Sami ingkar amaran junta -- * Tentera menyamar penunjuk perasaan * Protes tarik perhatian dunia


Sebahagian penunjuk perasaan memegang bendera ‘Merak Bertempur’ berwarna merah ketika mengadakan perarakan antijunta tentera Myanmar di Yangon, semalam.
YANGON 25 Sept. – Sami Buddha yang mengetuai perarakan antikerajaan terbesar dalam tempoh hampir dua dekad mengingkari arahan junta tentera Myanmar hari ini supaya mereka tidak mencampuri urusan politik.

Sebaliknya mereka meneruskan protes di dua bandar terbesar di negara ini.

Berpuluh-puluh ribu sami dengan diiringi penyokong berarak keluar dari pagoda Shwedagon di sini untuk memprotes secara aman buat hari kelapan berturut-turut.

Bilangan lebih kecil melancarkan tunjuk perasaan serupa di bandar kedua terbesar, Mandalay.

“Protes ini bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat tetapi juga untuk sami yang memperjuangkan demokrasi dan rakyat berpeluang menentukan masa depan mereka sendiri.

“Rakyat sudah tidak tahan lagi dengan kerajaan tentera,” kata seorang sami kepada Associated Press (AP).

Demonstrasi itu dilancarkan sekalipun junta memberi arahan tegas kepada sami Buddha supaya menghentikan segala aktiviti politik dan kembali ke wat mereka.

Penunjuk perasaan juga tidak menghiraukan penyokong junta yang meronda di bandar ini untuk memberi amaran perhimpunan besar-besaran tidak dibenarkan.

Bilangan penunjuk perasaan di Yangon hari ini seperti semalam mencecah 100,000 orang, menjadikannya demonstrasi terbesar sejak pemberontakan 19 tahun lalu.

Kerajaan setakat ini belum mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan protes itu.

Bagaimanapun diplomat berkata, askar telah dikerahkan secara rahsia ke pusat bandar Yangon dan boleh diarah untuk bertindak pada bila-bila masa.

Beberapa sekolah di sini juga ditutup.

Khabar angin tersebar di seluruh Yangon mengatakan askar diarah untuk menembak penunjuk perasaan manakala sebilangan askar didakwa mencukur kepala untuk menyamar sebagai sami bagi menyusup masuk ke dalam kumpulan penunjuk perasaan bagi mencetuskan kekacauan yang akan mengundang tindakan keras kerajaan.

Hospital juga dilaporkan bersiap sedia untuk menerima pesakit dan penjara dikosongkan bagi memberi ruang kepada mereka yang ditangkap.

Terdahulu, pihak berkuasa di sini menggunakan pembesar suara untuk mengumumkan bahawa sami diarah tidak terlibat dalam “urusan sekular” dan mendakwa anasir tertentu cuba mencetuskan huru-hara.

Dalam perkembangan yang sama, masyararakat antarabangsa telah merayu kepada pihak junta tentera supaya tidak mengambil tindakan ke atas para penunjuk perasaan yang terbabit.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat George W. Bush dalam ucapannya di Perhipunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengumumkan sekatan baru ke atas junta tentera dan mendesak negara-negara lain supaya mengikuti langkahnya.

‘‘AS akan mengetatkan sekatan ekonomi terhadap ketua-ketua regim itu dan penyokong kewangan mereka,’’ kata beliau.

– AP

0 comments: