SEKALIPUN Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman menyedari perasaan marah rakyat Malaysia sedang memuncak terhadap Presiden Sukarno yang melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia, tetapi apabila sekumpulan pemuda yang menunjuk perasaan pada 17 September 1963 di Kuala Lumpur meminta supaya beliau memijak simbol Pancasila negara Indonesia, Tunku enggan berbuat demikian.
Simbol itu telah diturunkan dari bangunan Kedutaan Indonesia di Jalan Ampang dan diheret dengan skuter dan motosikal ke kediaman Perdana Menteri di Jalan Dato Onn.
Khalid Yunus pemberita Utusan Melayu yang dihantar untuk meliputi tunjuk perasaan itu telah bertukar menjadi penunjuk perasaan yang menurunkan simbol itu dari anjung bangunan kedutaan.
Menurut Khalid apabila sampai di kediaman Tunku, mereka telah memanggil Tunku keluar dan kemudian mengusung Tunku dan menyuruh Tunku, "pijak! pijak! pijak!" simbol yang dibawa oleh mereka itu tetapi apabila Tunku enggan, mereka meletakkan Tunku di atasnya. Tunku berkata "awatlah hampa buat aku macam ni".
Khalid nampak air mata Tunku tergenang tetapi tidak tahu sebabnya sama ada kerana terpaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan jiwanya atau kerana terharu dengan sikap mereka.
Sebagai Ketua Pemberita pada masa itu saya telah menugaskan Khalid untuk meliputi suatu perhimpunan yang dirancang secara kilat bagi membalas tindakan pemuda-pemuda Indonesia di Medan menunjuk perasaan dan menawan Konsul Malaysia di Medan.
Saya yang turut hadir di perhimpunan itu akhirnya terpaksa mengambil alih tugas Khalid membuat liputan dan menulis berita mengenainya kerana beliau tidak lagi menjalankan tugasnya sebaliknya berada di barisan depan pemuda-pemuda yang berarak dari suatu perhimpunan ramai yang bermula dari Padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru.
Perhimpunan itu telah mendengar ucapan-ucapan penuh bersemangat dan berapi-api mengecam konfrontasi. Di antara pemidatonya ialah Ketua Pengarang Utusan Melayu, Melan Abdullah yang muncul sebagai Ketua Barisan Bertindak Rakyat Malaysia yang ditubuhkan secara kilat untuk melancarkan perang saraf ke seluruh negara bagi memerangi konfrontasi Indonesia.
Perarakan ke Jalan Ampang itu membawa sepanduk anti Parti Komunis Indonesia (PKI) dan mengecam Menteri Luar Indonesia Subandrio dan Presiden Sukarno. Salah satu sepanduk itu berbunyi "Sukarno kuda tunggangan Aidit."
perisytiharan
Tunjuk perasaan itu berlaku menjelang perisytiharan penubuhan Malaysia pada petangnya tanpa mempedulikan bantahan Indonesia yang menganggapnya sebagai gagasan penjajah. Pada hari itu juga hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia diputuskan.
Dalam perisytiharan penubuhan Malaysia itu Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman memberitahu perhimpunan lebih 20,000 orang di Stadium Merdeka.
''Kami bersedia untuk mengawal dan mempertahankan negara kami daripada serangan musuh dengan apa juga kuasa yang ada pada kami dan juga dengan nyawa kami" (lihat Looking Back )
Dalam perang saraf menentang Indonesia, Malaysia menumpukan serangan kepada PKI yang dipimpin oleh D.N. Aidit dan juga Subandrio. Sukarno lebih dilihat sebagai telah dipergunakan oleh PKI.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie telah mendapat maklumat dari berbagai sumber, tentang Sukarno tidak lagi dapat menolak kekuatan PKI. Antaranya ialah dari Duta Indonesia di Singapura, Sugiharto yang merupakan orang Sukarno.
Ghazali telah bertanya kepada Sugiharto kenapa Presiden Sukarno nampak bimbang dengan beberapa pihak yang dijemput untuk menyertai persidangan puncak antaranya dengan Tunku Abdul Rahman di Tokyo pada Jun 1963. Sugiharto memberitahu Ghazali bahawa PKI adalah sangat tidak senang dengan rancangan pertemuan ini. (Lihat buku Ghazali Shafie terbitan UKM: Memoir on The Formation of Malaysia)
Ini, kata Ghazali menghairankan kerana selalunya Sukarno bercakap besar mendakwa beliau dapat mengawal PKI dan juga PKI tidak boleh mempengaruhinya, malah ini dipercayai oleh Amerika. Sugiharto memberitahu itu "hanyalah gendang kosong" dan beliau meminta Malaysia tidak menjadikan ini sebagai propaganda. Ghazali segera sedar bahawa Sugiharto adalah president's man yang anti komunis.
Perkara ini lebih jelas lagi dalam buku Leftenan Jeneral Kemal Idirs "Bertarung dalam Revolusi. Beliau yang tidak bersetuju dengan Sukarno telah ditugaskan dalam masa konfrontasi untuk menyusun gerakan menyerang Malaysia dari Sumatera.
Mencerminkan
Di muka 191 buku ini, Kemal menulis, ''Perubahan politik Bung Karno mencerminkan suasana yang makin keruh. Semula dia beranggapan dengan karisma dan kepimpinannya dia dapat menguasai PKI. Ini meniupkan angin sejuk bagi mereka yang bergerak di tengah PKI dengan politik Nasakom (Gagasan Sukarno untuk menyatukan nasionalis, agama dan komunis).
''PKI tidak mensiasiakan kesempatan itu. Mereka duduk di pundak Bung Karno, secara cerdik mempergunakan kesempatan untuk kepentingan mereka sekali gus memupuk kekuatan di tengah masyarakat. Pada tahun 1965, pada perayaan hari ulang tahun PKI, suasana di tiap kota berubah bagaikan lautan komunis. Bendera merah bergambar pada palu arit berkibar di depan rumah anggota mahupun simpatisannya sepanjang hari baik di kota mahupun di desa.
''Bung Karno selalu merasa mampu mengatasi PKI kerana menganggap mereka adalah Komunis Nasional. Apakah Bung Karno tidak mengetahui hubungan PKI dengan China Komunis itu sangat erat? Bahkan pola PKI adalah juga pola China Komunis yang sudah beralih dari Rusia," kata Kemal.
Sebenarnya punca ketakutan di pihak tentera dan nasionalis Indonesia itu yang anti komunis adalah juga merupakan ketakutan yang pada Tunku Abdul Rahman. Tunku takut kepada komunis kerana komunis di Malaysia adalah sebahagian besar orang Cina.
Tunku telah pun memberitahu Sukarno ketika beliau menemuinya sebagai Ketua Menteri Malaya dalam tahun 1956 bahawa orang Melayu di negara kecil Malaya melihat Indonesia sebagai negara yang dapat memberikan pimpinan dan bantuan sekalipun telah merdeka dan berdaulat (Lihat Looking Back).
Tunku tentu mempunyai banyak sebab untuk tidak mahu memijak simbol negara Indonesia. Di antaranya ialah kerana sikap beliau yang sederhana yang selalu tergambar dalam pendekatan politiknya dan juga dalam sikap hidupnya.
Khalid Yunus yang mencatat sejarah sebagai orang yang berada di barisan depan dalam tunjuk perasaan yang pertama di negara ini terhadap Indonesia telah meninggalkan bidang kewartawanan di usia mudanya. Beliau menyertai politik.
Beliau antara lain pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian Tan Sri Samad Idris, Setiausaha Parlimen dan juga Timbalan Menteri Penerangan.
Sejak persaraannya dari politik, Khalid aktif dalam bidang kesukanan. Beliau sekarang menjadi Presiden Persatuan Kembara Malaysia. Jika dalam usia mudanya beliau memanjat dan memacakkan bendera Malaysia di bangunan Kedutaan Indonesia, di dalam usianya yang menjangkau 70-an beliau telah mendaki beberapa gunung di dalam dan di luar negara dan memacak bendera Malaysia di mana beliau sampai.
Di antara gunung yang telah didakinya ialah di gunung tertinggi di Perancis Mont Blanc, gunung tertinggi di benua Amerika Selatan Gunung Acongcagoa Argentina, gunung tertinggi di Afrika, Kilimanjaro Tanzania, Gunung Kerinci di Indonesia dan Gunung Everest. Sekalipun beliau tidak sampai ke puncaknya tetapi setakat mana beliau sampai di sana beliau memacakkan bendera negara.
Catitan:
l Memoir on the Formation Of Malaysia oleh Ghazali Shafie diterbitkan oleh Penerbit UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia).
l Kemal Idris Bertarung Dalam Revolusi disusun oleh Rosihan Anwar, Ramadhan K.H., Ray Rizal dan Din Majid diterbitkan oleh Pustaka Sinar Harapan Jakarta.
l Looking Back oleh Tunku Abdul Rahman Putra diterbitkan oleh Pustaka Antara Kuala Lumpur dan terjemahannya Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.
Minggu depan: Antara Tunku, wartawan, seniman dan budayawan
- Zainuddin Maidin ialah bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan. e-mel: zainudinmaidin@gmail.com
0 comments:
Post a Comment