Pembangunan kewangan mestilah pro-kemiskinan

Pembangunan kewangan mestilah pro-kemiskinan

KEPUTUSAN kerajaan untuk memberi RM100 juta unit amanah saham kepada golongan yang dikategorikan sebagai miskin bandar merupakan satu lagi tindakan yang boleh membantu taraf hidup penduduk miskin di bandar.

Begitu juga, pengumuman kerajaan untuk membantu kira-kira 40 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan untuk menambah pendapatan mereka terutamanya di kawasan bandar merupakan satu lagi kaedah yang bakal memperolehi hasilnya jika dilaksanakan dengan cara cekap dan berkesan.

Di sini, disyorkan dua strategi utama yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin agar golongan sasaran memperolehi hasilnya. Pertama, dalam usaha untuk memastikan pembangunan kewangan rakyat dengan mempertingkatkan pendapatan rakyat ke kelas tinggi, kerajaan seharusnya bukan sahaja menggunakan strategi pro-pertumbuhan tetapi juga strategi pro-kemiskinan.

Kedua, dalam usaha untuk mempertingkatkan golongan yang berpendapatan rendah serta berada dalam di bawah garis kemiskinan, kerajaan seharusnya menggunakan strategi mobilasi simpanan atau tabungan dan juga memudahkan pinjaman.

Langkah pertama ialah memperbanyakkan strategi-strategi pertumbuhan seperti memperkenalkan pelbagai industri yang bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan negara pada jumlah yang besar.

Strategi-strategi yang bakal digubal mestilah mencapai hasilnya berdasarkan Petunjuk Aras Utama (KPI) ekonomi iaitu pertumbuhan ekonomi mestilah dipertingkatkan kepada sekurang-kurangnya 8 peratus setiap tahun menjelang tahun 2020.

Di samping itu, kerajaan jangan sesekali mengambil mudah strategi-strategi yang pro-kemiskinan. Strategi ini amat penting kerana tiada gunanya negara menjadi negara maju pada tahun 2020, tetapi hasil kemajuan ini hanya dirasai dan dinikmati oleh segelintir golongan penduduk Malaysia.

Oleh itu, perbanyakkan strategi yang pro-kemiskinan tidak kira miskin tegar, miskin bandar atau miskin luar bandar. Semua golongan ini perlu diberi perhatian secukupnya.

Dicadangkan agar kerajaan membantu mereka dengan menggalakkan golongan ini menyimpan dengan cara memberi kefahaman, pendidikan dan kesedaran kepada mereka tentang aspek penyimpanan. Kepentingan tentang perkara ini amatlah penting agar golongan ini memahami cara-cara terbaik untuk menyimpan wang dan tidak mudah meminjam daripada golongan lintah darat seperti ah long.

Kerajaan harus mengunakan pelbagai pendekatan melalui media massa ataupun pelbagai kempen yang boleh dilaksanakan untuk mendidik golongan ini. Paling penting ialah pastikan golongan sasaran ini memperolehi kefahaman yang jitu mengenai aspek-aspek penyimpan, tabungan dan mengurus kewangan.

Seiring dengan ini, mereka haruslah dibantu dengan memudahkan mereka membuat sebarang pinjaman. Aspek paling penting yang perlu ditekankan di sini ialah mengurangkan kos pinjaman, maka peranan institusi kewangan amatlah penting dalam menjayakan strategi ini.

Ini kerana ramai golongan miskin bercita-cita untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, tetapi tidak mampu meminjam daripada institusi kewangan kerana dikenakan caj yang tinggi, di samping terpaksa mengharungi proses penapisan yang ketat oleh institusi kewangan.

Ada di antara mereka terpaksa berputih mata walaupun bercita-cita untuk memulakan perniagaan, tetapi apakan daya jika kos pinjaman tidak mampu ditanggung oleh mereka.

Permudahkan segala aspek bagi membolehkan golongan ini berniaga terutamanya perkara-perkara yang melibatkan kewangan. Jika ini dapat diselesaikan, sudah tentu ramai daripada golongan ini dapat menunjukkan "bakat" mereka dalam dunia perniagaan, seterusnya keluar daripada garis kemiskinan.

Namun, dalam memastikan pembangunan kewangan berada pada tahap mampan dan terbaik melalui strategi pro-pertumbuhan dan pro-kemiskinan, jangan sesekali kita lupa satu aspek yang amat penting iaitu menangani rasuah.

Jika tidak, segala usaha yang dilaksanakan untuk menjayakan kesemua agenda pembangunan kewangan tidak akan berjaya sama sekali bahkan keadaan akan bertambah buruk lagi dengan bakal menampakkan peningkatan jurang pendapatan yang besar di antara golongan kaya dengan golongan miskin.

Rasuah merupakan halangan paling utama. Maka, semua pihak jangan sesekali berkompromi dengan rasuah jika mahu melihat rakyat Malaysia maju dalam serba serbi terutamanya dari segi ekonomi pada tahun 2020.

Rohami Shafie

Kolej Perniagaan (COB)

Universiti Utara Malaysia

0 comments: