Kes Altantuya: 'Tiada had masa pinda laporan'

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi diberitahu tiada had masa bagi mana-mana pegawai atau anggota polis untuk membuat permohonan bagi meminda atau membetulkan laporan apabila mereka menggunakan Sistem Laporan Polis (PRS).

Penyelia Unit PRS Bahagian Teknologi Maklumat (IT) Bukit Aman, Koperal Sim Gek Huang, 35, berkata anggota atau pegawai boleh membuat permohonan pindaan laporan polis pada bila-bila masa.

Sim berkata, berdasarkan pengalamannya menyelia sistem itu dan memantau laporan dibuat anggota lain, beliau belum pernah mendengar ada permohonan untuk meminda laporan ditolak berdasarkan alasan had masa.

Menjawab soalan peguam K K Wong yang mewakili penganalisis politik Abdul Razak Baginda (tertuduh ketiga) ketika sesi pemeriksaan balas, saksi ke-26 pendakwaan itu bagaimanapun berkata, ada permohonan pindaan yang ditolak tetapi bukan atas alasan had masa.

"Contohnya satu laporan yang berkaitan dengan narkotik, jika kandungan dadah hendak dipinda, kami akan tolak permohonan itu dan meminta pengadu membuat laporan polis baru," katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah, pada 7 November tahun lalu, Asisten Superintendan (ASP) Zulkarnain Samsudin membuat permohonan untuk meminda laporan polis yang dibuatnya mengenai pendedahan Koperal Sirul Azhar Umar berhubung barang kemas milik Altantuya.

Beliau berkata, Zulkarnain menghubungi melalui telefon dan memintanya menyemak laporan polis dibuat di Balai Tun H S Lee kerana beliau tertinggal beberapa ayat dalam laporan itu dan turut memaklumkan perenggan atau ayat mana yang perlu ditambah.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, beliau kemudian membuat draf pembetulan dengan mencatat apa yang perlu ditambah dalam laporan terbabit dan memasukkannya dalam satu senarai laporan.

"ASP Zulkarnain meminta saya meminda namanya dengan membuang huruf 'h' dan membuang satu 'd', selepas itu beliau meminta saya menambah nama suspek di barisan ayat kedua dengan menulis nama Sirul Azhar Umar.

"Beliau juga meminta saya meminda perkataan 'penama' di barisan ketiga kepada 'suspek' dan menambah perkataan 'sesuatu' selepas perkataan �mendedahkan� serta perkataan 'yang' selepas ayat 'di kawasan hutan' ditukar kepada 'ada'.

"Sementara itu bagi ayat 'berhubung dengan Travers Report', beliau meminta saya tukarkan kepada perkataan 'bersangkut'," katanya.

Sim berkata, selepas membuat draf pembetulan itu, beliau meminta Zulkarnain menghantar laporan kerosakan melalui Unit Sokongan.

Katanya, selepas menerima laporan kerosakan, beliau menggunakan kemudahan sistem pentadbir untuk menambah ayat dan pinda ayat mengikut laporan itu.

Tun Abdul Majid: Pembetulan dalam sistem dibuat oleh kamu?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Rujuk P76. ini adalah laporan yang dipinda?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Nombor laporan, waktu dan tarikh adalah sama, Cuma kandungan yang berubah?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Selepas laporan dibuat, adakah ia harus dihantar semula ke balai?

Sim: Ya, ia harus dicetak semula dan ditampal pada Buku Laporan Balai yang dilakukan oleh Zulkarnain sendiri.

Tun Abdul Majid: Jika tiada arahan oleh Zulkarnain untuk cetak dan tampal laporan yang dipinda, pada buku laporan balai masih ada laporan polis lama?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Dalam kes ini sepatutnya dia beritahu pada anggota balai Tun H S Lee?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Rujuk P76, bahagian tarikh lahir Zulkarnain iaitu 5/10/2073, dan umur adalah 33 tahun satu bulan. Bagaimana boleh berlaku sedemikian?

Sim: Apabila disemak balik oleh pihak pengaturcara komputer, didapati ketika pindaan ini dibuat, terdapat masalah.

Tun Abdul Majid: Kedua-dua laporan asal dan pindaan masih di dalam sistem?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Jika laporan asal tiada dalam sistem, yang akan dipaparkan adalah laporan yang dipinda?

Sim: Ya.

Tun Abdul Majid: Sejak bila?

Sim: Selepas pindaan itu dibuat.

Tun Abdul Majid: Sebaik pindaan dibuat, laporan asal terhapus?

Sim: Saya andaikan begitu. Buat masa sekarang yang boleh dilihat dalam sistem adalah laporan yang dipinda.

Tun Abdul Majid: Jadi sama ada laporan asal hapus atau tidak, kamu tidak tahu?

Sim: Saya tidak pasti.

Tun Abdul Majid: Laporan asal disimpan di mana?

Sim: Kami simpan dalam satu fail manual.

Sementara itu, menjawab soalan peguam bela Kamarul Hisham Kamarudin, Sim bersetuju Zulkarnain tidak menyatakan sebab mengapa pindaan dibuat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

Perbicaraan bersambung hari ini.

0 comments: