Perlu disokong bukan dimusuhi
Oleh Zulkiflee Bakar
zulkifli.bakar@utusan.com.my
''Yang, abang hendak kahwin lagi satu, boleh tak?" Cuba anda bayangkan apa akan berlaku, jika kata-kata ini dilafazkan oleh seorang suami kepada isterinya. Penulis percaya 'alamatnya' berlakulah 'perang dunia ketiga.'
Namun begitu, salah seorang teman penulis pernah menceritakan bagaimana dia mengendalikan keadaan selepas membuat keputusan berkahwin lagi satu.
''Kau jangan risau, paling lama pun sebulan bini kau tak bercakap dengan kau, lepas tu oklah,'' katanya berhujah.
Apa pun kita harus akui bahawa sebahagian besar wanita di dunia ini tidak rela dimadu, mereka akan menganggap wanita yang ingin berkahwin dengan suami mereka sebagai perampas suami orang. Poligami yang dibenarkan oleh Allah seolah-olah dilihat sebagai ancaman kepada kesejahteraan rumahtangga mereka. Mungkin bagi sesetengah wanita, mereka bukannya tidak rela tetapi mereka tahu setakat mana kemampuan suami mereka.
Kalau setiap hujung bulan, baki dalam akaun bank tidak sampai RM1,000, tidak usahlah berangan untuk menambah isteri. Dalam soal ini, penulis bersetuju kerana poligami bukan sekadar satu perkahwinan, memanglah seronok dapat isteri muda atau bak lirik lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, "Kalau isteri tua merajuk balik ke rumah isteri muda, kalau dua-dua merajuk ana kahwin tiga."
Tetapi jauh daripada itu, ia memerlukan lelaki yang berpoligami bertindak seadil-adilnya kepada isteri-isterinya. Dalam bab keadilan inilah, ramai lelaki yang berpoligami 'tergelincir', dari segi hari pun sudah tidak boleh adil kerana dalam seminggu cuma ada tujuh hari sahaja, maknanya salah seorang isteri akan mendapat giliran yang kurang, itu kalau dua isteri, kalau empat isteri, bagaimana?
Namun semua itu bukanlah alasan untuk kita menentang poligami apatah lagi berusaha mengharamkan. Poligami tetap perintah Allah yang layak dilaksanakan oleh mereka yang berkemampuan.
Keburukan
Jangan terlalu taksub melihat amalan itu dari segi keburukan semata-mata atau menjadi pejuang hak wanita yang membuta-tuli. Kenapa perlu hanya mengambil beberapa kes sebagai contoh sedangkan ribuan lagi suami isteri yang hidup dalam amalan poligami mampu bahagia. Sebagai umat Islam, kita harus faham setiap perkara yang dibenarkan oleh Allah pasti ada kebaikannya tetapi yang merosakkan perintah Allah itu adalah manusia sendiri. Poligami tetap harus disokong dan bukannya dimusuhi.
Ketika ramai wanita yang sudah lanjut usia atau lebih popular lagi dengan panggilan 'andartu', mereka juga ada naluri, mereka juga ingin berkahwin seperti wanita-wanita lain tetapi bagaimana kalau ditakdirkan mereka jatuh cinta dengan suami orang?
Mungkin terlalu mudah untuk kita mengatakan bahawa ''punya ramai lelaki dalam dunia ini, laki orang juga yang engkau cari'', tetapi cuba fikirkan bagaimana kalau kita berada di tempat wanita tersebut. Apakah ketika itu kita hendak berhujah bahawa ''itu sudah menjadi takdir aku''.
Atas sebab itulah dalam berhadapan dengan apa juga isu termasuklah poligami, kita perlu berfikiran terbuka dan sentiasa menjadikan Allah sebagai tempat kita mendapatkan hidayah. Janganlah bertindak berlandaskan emosi sehingga perkara yang dihalalkan oleh Islam pun kita hendak haramkan. Lebih malang lagi, kalau dalam mempertahankan pendirian itu kita memperalatkan ayat-ayat al-Quran bagi 'menghalalkan' hujah kita bagi menentang poligami. Ayat al-Quran tidak harus diambil atau difahami separuh-paruh.
Penulis memperkatakan perkara ini kerana melihat ada sesetengah pihak yang kononnya memperjuangkan hak wanita menentang habis-habisan amalan poligami seolah-olah, kalaulah ia dibenarkan di negara ini, maka musnahlah kehidupan wanita. Atas hujah sebegini, mereka sanggup berkempen supaya umat Islam hanya mengamalkan monogami bukan poligami.
Mereka tidak akan melihat bagaimana poligami boleh dilaksanakan dengan baik oleh lelaki yang berkemampuan zahir dan batin. Mereka tidak mahu mengkaji bagaimana ada lelaki yang berkemampuan itu akhirnya terpaksa berkahwin di negara jiran setelah gagal mendapat izin isteri pertama. Justeru penulis tidak hairan kalau ada di kalangan kaum wanita yang berasa resah gelisah dengan penubuhan Kelab Poligami Ikhwan yang dipelopori oleh bekas ahli Al-Arqam.
Mereka akan cuba mencari hujah bagi memastikan kelab berkenaan tidak berkembang. Mereka pasti melihat penubuhan kelab ini akan menggalakkan lelaki untuk berpoligami. Tetapi persoalannya, sekali lagi kita bertanya kenapakah penubuhan berkenaan dilihat dari segi negatif sahaja? Adalah lebih baik jika matlamat sebenar penubuhannya dikaji secara mendalam.
Kebencian atau perasaan anti poligami tidak harus menggugat pertimbangan kita untuk melihat penubuhan kelab berkenaan dari segi kebaikan. Mungkin lelaki dan wanita yang berpoligami boleh belajar sesuatu daripada kelab tersebut dan ini sudah pasti akan mampu mengelakkan berlaku sebarang penganiayaan kepada mana-mana pihak.
Kesimpulannya, sementara kita menentang sebarang kezaliman kepada wanita yang dimadu, kita juga harus berfikiran terbuka menyokong poligami, jika ia dilakukan dengan cara yang betul.
Kalaulah kita mempunyai sikap itu sudah pasti mereka yang berpoligami akan hidup bahagia bak lirik lagu P. Ramlee dalam filem Madu Tiga, "Kepada isteri tua kanda sayang padamu, kepada isteri muda I say, I love you."
0 comments:
Post a Comment