BISIK-BISIK

BISIK-BISIK

RANCANGAN Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggerakkan 5,000 penyokong ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini sempena perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menceritakan segala-galanya.

Apakah rasionalnya ia dirancang jika benar pembangkang dan AMK khususnya betul-betul memperjuangkan kebebasan kehakiman di negara ini? Bukankah ia lambang percubaan campur tangan untuk mempengaruhi proses keadilan negara sedangkan pada masa yang sama pihak itu juga mendakwa ia menuntut ketelusan dan keadilan.

Justeru biarlah pihak yang berhak menentukan keadilan, jika benar itu yang dicari. Dengan kata lain, jika kita semua mengaku menjadi warganegara Malaysia, berpeganglah kepada Rukun Negara yang antara lain mendokong keluhuran perlembagaan serta pematuhan kepada undang-undang negara.

Jangan kita memuji hanya apabila sesuatu itu memihak kepada kita tetapi mengeji apabila tidak memihak kepada kita. Amatlah malang apabila wujud golongan seperti ini di negara demokrasi seperti Malaysia.

Mengganggu proses perbicaraan dalam apa cara sekalipun bererti wujud niat untuk tidak melihat keadilan kepada pihak-pihak yang sedang diadili.

Oleh itu Awang percaya, warganegara yang waras akalnya serta menjunjung keluhuran perlembagaan tidak akan bersubahat dengan rancangan tersebut.

Awang – Mahu keadilan.

0 comments: