ISU-ISU AKHBAR CINA

ISU-ISU AKHBAR CINA

Kejutan daripada babi

RENCANA Sin Chew Jit Poh pada 4 Julai 2009 mengutarakan tajuk Dengar Sebutan Babi, Terus Terkejut. Menurut penulisnya, babi bukan ‘berhala’ yang diagungkan tapi haiwan yang dianggap penting. Sebab itu ada orang Cina menghidang babi di dalam ruang tamu (menurut tradisi majlis sambutan Cina) kerana ia suatu cita rasa yang istimewa.

Babi adalah haiwan yang kerap diketepikan daripada disayangi, adakala orang mengambil bentuknya untuk dibuat tabung duit, ia dipercayai boleh menarik rezeki, tapi apabila tabung ini penuh berisi, ia terpaksa menerima nasib dihempas dan dipecahkan, sebab pemiliknya mahu mengambil duit syiling yang berkilau-kilauan.

Walaupun kerajaan China menyebutkan penyakit Influenza A H1N1 dengan perkataan selesema jenis A, tapi hampir 90 peratus rakyat China menyebutnya ‘penyakit selesema babi’. Pihak kerajaan China memang tidak terdaya membetulkannya.

Kini di Malaysia pula, ‘babi’ dah dibawa naik ke pentas politik, bukan disebabkan ada nilai berita, tapi lebih tinggi peratusnya menjadi berita panas apabila meletupnya berita berkaitan kekecohan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Baru-baru ini Majlis Perbandaran Alor Setar merobohkan pusat sembelihan babi. Akibatnya, parti DAP negeri itu mengumumkan mahu menarik diri daripada kerajaan pakatan pembangkang.

Semua kejadian seperti ini tak mungkin terjadi tanpa melalui satu tempoh masa. Ini yang dikatakan boleh menjadi sebab, kenapa apabila ada orang terdengar ‘selesema babi’, dia akan terperanjat lalu terus tutup televisyen dengan segera.

Apakah ini juga menjadi halangan awal Datuk Seri Dr. Rais Yatim cuba menggunakan perkataan ini?

Sebenarnya kita sudah melangkah masuk ke dalam abad ke-21, babi hanya salah satu daripada beratus ribu makhluk dalam dunia ini; babi menjadi pantang larang setengah-setengah orang, makanan lazat setengah-setengah orang, bahkan menjadi haiwan kesayangan setengah-setengah orang, babi juga hasil ciptaan Tuhan, kenapakah apabila kita mendengar orang sebut babi, terus terkejut?

DUN Perak mungkin bubar

Halaman hadapan akhbar Guang Ming Daily 6 Julai 2009 menyiarkan berita utamanya dengan tajuk DUN Perak Mungkin Bubar. Akhbar itu melaporkan perkembangan politik negeri Perak kembali bertiup kencang. Dua ADUN yang keluar pakatan pembangkang dulu, iaitu Osman Jailu dan Jamaludin Radzi mungkin kembali ke pangkuan parti itu kerana tidak puas hati terhadap BN, pertukaran kuasa pemerintahan dijangka boleh berlaku atau pun DUN Perak dibubarkan.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham bahawa Osman pernah menghubungi bekas Menteri Besar Perak. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, mengadu bahawa Menteri Besar BN Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir tak menunaikan janji melantik dia dan Jamaludin serta Hee Yit Fong menjadi anggota exco negeri.

BN membentuk kerajaan dengan 28 kerusi DUN bercampur tiga anggota Bebas itu, sedangkan pakatan pembangkang juga memiliki 28 kerusi. Oleh sebab Osman dan Jamaludin menghadapi tuduhan rasuah, ini membuat BN sukar melantik mereka.

Kini mereka berdua ibarat ‘bom masa’, bila-bila masa boleh menumbangkan kerajaan BN.

Ngeh berkata, selain dua orang DUN Bebas boleh ‘memaling tadah’, kesan kemelut politik Perak akan ‘berubah seperti tapai’ ke seluruh negara, dan DUN Perak juga akan menghadapi masalah meluluskan bajet kewangan.

Dengan pelbagai ‘tanda politik’ ini menunjukkan DUN Perak akan dibubar dalam tempoh enam bulan ini.

Berita muka hadapan ini bukan setakat itu, ia bersambung dalam tiga suku halaman dengan tajuk 2 DUN Berpaling Tadah Atau Kembali Ke Pakatan Rakyat.

Halaman ini melaporkan temu ramah wartawannya dengan Jamaludin dan exco negeri Perak, Datuk Mah Han Soon . Jamaludin menafikan berita yang beliau tak puas dengan BN, sebaliknya dia berkata, semua ini rekaan Ngeh semata-mata.

Bagaimanapun, Jamaludin berkata, setahunya Osman pernah bertemu dengan Mohammad Nizar tetapi hanya kebetulan sahaja tanpa sebarang perbincangan. Dia sendiri pula pernah menerima panggilan Mohammad Nizar tapi tak menjawabnya.

Bagi Han Soon, berita DUN Perak mungkin dibubar itu karut semata-mata. Sesiapa yang berkata sedemikian memang pengacau, tujuan mereka hanya mahu mengalih perhatian daripada masalah krisis dalam pakatan pembangkang.

Dikelolakan oleh HAFIZAH MOHD. YUSOF

0 comments: