Menilai gelagat pembangkang

Menilai gelagat pembangkang

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

KEMELUT dalaman yang diperlihatkan oleh parti pembangkang mutakhir ini sekali lagi menjelaskan sejauh mana keikhlasan 'perkahwinan' antara parti komponen itu. Episod bermasam muka antara Pas dan DAP di Kedah misalnya, bukanlah isu baru yang membelenggu kerajaan campuran pembangkang.

Gelagat tidak sebulu itu juga sebenarnya sudah dapat dijangka dari awal. Diberi mandat untuk mentadbir negeri atas kemenangan 'mengejut' dalam pilihan raya lalu, parti komponen memasuki gelanggang pentadbiran negeri dengan pengalaman yang kurang dalam serba-serbi.

Keadaan diburukkan lagi apabila ideologi parti komponen yang membentuk kerajaan campuran sangat jelas bertentangan. Pas dengan perjuangan kerajaan Islamnya, DAP dengan tuntutan demokrasi dan hak sama rata serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan hak sejagat dan liberalisasi.

Tanpa kesepakatan dan toleransi yang tinggi, mana mungkin perbezaan ideologi itu dapat bersatu di bawah bumbung yang sama. Malangnya, kesepakatan itulah yang masih dicari-cari oleh kerajaan campuran ketika ini meskipun selepas lebih setahun mentadbir negeri.

Hakikatnya parti pembangkang bergerak secara sendirian dan berlindung di bawah satu pakatan yang seolah-olah menggambarkan kekuatan parti-parti politik pembangkang. Tidak seperti kerjasama yang terjalin di dalam BN antara parti utama UMNO, MCA, MIC dan parti komponen lain, demokrasi permuafakatan itu tidak wujud dalam pakatan pembangkang.

Kerana itu juga, kekecohan atau masalah yang semakin galak ditimbulkan oleh pakatan pembangkang tidak akan mati.

Kesimpulannya episod pergeseran itu dengan jelas menggambarkan pembangkang sebenarnya tidak bersatu dalam erti kata perjuangan politik sebenar. Tetapi hanya bersatu dalam erti kata parti politik berhaluan kiri.

Namun memahami permainan politik pembangkang yang cukup melemaskan rakyat itu, pergeseran yang wujud pastinya akan lenyap menjelang pilihan raya akan datang. Segala persengketaan dan tuduh-menuduh yang seolah-olah menuju kepada perceraian kembali bertaut, kali ini dengan lebih erat.

Agendanya sangat jelas, iaitu semata-mata untuk menumbangkan BN. Inilah drama politik Malaysia yang dimainkan dengan lebih berkesan oleh parti pembangkang. Pelaku-pelaku politik akan cuba sebaik mungkin untuk memaparkan plot drama politik yang bersih, demokrasi, mesra rakyat dan pelbagai topeng kebaikan lain semata-mata untuk menambat keyakinan rakyat.

Malangnya sebaik diberi mandat, apa yang ditunjukkan itu hilang entah ke mana, sebaliknya rakyat diheret pula mengadap permainan politik pemimpin yang tidak berkesudahan. Bagaimanapun itu bukanlah bermakna BN boleh tersenyum sinis melihat gelagat dan permainan politik pembangkang.

BN juga perlu menerima hakikat bahawa parti yang tidak pernah terlepas tampuk pemerintahan negara ini juga sedang berdepan dengan konflik dalaman dan luaran yang sangat hebat.

Apatah lagi di sebalik kemelut yang membelenggu parti pembangkang, corak sokongan di kalangan rakyat sebenarnya masih dapat dilihat sangat kuat condong kepada mereka.

BN perlu bijak menilai perjalanan dan permainan politik pembangkang dalam masa yang sama cermin diri sendiri.

0 comments: