Industri pelacuran di Afrika Selatan dijangka akan mendapat durian runtuh apabila Kejohanan Piala Dunia berlangsung pada tahun depan. Ramai pekerja seks mahu kerjaya mereka diiktiraf dan tidak diganggu oleh pihak polis.
DENGAN ratusan ribu pelancong dijangka membanjiri Afrika Selatan untuk menyaksikan Piala Dunia 2010, satu perdebatan tercetus mengenai undang-undang pelacuran dalam negara yang mempunyai wabak AIDS terbesar di dunia itu.
Pakar perundangan mencadangkan satu kertas kerja untuk menggubal undang-undang pelacuran agar lebih bebas, dengan mengatakan pihak polis sepatutnya memberi tumpuan pada jenayah serius berbanding dengan isu remeh seperti pelacuran.
Cadangan itu secara keseluruhannya mendapat sokongan padu pegawai polis di Afrika Selatan. Kim, 35, salah seorang pekerja seks dari Cape Town sudah lali dengan cabaran dunia pelacuran di Afrika Selatan.
"Saya fikir, ia (undang-undang baru) akan membawa manfaat kepada pekerja seks. Pada masa ini, pekerja seks tidak diiktiraf sebagai kerjaya dan hak asasi pekerja seks telah dicabuli," kata Kim.
Kim tidak mempunyai rumah dan ketagihan sedatif yang dikenali sebagai Mandrax. Dalam kalangan penduduk tempatan pula, ia disebut buttons dan metadon kristal itu dijual sebagai tik.
Namun, Kim melihat dirinya sebagai pekerja sosial selepas 11 tahun bergelumang dalam industri tersebut dan kini semakin bersemangat untuk menantikan ketibaan pelancong asing sewaktu Piala Dunia kelak.
Penyokong untuk pekerja seks mengatakan kewujudan sistem itu semata-mata membolehkan penjenayah mengawal perniagaan tersebut.
"Terbaru, ia akan semakin rancak sewaktu Piala Dunia kelak dan dikawal sepenuhnya oleh penjenayah. Ia merupakan jalan utama yang memberi peluang kepada penjenayah," kata Pengarah Sex Workers Education & Advocacy Taskforce (SWEAT), Eric Harper.
Sebelum Piala Dunia 2006 di Jerman, terdapat kebimbangan bahawa lebih daripada 40,000 pekerja seks akan membanjiri negara tersebut yang mana pelacuran adalah terkawal.
Bagaimanapun, laporan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa menunjukkan ia tidak berlaku dan statistik menunjukkan sebaliknya.
"Di Jerman, pekerja seks adalah terkawal, tetapi pekerja seks di Afrika Selatan tidak terkawal," ujar Harper.
Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang di bawah Kementerian Keadilan telah mencadangkan pilihan munasabah termasuk pembatalan menyeluruh mengenai undang-undang pelacuran atau mengadakan sistem yang membenarkan kerajaan mengawal perniagaan tersebut.
Penyelidik, Dallene Clark berkata, tugas suruhanjaya itu tidak terikat kepada Piala Dunia, tetapi merupakan sebahagian daripada reviu mengenai kesilapan undang-undang seksual di Afrika Selatan sejak 10 tahun lalu.
Isu utama dalam perdebatan tersebut termasuklah kebimbangan jumlah kemasukan manusia ke Afrika Selatan dan yang lebih hebat adalah risiko penularan AIDS dalam negara yang lima juta daripada populasi 48 juta penduduknya telah dijangkiti HIV.
"Kajian cenderung menunjukkan bahawa pelacuran (terutamanya wanita) lebih mudah terdedah kepada jangkitan berbanding pelanggan mereka dan selalunya kita tidak mampu mendesak mereka melakukan amalan seks yang selamat," menurut laporan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang.
Kim bersetuju dengan pendapat itu sambil mengatakan para pelacur lebih tertarik untuk menerima bayaran berganda bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tidak mahu menggunakan kondom.
SWEAT kini berusaha untuk mendesak pembatalan undang-undang lama dengan tambahan undang-undang baru bagi melindungi hak pekerja-pekerja seks.
"Mereka langsung tidak mempunyai akses terhadap undang-undang buruh. Mereka perlu mempunyai kontrak, cuti sakit dan waktu bekerja normal. Dengan adanya undang-undang tersebut, mereka akan kurang terdedah pada eksploitasi.
"Namun, harus diingat tindakan kami mendesak pembatalan undang-undang lama itu bukan bermaksud untuk mempromosikan pekerja seks sebagai satu kerjaya," ujar Harper. - AFP
0 comments:
Post a Comment