Balasan pukul junior

Balasan pukul junior

Arman, pelajar sekolah agama, meringkuk di dalam penjara sejak usia 17 tahun kerana memukul mati seorang pelajar tingkatan tiga.




ARMAN, berusia 22 tahun, berbadan kecil serta berkulit hitam manis. Sebelum ini, dia ialah pelajar sebuah sekolah agama di selatan tanah air.

Ibu bapanya menghantar Arman ke sekolah itu dengan harapan dia mendapat pendidikan dunia dan akhirat yang seimbang.

Namun, satu kesilapan hampir memusnahkan hidup Arman.

Tindakannya memukul seorang pelajar junior tingkatan tiga di asrama sekolah menyebabkan dia meringkuk di dalam penjara seawal umur 17 tahun.

Sewaktu ditemui di Penjara Kajang, Selangor, Arman tenang dan bersahaja. Perbualan selama hampir sejam itu berlalu serius. Walaupun adakalanya penulis bergurau, tiada reaksi senyuman daripada Arman.

Mengimbas kembali pengalaman lalu, Arman menceritakan: “Pada masa itu, pelajar baru tingkatan tiga mendaftar ke sekolah. Seperti biasa, pelajar junior akan memasuki ‘sesi buli’ oleh pelajar senior.

“Biasanya mereka akan diminta membelikan makanan dan peralatan sekolah, serta membasuh pakaian dan menggosok baju kami.

“Ia bukannya berniat jahat sebaliknya supaya kami lebih mengenali antara satu sama lain bila tamat minggu orientasi tersebut,” kata Arman.

Malangnya, satu insiden di asrama sekolah telah mengubah 360 darjah kehidupannya.

“Ada seorang pelajar junior bernama Lukman. Sejak dia masuk dan tinggal bersama di bilik asrama, sikapnya tidak menyenangkan pelajar-pelajar senior.

“Degil dan keras kepala. Dia berlagak mengalahkan seorang senior dan tidak ikut cakap. Malah dia sering ponteng kelas persediaan malam.

“Pada satu hari, kami pesan lagi supaya dia pergi ke kelas malam untuk belajar namun dia tetap berdegil. Cuma kali ini dia menghambur kata-kata kesat hingga membangkitkan kemarahan kami.

“Saya bersama tujuh rakan lain yang tidak dapat menahan sabar terus memukulnya. Oleh sebab dia tidak berhenti memaki, kami memukulnya secara berterusan,” cerita Arman.


ARMAN terlibat dalam kes buli di sekolah yang berakhir dengan kematian. - Gambar hiasan.


Pukul dengan batang penyapu

Selepas teruk dipukul, Lukman pengsan. Semasa warden asrama sampai, Lukman sudah tidak bernafas. Arman dan pembuli lain sangat terkejut sekali. Lukman disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital.

Arman lebih-lebih lagi tergamam. Semasa dibawa ke balai polis, perasaan Arman hanya Allah yang tahu.

Ibu bapa Arman begitu sedih kerana menyangka anak mereka masuk ke sekolah agama untuk menuntut ilmu sebaliknya menjadi seorang pembunuh.

“Saya tidak menyangka peristiwa itu sebegitu buruk. Tetapi sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Perkara itu sudah berlaku, saya tidak boleh memutar semula jarum jam ke belakang,” kesal Arman.

Berdasarkan keterangan saksi, Arman dan rakan-rakannya memukul Lukman menggunakan batang besi dan penyapu.

Mangsa juga ditendang manakala kepalanya dipijak. Lukman disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan perut.

Setelah turun naik mahkamah, Arman dan rakan-rakannya dihukum penjara selama diperkenankan Sultan kerana mereka masih di bawah umur semasa melakukan jenayah itu.

Pada mulanya Arman ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sebelum dipindahkan ke Penjara Kajang.




Kali pertama memasuki penjara merupakan pengalaman yang amat menakutkan Arman.

“Saya tidak pernah masuk penjara. Bayangkan umur masih 17 tahun tetapi sudah menghuni bilik berjeriji besi yang terpisah terus daripada dunia luar.

“Macam-macam perasaan bermain di fikiran. Takut, sedih dan geram, semuanya bercampur. Tiga malam saya tidak dapat tidur kerana mengenangkan nasib.

“Tapi lama-kelamaan saya dapat terima kehidupan di sini. Kalau difikirkan sangat, boleh jadi gila. Cuma di sini kita perlu menghormati orang lain,” ujarnya.

Minta ampun

Arman menambah: “Saya juga tidak menyangka akan tinggal di sini.

“Rakan sekolah yang lain mungkin telah melanjutkan pelajaran, berkeluarga atau sedang meniti hidup dengan bahagia,” katanya yang berharap akan dibebaskan segera.

Kini, Arman banyak menghabiskan masa di penjara dengan mengulang kaji pelajaran serta melakukan aktiviti riadah.

“Saya juga lebih ingat kepada Allah,” katanya yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang perniagaan dengan kerjasama pihak penjara dan sebuah universiti swasta.

“Bezanya, pensyarah datang ke sini untuk mengajar dan saya perlu menyiapkan tugasan yang diberikan,” tambahnya.

Menjadi banduan bukan penamat kehidupan. Kesilapan lalu mengajar Arman erti penyesalan. Kekuatan diri dan semangat menjadi sandaran utamanya.

“Sekiranya saya dibebaskan kelak saya ingin meminta maaf kepada keluarga Lukman kerana mereka telah kehilangan anak akibat perbuatan saya dan rakan-rakan.

“Saya menyesal mereka kehilangan anak yang sangat mereka harapkan,” kata Arman jujur.

0 comments: