Arah tuju nasionalisme Asia Tenggara
Oleh NOR FARIDAH ABDUL MANAF
ADA dua cara melihat nasionalisme. Pertama ialah nasionalisme sudah mati dan tiada gunanya lagi di dunia tanpa sempadan sekarang dan dalam arus globalisasi yang semakin mengecilkan kita semua. Keduanya, ia masih perlu dan bergantung kepada siapa dan di mana seseorang itu bercakap, nasionalisme adalah satu-satunya jalan keluar dari sebarang bentuk penjajahan atau imperialisme budaya.
Sempena satu simposium yang akan menyentuh antara lain isu tentang nasionalisme di Asia-Pasifik di mana sarjana terkenal Profesor Emeritus Benedict Anderson akan memberi ucaputama, penilis membaca kembali buku terkenalnya (1983), Imagined Communities yang kini telah diterjemahkan ke dalam hampir 40 bahasa dunia dan menjadi bahan rujukan dan teks wajib bagi pelajar-pelajar sains politik, sastera dan sejarah.
Anderson telah lama bersara tetapi masih giat menulis dan memberi ceramah dari satu benua ke satu yang lain. Beliau yang fasih pelbagai bahasa Asia (terutama Bahasa Indonesia) bermula sebagai pelajar, mengkaji hal ehwal Nusantara terutamanya di Indonesia.
Di dalam satu temu bual e-mel baru-baru ini, pandangan beliau telah ditinjau sama ada Nusantara sudah mencapai apa yang beliau impikan selama perjuangannya.
Perubahan politik di Asia Tenggara
Menurut pendapat Anderson, beliau mula jatuh cinta dengan Asia Tenggara terutama sekali Indonesia pada tahun 1962, hampir 50 tahun yang lampau.
Ketika itu impian Nusantara terutamanya Indonesia sangat berlainan dengan aspirasi-aspirasi yang ada sekarang. Di zaman itu gelora revolusi masih terasa, semangat nasionalisme sangat tinggi, cita-cita sosialisme disanjung, slogan sama rata sama rasa masih kukuh.
Pada pendapat Anderson, impian-impian ini tidak tercapai. Sekarang "revolusi" dianggap aneh dan kuno, semangat nasionalisme terus dipersoalkan, sosialisme dibakul-sampahkan, parti politik haluan kiri juga tidak ada, pertentangan antara kelas-kelas amat ketara dan kuasa oligarki seperti wujud tanpa nama.
Anderson kemudiannya membuat perbandingan antara Sukarno dan Megawati. Bagi Anderson, Megawati yang mengaku mewarisi idea-idea politik bapanya sebenarnya tidak mengerti idea-idea itu, juga tidak mengambil berat mengenainya.
Anderson berpendapat oligarki adalah musuh utama mana-mana politik dan melihat kekuatan kuasa di dalam politik Dunia Ketiga sebagai sesuatu kuantitatif dan penyebaran semangat nasionalisme bergantung banyak kepada kekuatan dan pengaruh media.
Sering kali asasinasi karektor perlu dan ini berlaku kepada ramai pemimpin Asia-Tenggara termasuk Sukarno. Dari seorang pemimpin yang disanjung oleh rakyat dan media, dia akhirnya musnah dengan pelbagai cerita wanita, seks dan korupsi.
Di Thailand pula pernah satu ketika Jeneral Prem yang menjadi Perdana Menteri Thailand hampir 10 tahun lamanya dituduh sebagai seorang homoseksual tetapi disebabkan suasana politik yang agak tenang, beliau tidak dibicarakan.
Apabila diusulkan kepada Anderson, asasinasi karektor sebegini tidak terhad kepada rantau Asia kerana di Amerika Syarikat juga berlaku kontroversi sedemikian, beliau bersetuju.
Persoalannya, sejauh mana strategi ini mampu bertahan di saat-saat kita hidup di tengah-tengah dunia maya yang tiada batas kerana kita boleh memilih "kebenaran" daripada pelbagai sumber terutama media alternatif.
Anderson berpendapat Amerika dan Eropah melihat Indonesia sebagai negara yang paling demokratik di kalangan negara ASEAN. Sebahagiannya kerana akhbar dan televisyen yang relatif terbuka, ekonomi yang tidak lagi bankrap dan penglibatan banyak parti dalam pilihan raya umum negara itu.
Secara peribadi, Anderson melihat masih banyak yang boleh diperbaiki kerana gelombang reformasi semakin surut, korupsi semakin bermaharajalela, undang-undang menjadi bahan ketawa banyak golongan, universiti-universiti sebahagian besar cuma berfungsi sebagai "kilang ijazah".
Anderson berpandangan suasana di Malaysia jauh berbeza dan ini menarik perhatiannya sebagai seorang pengkaji rantau ini.
Sastera sebagai simbol nasionalisme
Anderson di dalam bukunya Imagined Communities melihat sastera dan simbol-simbol kenegaraan yang lain itu sebagai perlu diadakan bagi membolehkan konsep kenegaraan dan semangat nasionalisme.
Bagaimanapun beliau berpendapat, kekitaan dan kenegaraan itu tidak semestinya berdasarkan kepada satu bahasa sahaja.
Semangat nasionalisme dan kenegaraan boleh dirasai di dalam apa bahasa sekali pun kerana yang merasai "kekitaan" itu adalah perasaan kita atau "imaginasi" kita. Jadi bagi Anderson, satu andaian yang silap untuk melihat sesebuah negara itu mesti berdasarkan satu bahasa.
Apabila ditanya mengenai perbandingan pencapaian sastera Indonesia dan Malaysia di mana penulis melihat Malaysia masih terlalu jauh di belakang Indonesia dalam menghasilkan karya-karya yang benar-benar hebat, Anderson berkata ini mungkin perbezaan pengalaman dan latar belakang etnik Indonesia yang lebih pelbagai daripada Malaysia.
Ini membolehkan Indonesia menghasilkan karya-karya yang lebih tragis berbanding dengan karya-karya Malaysia. Malangnya, rakyat Nusantara masih tidak mengenali di antara satu sama lain sehingga menjadi satu lelucon mengenai apa sahaja yang dikongsi bersama oleh Indonesia dan Malaysia.
Hubungan ASEAN sesama sendiri mungkin lebih baik sekarang dari sebelumnya memandangkan di Malaysia, filem-filem dan muzik-muzik Indonesia mendapat sambutan hangat.
Banyak karya pengarang-pengarang Indonesia menembusi pasaran Malaysia. Namun begitu, sangat sedikit hasil karya-karya Malaysia menembusi pasaran Indonesia.
Apa pendapat Anderson tentang ketidakseimbangan sebegini? Menurutnya, ini satu fenomena biasa bagi negara-negara yang merasakan mereka lebih besar.
Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, India, Republik Rakyat China, Brazil dan Indonesia biasanya sangat narsisis, suka memikirkan tentang halnya sendiri dan tidak mempedulikan dunia luar kecuali jika kepentingan-kepentingan mereka tergugat.
Sekiranya membaca akhbar-akhbar di negara-negara ini, 86 peratus berita adalah mengenai diri sendiri.
Ini tidak berlaku bagi negara-negara yang lebih kecil yang akan mempunyai minda yang jauh lebih terbuka.
Sikap Indonesia terhadap Malaysia begitulah, menurut Anderson. Begitu juga halnya antara Filipina dan Singapura.
Apa sebenarnya sedang berlaku di Asia Tenggara?
Anderson berpendapat faktor utama adalah jurang yang semakin runcing antara yang kaya dan miskin. Kita perlu mengkaji Gini coefficient (ukuran statistik mengenai ketidak-samarataan kaya-miskin rakyat sesebuah negara).
Menurut Anderson, jurang ini sangat besar di rantau ini. Masalah yang ditimbulkan oleh orang kaya baru juga menjadi satu isu kerana ada kecenderungan untuk menjadi rakus dan tidak bertanggungjawab. Di Thailand misalnya, sikap suka menghina dan sombong semakin ketara.
Anderson memberikan satu contoh di mana kubu "baju kuning" terang-terang berkata di corong mikrofon bahawa rakyat sebahagian besarnya bodoh dan seharusnya tidak berhak mengundi dalam pilihan raya umum.
Menurutnya, neofeudalisme sangat subur. Dalam menangani situasi sebegini, hanya ada dua kemungkinan untuk oligarki: tetap utuh atau pecah dengan sebahagian mereka ingin menggunakan kemarahan rakyat untuk berkuasa. Ini berlaku di Thailand tetapi belum di Indonesia.
Anderson mengingatkan bahawa oligarki juga boleh luntur apabila sesebuah kerajaan itu terlalu lama berkuasa, tiada idea baru dan hasilnya hanya tinggal kerakusan dan sinisme.
Simposium mengenai budaya dan sastera Asia Pasifik akan dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 20-23 November 2009. Sila emel ke Faridah.Manaf@gmail.com untuk maklumat lanjut.
(RENCANA ini adalah hasil perbincangan e-mel antara Prof. Madya Dr. Nor Faridah Abdul Manaf dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Prof. Emeritus Benedict Anderson dari Cornell University, New York.)
0 comments:
Post a Comment