Minda Pengarang: Usah sesekali diroboh perpaduan kaum terbina sejak 52 tahun

Minda Pengarang: Usah sesekali diroboh perpaduan kaum terbina sejak 52 tahun

HARI ini kita menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52 dan formula atau rahsia yang mendasari kejayaan negara selama ini ialah perpaduan rakyat pelbagai kaum. Justeru, apa jua tindakan melampau yang membatasi sempadan kaum dan agama, perlu dielakkan bagi memastikan segala perancangan pembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti dinikmati sepanjang 52 tahun lalu, dapat terus dikecapi untuk tahun-tahun mendatang. Sebab itulah kita sedih apabila berlaku tunjuk perasaan di pintu masuk Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Jumaat lalu, bagi membantah pemindahan kuil ke Seksyen 23 di situ. Mungkin elok isu ini dibincangkan terlebih dulu di kalangan penduduk setempat dan pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian. Jika ini dilakukan, perkara seperti tunjuk perasaan membawa simbol berkaitan sesuatu agama tertentu itu tidak akan berlaku. Jika benar, penunjuk perasaan itu sudah beberapa kali menulis surat kepada kerajaan Selangor bagi menyuarakan bantahan mereka, maka elok Menteri Besarnya mencari jalan terbaik untuk menemui mereka terbabit. Segala rasa tidak puas hati atau bantahan boleh dipertimbangkan dalam pertemuan itu. Bagaimanapun, tunjuk perasaan oleh sekitar 50 orang Jumaat lalu, diadakan tiga hari menjelang Hari Kebangsaan. Kumpulan berkenaan mendakwa penduduk di Seksyen 23 membantah pemindahan kuil yang kini terletak di Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka. Bagaimanapun, lokasi yang disediakan untuk pemindahan kuil oleh kerajaan Selangor mungkin tidak sesuai kerana majoriti penduduk di kawasan itu beragama Islam dan semua ini perlu diselesaikan secara baik, bukan melampau.

Sepatutnya, dalam sebuah negara majmuk, tuntutan melampau, tanpa mengira kaum atau fahaman politik, tidak harus diadakan kerana kesannya boleh mengganggu ketenteraman awam. Malah, kerajaan boleh mengguna pakai undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan terhadap mereka terbabit. Kalau terbukti ada dalang yang menghasut di belakang insiden itu, kerajaan tidak perlu tunggu lama, tangkap mereka mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tanpa mengira apa kedudukan mereka. Jika kerajaan berlembut, maka tindakan seperti itu akan berulang pada masa depan. Negara mempunyai banyak undang-undang yang boleh digunakan terhadap pihak yang sengaja melakukan tindakan menyentuh sensitiviti sesuatu agama dan kaum seperti kes yang berlaku di Shah Alam itu. Kita berharap kepada sesiapa saja, supaya mengelak daripada mencetuskan isu sensitif dan kita harus mengutamakan keselamatan rakyat dan keamanan negara yang berbilang kaum. Polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang menjejaskan prinsip itu tidak kira kaum atau agama. Apa yang kita harapkan ialah isu yang dibangkitkan penduduk Seksyen 23 Shah Alam itu dapat diselesaikan segera. Ini penting bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang dan mencetuskan pertembungan kaum atau agama hingga memusnahkan keharmonian serta perpaduan rakyat yang sudah dipupuk sejak 52 tahun lalu.

0 comments: