Locke mengkhianati Natrah
Oleh ADAM KADIR
ADA satu nama yang tidak disebut dalam cerita Natrah. Beliau ialah Lt. Kol. A . Locke, orang British yang menjadi pegawai tadbir atau AO untuk Kemaman dan Dungun.
Pegawai-pegawai daerah Kemaman dan Dungun bertugas di bawahnya. Locke ialah orang yang bertanggungjawab mengenal pasti kehadiran Natrah di Kemaman, lalu bertindak sehingga akhirnya Natrah dipindahkan ke Singapura.
Locke ditugaskan di Kemaman dalam bulan Januari 1949 dan dalam tahun 1951 beliau ditukarkan ke tempat lain.
Dalam bukunya yang bertajuk 'The Tigers of Terengganu' (Harimau Terengganu) yang mula-mula sekali diterbitkan di London dalam tahun 1954, Locke tidak langsung menyentuh tragedi Natrah yang beliau bertanggungjawab mencetuskannya.
Sesuai dengan tajuk bukunya, Locke bertumpu kepada perihal sang harimau yang berkeliaran di hutan dalam daerah Kemaman, berjumlah 32 ekor semuanya. Dengan bantuan dari beberapa orang kampung yang setia, beliau memburu beberapa ekor atas nama menjaga keselamatan. Di Britain, sebarang buku tentang harimau adalah laris.
Locke nyata sekali pernah berkhidmat dalam tentera British, tetapi tidak semestinya di Malaya atau Tanah Melayu. Pada era itu, kerana kekurangan calon, bekas pegawai askar British boleh menjadi pegawai awam seperti Locke.
Sejak kecil lagi saya selalu berulang alik antara Kuantan dan Kuala Terengganu. Oleh itu Kemaman menjadi tempat berhenti yang tidak dapat tidak. Ibu saudara saya yang tinggal di Kuala Terengganu kenal dengan Che Aminah, ibu angkat Natrah, kerana mereka adalah orang berniaga. Bezanya, Che Aminah adalah luas langkah perniagaannya sehingga ke Singapura, sedangkan ibu saudara saya hanya berniaga di Kuala Terengganu.
Ditakdirkan Tuhan, suatu hari Locke menghadiri satu hari sukan Sekolah Melayu (sama dengan sekolah kebangsaan rendah sekarang, kerana waktu itu tidak ada sekolah menengah pengantar Melayu). Dia ternampak seorang dara sunti berusia 12 tahun yang berkulit putih, berhidung mancung dan berambut perang di antara begitu ramai murid-murid Melayu.
Locke sudah sedia maklum bahawa satu keluarga Belanda sedang mencari anaknya yang diserahkan kepada seorang wanita Melayu menjelang serangan Jepun di permulaan Perang Dunia Kedua di Singapura. Justeru hari sukan sekolah pada tahun 1949 itu menjadi permulaan tragedi Natrah yang berakhir dengan meninggalnya Natrah tidak berapa lama dulu.
Akhir-akhir ini saya dapat berbual dengan Syed Ali Al-Hamid dan anak saudaranya Syed Abdul Rahman Al-Hamid. Masa kecil dan masa muda Syed Ali banyak dihabiskan di Kemaman. Kebetulan pula Syed Ali ialah calon kawasan parlimen Kuantan tahun 1986 yang menjadi saingan saya. Jarak Kuantan dengan Kemaman ialah 60 kilometer. Saya menang atas tiket Barisan Nasional. Kami hanya kenal pada malam pengiraan undi. Tidak hairanlah kami tidak kata mengata antara satu sama lain. Justeru kami bertiga kekal berkawan mesra sampai sekarang.
Menurut Syed Ali, beliau mengenali Natrah sejak kecil lagi memandangkan beliau lahir pada tahun 1930 sedangkan Natrah tahun 1937.
Syed Ali mengenali Locke secara peribadi. Katanya, rahsia Locke hendak membawa Natrah disedari oleh Che Aminah, lalu ibu angkat Natrah itu cepat-cepat mengahwinkan Natrah dengan Mansor Adabi. Bagaimana pun, Locke amat keras peribadinya. Tambah Syed Ali, Locke mempastikan Natrah diambil di tengah malam secara senyap-senyap dan di bawa ke Singapura. Mahu tidak mahu, Che Aminah terpaksa ikut pergi ke Singapura.
Locke sedar kiranya kes Natrah dibicarakan di Kemaman atau Kuala Terengganu, pasti pada akhirnya Sultan Terengganu boleh masuk campur kerana ia melibatkan orang Islam; dan raja berhak secara mutlak dalam hal-hal berkenaan agama Islam dan segala yang berkaitan dengan aspek-aspek keislaman, termasuk nikah kahwin. Lebih-lebih lagi berkenaan penukaran agama dari Islam ke agama lain.
Akur
Mahkamah perlu akur terhadap kemutlakan itu. Oleh itu Natrah mungkin kekal bermastautin di Kemaman dan Terengganu.
Pada minggu lepas saya mengambil gambar di beberapa sudut Kemaman. Kota tepian sungai ini sinonim dengan Cukai. Sering pula kita tertanya di mana Cukai bermula dan di mana Kemaman berakhir. Yang nyata ialah Cukai ialah lokasi pejabat kastam - kini tiada lagi - yang terletak betul- betul di kepala tanjung kecil yang menjadi tebing tinggi kepada sungai Kemaman.
Disebabkan aktiviti pejabat kastam itu tidak lain daripada mengutip cukai, maka lama kelamaan lokasi itu dipanggil Cukai saja. Kekallah dia hingga sekarang.
Dulu banyak kapal berlabuh di hadapan pejabat kastam. Semua kapal itu adalah kapal kargo yang juga beperanan sebagai kapal penumpang. Itulah kemudahan Che Aminah untuk berulang alik ke Singapura demi berniaga. Dan pada salah sebuah kapal itulah juga Che Aminah bertolak ke Singapura untuk bersama Natrah bagi kali terakhir pada awal tahun 1950.
Menurut Syed Ali, beberapa bulan dulu Natrah ada balik ke Kemaman dan berjumpa saudara maranya. Ini bererti Natrah sudah berusia 72 tahun dan sudah pun berpisah dengan Kemaman selama 59 tahun. Jelas sekali tiada media yang tahu tentang kepulangan Natrah ini, maka itu tidak ada liputan langsung.
Segalanya itu berlaku seolah-olah sudah tergerak di jiwa Natrah bahawa beliau akan meninggalkan dunia fana ini dalam satu jangka yang singkat, seperti mana yang sudah terbukti.
Kalau Banggul Derdap terkenal dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, maka Banggul adalah kampung di tengah kota Kemaman, setengah kilometer dari lokasi kastam, di mana Natrah dibesarkan. Kini yang tinggal hanya kenangan.
- Tan Sri Adam Kadir ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara.
0 comments:
Post a Comment