GEORGETOWN: Lebih 30,000 ahli Persatuan Buddha Malaysia (MBA) termasuk sami mengutuk tindakan kekerasan yang digunakan tentera junta terhadap penunjuk perasaan di Myanmar.
Persatuan itu yang mewakili suara kira-kira 700 pertubuhan utama dan 400 pertubuhan pemuda, selain organisasi dan kuil Buddha di seluruh negara, amat kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku di Myanmar.
Presiden MBA, Jit Heng, berkata kebanyakan organisasi dan penganut Buddha mengadakan protes secara senyap serta berdoa untuk sami yang terkorban dan berharap kekerasan itu tidak berpanjangan.
Katanya, persatuan amat kesal dengan tindakan kerajaan Myanmar yang menggunakan kekerasan terhadap sami dan orang awam termasuk senjata api.
"Golongan sami menggalakkan konsep kehidupan kasih sayang sesama manusia, sebaliknya mereka pula menjadi sasaran kekerasan," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Naib Presiden Gerakan, Datuk Teng Hock Nan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penerangan, Pengurusan Lalu Lintas dan Perhubungan Masyarakat negeri.
Sidang akhbar itu diadakan bagi menyatakan kecaman dan bantahan MBA terhadap perkembangan terkini di Yangon yang menyaksikan sekurang-kurangnya sembilan terbunuh termasuk tiga sami Buddha, manakala 100 lagi cedera apabila anggota keselamatan menembak penunjuk perasaan dan menyembur gas pemedih mata.
Kira-kira 100,000 orang termasuk 15,000 sami Buddha berarak di sepanjang bandar utama di Myanmar sejak Isnin lalu dalam demonstrasi paling besar pernah berlaku dalam tempoh 20 tahun di negara itu.
Beribu-ribu penduduk yang berada di tepi jalan juga tunduk hormat kepada sami yang berjubah oren dan merah membawa kain rentang pelbagai warna, sambil bertepuk tangan kepada penunjuk perasaan.
Jit Heng berkata, masyarakat Buddha di negara ini wajar memprotes tindakan kerajaan Myanmar itu berikutan penggunaan kekerasan untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
"Kita kecewa dengan tindakan seumpama itu dan masyarakat antarabangsa perlu memainkan peranan bagi memastikan tindakan kekerasan terhadap sami dihentikan secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, Teng turut meluahkan rasa simpati dengan kejadian yang berlaku di Myanmar.
Beliau berkata, masyarakat Buddha harus bersatu dan menyuarakan pandangan dengan menggesa kerajaan Myanmar menggunakan tindakan berhemah dalam menangani masalah di negara itu.
"Suara masyarakat Buddha di negara ini penting supaya didengari masyarakat antarabangsa bagi membolehkan tindakan kekerasan dihentikan," katanya.
0 comments:
Post a Comment