yati@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar meminta RTM mengeluarkan surat rasmi sekiranya beliau ‘digam’ stesen televisyen itu.
Kata Sharifah Aini, andai kata perkara itu benar, mengapa tidak RTM memaklumkan kepadanya menerusi surat rasmi.
“Sekurang-kurangnya, tahulah saya sebab sebenar ‘digam’ RTM. Saya sedih diperlakukan seperti ini, tanpa memberi peluang membuat penjelasan, saya terus dihukum.
“Saya tidak marah dengan apa yang berlaku, cuma berilah surat penjelasan,” katanya pada sidang media dan majlis berbuka puasa di Restoran Rebung, Bangsar, semalam.
Sharifah Aini berkata, beliau bergiat aktif dalam industri seni sejak 39 tahun dan dalam tempoh itu pelbagai dugaan sebagai insan seni dihadapinya.
Apa pun, saya tahu perkara ini berlaku selepas saya menarik diri menjayakan konsert Orkestra Simfoni Putrajaya 15 Julai lalu. Namun, penarikan diri itu ada sebabnya,” katanya.Beliau berkata, penarikan diri itu dibuat kerana ibunya, Sharifah Noor Syed Ahmad, 72, sakit dan disahkan doktor menghidap radang paru-paru dan serangan jantung serta mendapatkan rawatan di Singapura.
“Jadi, sebagai anak salahkah saya mengutamakan ibu sendiri yang sedang sakit. Saya percaya sesiapa yang ada di tempat saya ketika itu akan berbuat demikian. Meninggalkan kerjaya demi ibu tersayang,” katanya.
Sharifah Aini berkata, beliau sudah memaklumkan penarikan dirinya seminggu sebelum konsert Orkestra Simfoni Putrajaya itu berlangsung.
Katanya, beliau menghantar e-mel kepada penolong penerbit konsert itu yang dikenali sebagai ‘Peace’ menjelaskan penarikan dirinya.
“Saya tidak tahu akhirnya ini yang terjadi. Tapi, saya masih menyimpan salinan e-mel yang dihantar kepada ‘Peace’ itu. Andai kata mereka mahukan buktinya, saya ada,” katanya.
Pada 23 September lalu, dalam ruangan Jeling Kak Pora di Berita Minggu, Sharifah Aini dikatakan ‘digam’ kerana lagu nyanyiannya tidak lagi disiarkan stesen Radio Klasik Nasional dan selepas `dirisik’ didapati semua stesen RTM tidak menyiarkan lagu biduanita itu.
Kejadian itu dikatakan berpunca daripada penarikan diri penyanyi lagu Bunga Tanjung itu daripada menjayakan konsert Okestra Simfoni Putrajaya.
0 comments:
Post a Comment