7 wasiat Raja Melayu jamin keharmonian Malaysia

7 wasiat Raja Melayu jamin keharmonian Malaysia

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

SELEPAS negara merdeka lebih 50 tahun, sudah kedengaran suara halus dan lantang mempertikaikan beberapa perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hak kedaulatan dan kebesaran Raja Melayu, hak keistimewaan Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan adat istiadat Melayu.

Perkara ini lebih ketara apabila lima negeri dikuasai pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-12, (Perak kemudian dikuasai semula Barisan Nasional, Februari lalu) dan diburukkan lagi dengan beberapa isu dan 'politiking' yang dimainkan ahli politik, termasuk mereka yang pertama kali dan tiada pengalaman menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Seperti kata seorang pensyarah politik, ketidakstabilan dan krisis politik tanah air selepas pilihan raya umum berlaku kerana ahli politik terlalu 'berpolitiking' selain latar belakang mereka sebagai 'bidan terjun' dalam bidang politik.

Malah, kebanyakan Ahli Parlimen atau Adun yang ada kini, pertama kali bertanding dan menang, mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk di kalangan peniaga kecil atau penganggur yang tiada pengalaman dalam politik. Lebih teruk lagi ada yang tidak bersedia kerana tidak jangka menang.

Ada yang menyatakan ahli politik yang ada, (pertama kali menjadi Ahli Parlimen dan Adun) mengalami kejutan budaya dan tidak pandai menguruskan kemenangannya.

Lantaran itu, wujudlah pelbagai pertikaian dan tuntutan yang mencabar Perlembagaan Persekutuan kononnya diperjuangkan atas nama keadilan dan suara rakyat.

Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik untuk menyedarkan rakyat bahawa tuntutan dan pertikaian yang dibangkitkan ahli politik berkenaan tidak boleh dipersoalkan kerana ia sudah termaktub dan dipersetujui semua kaum dalam Perlembagaan Persekutuan hasil Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Pengisytiharan Kemerdekaan 1957.

Tidak cukup dengan itu, Raja-Raja Melayu mula bersuara dan mengingatkan rakyat tidak lagi mempertikaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun pada hakikatnya perkara itu tidak perlu diingatkan kerana Raja-Raja Melayu mempunyai kedaulatan yang sepatutnya difahami setiap warga negara.

Terbaru, sekali lagi peringatan diberikan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang membentangkan tujuh wasiat Raja-Raja Melayu sebagai peringatan yang perlu diambil berat setiap rakyat.

Ada suara yang menyatakan sebagai Raja, perkara berkenaan tidak perlu dibangkit dan dibentangkan kerana rakyat sepatutnya faham bahawa Raja-Raja Melayu itu ada daulatnya.

Namun, nampaknya ramai yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham mengenai konsep kedaulatan Raja dan Raja yang menaungi dan memayungi rakyat.

Ahli sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, berkata beliau tidak pernah mengetahui mengenai wasiat berkenaan kerana ia adalah dokumen rasmi yang disimpan Majlis Raja-Raja dan pendedahan Raja Muda Perak perlu dipandang serius setiap warga negara.

"Ia bukan satu peringatan biasa tetapi penuh makna tersirat dan tersurat yang perlu diberi perhatian. Ramai yang lupa bahawa Raja-Raja mempunyai daulat yang menjadi tonggak keamanan dan kesejahteraan di negara ini sejak merdeka," katanya.

Sebelum 1948, negara yang dinamakan Tanah Melayu ini milik Raja-Raja Melayu dan kuasa Raja-Raja adalah mutlak bermakna apa saja yang diperintahkan baginda perlu dipatuhi kerana ia adalah undang-undang dan tidak boleh dibantah.

Namun, apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayu dengan rela hati mengurangkan kuasanya dan wujudlah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang mana sedikit kuasa diserahkan kepada rakyat dan pentadbiran serta pengurusan negara atau negeri diserahkan kepada wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya yang dilantik sebagai Kabinet (Kerajaan Persekutuan) dan barisan Exco (kerajaan negeri).

Prof Ramlah berkata, apabila sistem pemerintahan Raja mutlak ditukarkan kepada Raja Berperlembagaan, maka Raja-Raja Melayu tidak lagi dilihat kerap dalam masyarakat walaupun sering menemui rakyat jelata.

Keadaan berkenaan menjadikan ramai tidak faham bahawa Raja-Raja mempunyai fungsi dan ada yang menyatakan Raja-Raja Melayu hanya mendapat elaun walaupun hakikatnya Raja-Raja yang menaungi dan memayungi rakyatnya.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu sudah banyak diajar di sekolah, namun rakyat sering lupa apabila tamat persekolahan dan lebih menyedihkan apabila berada dalam masyarakat mereka disogok dengan maklumat salah atau yang dipesongkan mengenai Perlembagaan Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.

Suasana politik tanah air dan kewujudan kelompok yang menggelarkan diri sebagai pejuang sosial (sosialis) menjadikan keadaan sedia ada lebih parah apabila mereka cuba menukarkan sistem pemerintahan sekarang menjadi seperti republik yang mana tiada lagi kuasa Raja yang memerintah.

Sering kali orang lupa, demokrasi yang diamalkan tidak bermakna seseorang itu bebas mengeluarkan apa saja perasaan tanpa memikirkan keselamatan rakyat umum.

Kelompok ini berasakan jika kedaulatan Raja-Raja Melayu dikikis, lebih mudah usaha mereka mewujudkan kesamarataan rakyat dan hak orang Melayu dibuang.

Pandangan itu dipersetujui Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Zainal Abidin Borhan yang berpendapat tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang dikemukakan Raja Muda Perak itu kerana Raja-Raja Melayu nampak sudah ada usaha menggugat kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu serta apa saja yang ada Melayu.

"Pada saya, ia satu peringatan penting untuk menyedarkan orang Melayu dan peribumi serta rakyat seluruhnya mengenai asal usul mereka, juga bagaimana Raja-Raja Melayu itu memayungi dan menaungi rakyat supaya negara ini sentiasa sejahtera, damai dan aman.

"Lebih penting lagi, wasiat itu jelas memberitahu bahawa negara ini adalah miliki Raja-Raja Melayu. Malah, Britain yang pernah menjajah negara ini pun menyerahkan Tanah Melayu kepada Raja-Raja Melayu pada 31 Ogos 1957 kerana mereka tahu wilayah ini milik Raja-Raja Melayu dan baginda dapat menyatupadukan rakyat dan keamanan dapat dicapai," katanya.

Peringatan berkenaan juga bertepatan situasi terkini di dalam negara, yang mana sudah ada usaha pihak tertentu yang didalangi orang asing untuk menggugat institusi diraja dan kerajaan dengan membangkitkan apa saja isu yang berkaitan orang Melayu seperti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara Malaysia (SPRM).

Jelas sekali, kata Dr Zainal Abidin, Raja-Raja Melayu amat bertanggungjawab dalam memayungi dan menaungi rakyatnya.

Beliau yang juga Setiausaha Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berkata, wasiat itu juga mengingatkan rakyat yang dinaungi Raja-Raja Melayu bahawa Malaysia tanah berdaulat dan rakyat jangan sesekali menderhaka dengan mewujudkan ketidakselesaan dan suasana kacau-bilau di negara ini.

"Kelompok yang menjadi 'kitol' (penderhaka), 'Raja Mandeliar' (petualang) serta 'patih' (orang asing) sentiasa mencari jalan supaya orang Melayu Islam tidak mendominasi negara ini kerana ia akan membantutkan usaha mereka mahu menjadikan Malaysia seperti Singapura dan Indonesia yang kini tiada raja dan menjadi republik.

"Kelompok ini tidak kira didalangi parti pembangkang atau tidak, sebenarnya tahu mereka boleh berkuasa dan menafikan hak orang Melayu sekiranya kuasa Raja-Raja Melayu dihapuskan di bumi bertuah ini, jadi ini memang masa sesuai untuk Raja-Raja Melayu membentangkan wasiat itu," katanya.

Apa yang jelas, satu persatu bukti dan butiran sejarah yang dikeluarkan institusi diraja sejak kebelakangan ini perlu diberikan perhatian dan siapa pun tidak tahu ada banyak lagi dokumen penting di dalam simpanan Raja-Raja Melayu mengenai tanah air ini.

Bagi puak yang berasakan sudah dapat 'kuasa' jangan sesekali cuba mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu kerana bumi bertuah ini memang milik Raja-Raja Melayu, hatta Britain pun memulangkannya ketika Tanah Melayu mahu diisytiharkan merdeka.

Sebagai penamat, hayati titah Raja Nazrin Shah pada Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Khamis lalu;

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal tertentu."

INFO
7 wasiat Raja Melayu

# Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia)

# Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain

# Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar

# Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini

# Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan

# Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu

# Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain. (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)

0 comments: