Junta beri amaran ambil tindakan



JADI TUMPUAN: Sami Buddha berarak di Yangon kelmarin membantah kenaikan harga minyak oleh junta tentera.

Tragedi 1988 mungkin berulang di Myanmar

YANGON: Jeneral Myanmar mengancam mengambil tindakan terhadap sebarang cubaan demonstrasi terbaru semalam dan meletakkan kenderaan tentera di pagoda Shwedagon, yang menjadi tempat perhimpunan utama bantahan terbabit.

Kenderaan pembesar suara juga mengelilingi Yangon tetapi tidak menyatakan secara jelas tindakan yang akan dikenakan selepas tunjuk perasaan anti junta terbesar diadakan sejak 1988 apabila tentera bertindak melumpuhkan demonstrasi antikerajaan dan membunuh sekurang-kurangnya 3,000 orang.

"Orang ramai tidak digalakkan mengikut, menggalakkan atau mengambil bahagian dalam perarakan seumpama ini. Tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar arahan," kata mesej disiarkan di seluruh bandar terbesar Myanmar itu.

Penyiar juga mendakwa kelompok tertentu di kalangan sami Buddha terbabit mencetuskan bantahan dengan niat untuk mewujudkan kekecohan.

Amaran selain kemunculan sebilangan kecil askar Ligth battalion 77 di luar rumah ibadat terkenal di Myanmar itu menimbulkan kebimbangan peristiwa 1988 berulang.

The Burma Campaign UK berkata sumbernya melaporkan bahawa junta memesan 3,000 jubah sami berwarna merah dan meminta askar mereka membotakkan kepala kemungkinan untuk diserapkan dalam perarakan sami.

Pada 1988, kali terakhir rakyat negara itu muncul di jalan bersama 10,000 yang lain, ejen yang melakukan provokasi dilihat bersama dalam kumpulan terbabit bagi membolehkan tentera mencari alasan untuk campur tangan dan mengeluarkan arahan.

Walaupun lebih 150 orang ditahan sejak 19 Ogos lalu berikutan membantah kenaikan harga minyak, junta masih enggan meletakkan tentera mereka di jalan mungkin sebagai berhati-hati tidak mahu peristiwa 1988 berulang.

Penempatan tentera pertama kali dilihat semalam dengan kemunculan kenderaan tentera di kuil Shwedagon, yang menjadi tumpuan utama pergerakan bantahan terbabit sejak ia disertai sami seminggu lalu.

Selepas dianggarkan 50, 000 hingga 100,000 penunjuk perasaan disuraikan semalam, stesen radio memetik Menteri Hal Ehwal Agama, Brigadier Jeneral Thura Myint Maung berkata bahawa tindakan terhadap sami kanan akan diambil jika mereka tidak mengawal keadaan. � Reuters

0 comments: