|
|
PADA Selasa ini, pengganas paling dikehendaki di Indonesia, Noordin Mat Top sepatutnya menyambut hari jadi ke-41 tetapi riwayatnya berakhir semalam.
Pemuda berasal dari Johor itu akhirnya tewas apabila ditembak mati dalam serbuan polis ke atas sebuah rumah di Kedu, Temanggung, Jawa Tengah.
Noordin yang dianggap licik dalam melarikan diri daripada tangkapan pihak berkuasa, terbujur kaku di dalam bilik air, selepas hampir 17 jam polis mengepung rumah berkenaan dan berbalas tembak dengannya.
Walaupun usaha dilakukan untuk memujuk dia menyerah diri namun saranan berkenaan disambut dengan tembakan balas ke arah polis. Berikutan itu pihak polis tidak mempunyai pilihan selain memastikan kali ini Noordin tidak akan terlepas lagi.
Penjenayah berkenaan harus ditangkap sama ada hidup atau mati. Akhirnya Noordin yang selama ini begitu cekap meloloskan diri tidak berupaya lagi. Dia terkena sebahagian ratusan butir peluru yang dihala ke rumah itu yang dianggap polis sebagai sarang pengganas.
Serbuan ke atas tempat persembunyian Noordin dilakukan setelah sebelumnya polis berjaya melumpuhkan jaringan Noordin di Bekasi, Jakarta. Dalam serbuan berkenaan seorang lelaki ditangkap dan dua lagi ditembak mati. Kesemua mereka adalah orang suruhan Noordin.
Apa yang mengejutkan dalam serbuan di Bekasi, siasatan polis mendapati kumpulan Noordin sudah menyiapkan bom seberat 500 kilogram bagi meletupkan Istana Presiden Republik Indonesia.
Noordin merancang untuk melancarkan serangan berkenaan dua minggu lagi sebagai 'hadiah jari jadinya' ke-41, tetapi impian itu tidak tercapai, Noordin akhirnya menerima pembalasan terhadap jenayah yang dilakukan.
Selama ini dalam setiap serangan yang dilakukan, Noordin menganggap ia sebagai amalan jihad bagi membalas tindakan ketenteraan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) di beberapa buah negara Islam termasuklah di Iraq dan Afghanistan.
Sasaran utama ialah kawasan dan kepentingan negara kuasa besar itu di Indonesia. Malah selepas serangan di Hotel J.W Marriot dan Hotel Ritz-Carlton, Noordin dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh sebuah laman web kumpulan jihad, Tanzim Qaeda Al-Jihad mengakui bertanggungjawab atas kejadian itu.
Sememangnya sekalung tahniah harus diberikan kepada Polis Republik Indonesia (POLRI) yang tidak pernah berputus asa memburu Noordin. Tragedi serangan bom di Bali yang mengakibatkan 202 terbunuh menjadi Noordin sebagai buruan utama. Ganjaran sebanyak RM340,000 ditawarkan kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat mengenai keberadaannya.
Selama enam tahun, Noordin diburu siang dan malam. Kegigihan polis negara itu memburu Noordin semakin ditingkatkan apabila berlaku serangan bom di Hotel J.W Marriot dan Hotel Ritz-Carlton pada 17 Julai lalu.
Noordin Mohd Top atau Noordin Mohammed Top atau Noordin M Top pernah menjadi guru dan mengajar di Sekolah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram, Johor. Bekas akauntan itu mendapat perhatian antarabangsa selepas kejadian serangan bom di Bali pada 2002 dan serangan bom di Hotel J.W. Marriott Jakarta pada 2003.
Noordin Mohd Top dikaitkan dengan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI). Dia mempunyai hubungan rapat dengan Dr Azahari Husin yang ditembak mati oleh polis Indonesia pada November 2005.
Mengesan
Dr. Azahari dan Noordin yang sama-sama belajar dan bertugas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor telah melarikan diri ke Indonesia selepas polis Malaysia mengesan dan menangkap gerakan ini selepas peristiwa 11 September. Ketika di Indonesia, dia menggunakan nama samaran Abdurrachman Aufi. Noordin bertindak sebagai penasihat kewangan kerana berkelulusan akauntan. Sementara Dr. Azahari bertindak sebagai pembuat bom.
Kini kedua-dua pengganas berkenaan sudahpun mati tetapi persoalannya yang bermain di fikiran banyak pihak ialah apakah dengan matinya Noordin maka akan berakhirnya ancaman pengganas di Indonesia. Sebelum ini, apabila kawan rapat Noordin, Dr. Azhari ditembak mati, ramai yang menyangkakan tiada lagi serangan bom biarpun Noordin berjaya melarikan diri.
Tetapi impian itu tidak tercapai, sebaliknya Noordin terus melakukan aksi kejamnya, satu demi satu serangan dilakukan sehingga mengorbankan ratusan nyawa insan tidak berdosa dan terbaru di Jakarta.
Mengulas perkara ini, Ketua Meja Anti Pengganas Kementerian Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Ansyaad Mbai berkata, ancaman pengganas tetap ada walaupun Noordin yang dianggap nadi utama pergerakan Al-Qaeda Indonesia sudah ditembak mati.
Ansyaad membuat tafsiran berasaskan kepada jaringan yang dibina oleh Noordin sepanjang dia berada di Indonesia dan menjadi buruan polis. Setakat ini tiada siapa pun yang mengetahui berapa ramaikah yang sudah dilatih oleh Noordin untuk menjadi pengebom berani mati.
Pengikut Noordin dikatakan berada di seluruh Indonesia dan mereka adalah pengikut setia yang sanggup mengorbankan nyawa kerana diberi pemahaman songsang oleh Noordin bahawa perbuatan menjadi pengebom berani mati adalah satu jihad.
''Keberadaannya yang telah lama di Indonesia dengan beberapa aksi serangan yang dilakukan hingga Julai lalu menandakan Noordin terus membangun kekuatannya secara rapi, dalam bentuk jaringan,'' kata Ansyaad.
Berdasarkan hakikat itu, polis Indonesia masih belum mampu menarik nafas lega biarpun Noordin sudah mati. Noordin mungkin sudah membentuk satu jaringan yang tidak mudah dilumpuhkan.
Tambahan pula, pada ketika ini masih terdapat ramai lagi orang kanan Noordin yang masih belum dapat dikesan, biarpun satu demi satu serbuan dilakukan oleh polis ke atas tempat yang dikatakan menjadi markas persembunyian pengganas-pengganas berkenaan.
Balas dendam
Kepakaran Noordin membuat bom yang kemudiannya diajarkan kepada pengikut-pengikut seharusnya menjadi isyarat kepada pihak berkuasa untuk terus berwaspada.
''Keahlian yang dimiliki kelompok Noordin M Top dalam membuat bom terus berkembang terlihat daripada modus operandi yang digunakan, kepakaran ini tentu dimiliki oleh jaringan yang dibentuknya sekian lama terutama dalam empat tahun terakhir. Ini yang tetap menjadi ancaman,'' katanya.
Apa yang turut harus menjadi pertimbangan ialah aksi membalas dendam yang mungkin akan dilancarkan oleh kumpulan Al-Qaeda kerana kematian Noordin dianggap kehilangan besar bagi operasi mereka di Asia Tenggara.
Noordin selama ini menjadi penggerak kepada setiap serangan yang dirancang oleh Al-Qaeda terutamanya di Indonesia. Dia dilihat berupaya melunaskan semua tugasan yang diberikan dengan berkesan.
Kematian Noordin sudah tentulah akan membangkitkan kemarahan Al-Qaeda dan pengikut-pengikut setia Noordin yang masih wujud di Indonesia.
Tambahan pula, kematiannya mengakibatkan kumpulan pengganas itu terutamanya JI tidak lagi mempunyai pemimpin utama. Selain Noordin dan Dr. Azhari yang ditembak mati, seorang lagi pemimpin pertubuhan itu, Mas Slamat kini berada dalam tahanan polis Malaysia.
Ini bermakna pihak berkuasa tidak boleh memandang ringan ancaman yang mungkin wujud. Ia memandangkan Noordin mungkin secara senyap-senyap sudah menyiapkan penggantinya bagi meneruskan perjuangan kumpulan mereka.
Jaringan Noordin harus diburu habis-habisan kerana selagi ia belum disahkan sudah terhapus, selagi itulah ancaman pengganas tidak akan berakhir sama ada di Indonesia mahukan negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Ia kerana kalau dikaji, setiap serangan yang berlaku sebelum ini dilakukan oleh individu berbeza. Noordin hanya menjadi perancang dan pembuat bom tetapi yang meletupkannya adalah terdiri anak-anak muda yang terpengaruh dengan istilah mati syahid yang ditafsirkan mengikut sikap ekstrem Noordin.
Keadaan itu sudah jelas membuktikan bahawa Noordin mempunyai ratusan mungkin ribuan lagi pengikut yang kini bebas dan bersedia bila-bila masa untuk melancarkan serangan.
Mungkin dari satu segi, gerakan kumpulan pengganas ini agak terbantut berikutan kematian Noordin tetapi dalam peristiwa di Jakarta baru-baru ini, ia membuktikan bahawa Noordin sudah melatih pembuat bom. Oleh itu, kalau pun Noordin sudah tiada lagi, kumpulan JI atau Al-Qaeda Indonesia tetap mempunyai pelapis bagi menggantikan Noordin.
Turut perlu diambil kira ialah anggota pengganas lain yang sanggup masuk ke Indonesia bagi meneruskan 'perjuangan' yang ditinggalkan oleh Noordin.
Justeru kematian Noordin bukanlah satu penamat kepada peperangan melawan pengganas. Sebaliknya kematian lelaki itu harus dijadikan isyarat untuk pihak berkuasa Indonesia memperkukuh dan mempertingkatkan lagi usaha menghapuskan pengganas.
0 comments:
Post a Comment