Panik punca askar tembak penunjuk perasaan

YANGON 28 Sept. – Perasaan panik dipercayai menjadi punca askar-askar Myanmar melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membaling batu sehingga mengakibatkan lapan orang terbunuh dalam bantahan antikerajaan junta semalam.

Saksi yang melihat insiden paling berdarah di Yangon itu semalam berkata, askar tidak lagi dapat mengawal keadaan selepas berdepan dengan orang ramai kira-kira 30 minit dekat wat Ngwekyaryan di bandar ini.

Kira-kira 100 sami Buddha ditangkap beberapa jam sebelum itu apabila pasukan keselamatan menggempur wat tersebut, memecahkan tingkap dan meninggalkan kesan darah di atas lantai yang menunjukkan bahawa sami dibelasah semasa serbuan sebelum subuh itu.

Kemarahan orang ramai semakin meluap-luap ketika ribuan penunjuk perasaan sudah berhimpun di jalan raya dekat wat berkenaan sekitar 3.30 petang semalam, kata saksi itu.

Selepas 30 minit penunjuk perasaan mengejek-ejek dan membaling batu, askar dipercayai panik dan mula melepaskan tembakan senjata automatik untuk menyuraikan penunjuk perasaan, menurut saksi.

Lapan orang termasuk seorang pelajar sekolah menengah terbunuh dan mayat mereka dibiarkan bergelimpangan di jalan raya selama sejam, kata seorang lagi saksi.

Seorang wartawan Jepun yang membuat liputan protes itu di Myanmar turut ditembak mati oleh askar dalam satu lagi insiden semalam.

Sementara itu, di Tokyo, Jepun hari ini mengutuk kejadian itu dan meminta Mynmar memberikan penjelasan penuh mengenainya tetapi menolak desakan Barat supaya sekatan dikenakan ke atas junta tentera negara itu.

Jepun kekal penderma utama kepada Myanmar, bercanggah dengan dasar luar yang diambil oleh sekutu-sekutunya, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

– AFP

0 comments: