayah (CSI) Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintendan Amidon Anan itu ke rumah pasangan berkenaan di Taman Kampung Kuantan, Klang bagi tujuan sama.
Pasukan itu tiba di rumah kedai terbabit jam 3.15 petang bersama dua suspek sebelum meninggalkan premis berkenaan tiga jam kemudian tanpa memberikan komen kepada media yang menunggu di situ sejak tengah hari.
Malam kelmarin, lima suspek termasuk pasangan itu ditahan di rumah kedai di Seksyen 7 di sini. Ketika ditahan, isteri suspek dipercayai sedang menunggu suaminya, dalam kereta pasangan itu, sebuah Proton Iswara Aeroback.
Sementara itu, beberapa jiran kepada pasangan yang ditahan berkata, pasangan terbabit mempunyai dua anak lelaki, tetapi tidak pernah nampak ada budak perempuan di rumahnya.
Zubaidah Abu, 60, ketika ditemui di Taman Kampung Kuantan, Klang, berkata mereka tinggal bersama adik perempuan wanita itu yang bekerja sebagai jururawat.
Terkejut dengan berita penahanan itu, dia berkata, wanita yang ditahan itu dikenali sebagai `Nor' dan bekerja di sebuah agensi piawaian di sini, manakala suaminya berniaga pakaian.
"Mereka jarang bergaul dengan jiran sebab selalu balik lewat daripada berniaga, tetapi kalau jiran jemput kenduri, mereka datang," katanya.
Peniaga kedai makan berhampiran premis perniagaan suspek yang tidak mahu dikenali, berkata dia juga terkejut dengan penahanan pasangan itu kerana suami wanita itu sering ke masjid bersamanya termasuk selalu solat tarawih kecuali malam kelmarin.
"Saya pernah nampak dua anak mereka, tetapi tidak pernah nampak budak perempuan. Dia buka perniagaan lebih setahun lalu, lebih awal dari saya. Dia juga peramah," katanya.
Sementara itu, dua pelanggan di kedai berkenaan mengakui pemiliknya ada menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada mereka, memberitahu pakaian yang mereka tempah sudah siap dan boleh diambil.
Pekerja swasta, Nor Amni Haris, 22, berkata dia menerima SMS yang memintanya mengambil pakaiannya dan membawa bersama resit tempahan, minggu lalu dan baru bercadang untuk berbuat demikian semalam.
"Sepanjang menempah baju di situ, tidak pula berlaku perkara pelik atau melihat kanak-kanak perempuan dibawa ke kedai melainkan dua anak pemilik kedai," katanya.
Pemilik syarikat katering, Aida Rahmat, berkata dia baru bercadang untuk mengambil baju anaknya yang dihantar untuk dibaiki di kedai itu selepas menerima SMS daripada pemilik kedai itu minggu lalu.
0 comments:
Post a Comment