Memancing pelaburan dari Perancis

Memancing pelaburan dari Perancis

Oleh SAMSOR JUNET
(Yang membuat liputan lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Perancis baru-baru ini)

SIFAT semula jadi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang serius, tenang tetapi bercakap berasaskan fakta mampu mengagumkan sesiapa sahaja yang berpeluang mendekatinya walaupun hanya pada sidang akhbar atau bersarapan dengannya.

Kepetahan melontar hujah mengenai pelbagai masalah berkaitan hal ehwal antarabangsa dan kecekapan mematah dan menjelaskan pelbagai isu dalam negara begitu meyakinkan.

Beliau memang berkemampuan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui negara yang kini dalam era transformasi daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

Ini dibuktikan ketika wartawan dari Malaysia membuat liputan lawatan kerja tiga hari Muhyiddin ke Perancis baru-baru ini.

Ia lawatan kerja pertamanya ke luar negara sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika Perancis kini dalam musim panas yang menyegarkan.

Bulan lalu, Yang di-Pertuan Agong dan Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat turut mengunjungi negara kuasa besar itu dengan misi masing-masing.

Muhyiddin menyifatkan lawatan tersebut berjaya membuka lembaran baru hubungan dua hala Perancis -Malaysia yang telah terjalin sejak 1957.

Ini kerana buat pertama kali Perdana Menteri Malaysia akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Agung UNESCO Ke-35 di Paris Oktober depan.

"Beliau bukan sahaja boleh menyampaikan misi mengenai pendidikan malah apa sahaja bidang lain demi kepentingan dunia, kita harus berbangga,'' kata Muhyiddin.

Seperti biasa, Muhyiddin sebagai bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak dapat lari daripada imejnya pandai memancing pelaburan.

Beliau memberitahu, Setiausaha Agung Istana Elysee, Claude Guent, yang ditemuinya bukan sebarangan personaliti. Gueant ialah Penasihat Kanan Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy serta mempunyai pengaruh dalam struktur kuasa politik di negara itu selain Presiden dan Perdana Menteri.

Menurutnya, Perancis sedia membantu membangunkan loji tenaga nuklear sekiranya Malaysia berhasrat menggunakan tenaga itu sebagai sumber bekalan tenaga elektrik pada masa depan.

"Di Perancis sekarang hampir 90 peratus bekalan elektrik adalah menerusi tenaga nuklear dan sekiranya kita berminat, mereka sedia membantu,'' kata Muhyiddin.

Bayangkan jika satu hari nanti kita berjaya menjalin kerjasama dengan Perancis untuk membangunkan tenaga nuklear bagi membekalkan tenaga elektrik?

Ketika itu Malaysia bakal dikenali sebagai satu lagi negara yang mampu mentransformasikan kaedah pembekalan tenaga elektrik daripada tenaga hidro dan arang batu kepada tenaga nuklear!

Bayangkan juga betapa banyak peluang pekerjaan, nilai pelaburan dan sebagainya yang boleh dibawa masuk ke negara ini, tentulah tidak terkira banyaknya.

Muhyiddin juga bertemu dengan Presiden French Business Confederation, Jean Burelle bersama anggota perwakilannya yang begitu berpengaruh dalam menentukan hala tuju perniagaan negara itu di seluruh dunia.

Jean menyifatkan langkah Malaysia memansuhkan Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) sebagai membuka lembaran baru hubungan perniagaan kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ramai ahli perniagaan Perancis mahu meningkatkan pelaburan di Malaysia tetapi dihalang oleh pelbagai peraturan dalam FIC berkaitan ekuiti 30 peratus bagi golongan Bumiputera.

"Mereka mengalu-alukan langkah kita, langkah itu membuka lembaran baru dalam usaha untuk menarik pelaburan antarabangsa,'' katanya.

Sebenarnya, Malaysia tidak boleh terus kekal dengan cara lama untuk menarik modal apatah lagi negara kini tercorot di kalangan negara ASEAN dalam usaha menarik modal.

Kalau tidak berbuat demikian, bererti Malaysia akan terus ketinggalan ketika negara-negara lain yang dulunya mundur terus menawarkan pelbagai insentif untuk membawa masuk modal dari negara-negara kaya.

Malaysia perlu realistik. Terdapat 165 syarikat Perancis beroperasi di Malaysia dan antara yang terkenal ialah Lafarge, yang bergiat dalam industri berkaitan simen manakala Technip berkaitan prasarana bagi kegiatan cari gali minyak dan gas.

Syarikat Alcatel pula berkaitan pembekalan peralatan telekomunikasi berteknologi tinggi, Alstom (peralatan tenaga dan kereta api), Carrefour (pasar raya besar), Thales pula berkaitan peralatan elektronik bagi kegunaan orang ramai dan tentera.

Perancis juga terkenal sebagai pengeluar kenderaan seperti Puegeot, Renault serta Citreon yang turut menjadi pilihan ramai.

Syarikat Malaysia dan Perancis juga telah memeterai pelbagai kontrak penting termasuk pembelian enam pesawat Airbus A380 oleh Malaysia Airlines dan pembelian 200 pesawat Airbus A320 dan A350 oleh AirAsia.

Malaysia juga membeli dua kapal selam Scorpene oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berharga berbilion ringgit untuk tujuan mengawal keselamatan perairan negara.

Sebenarnya musim panas di Paris menyebabkan siangnya terlalu panjang. Kota fesyen itu cerah seawal pukul 5 pagi tetapi matahari akan tenggelam pada pukul 10 malam dan serentak itu Menara Eiffel memancarkan lampu neon kepada warganya dan pelancong.

Harapan sebenar terhadap apa yang berlaku sepanjang tiga hari lawatan kerja Muhyiddin ke Perancis disimpulkan oleh Duta Malaysia ke negara itu, Datuk S. Thanarajasingam dengan penuh bermakna.

Dalam satu majlis makan malam di Rumah Malaysia, No. 48 Bouvelard Suchet, beliau mengharapkan negara di bawah kepimpinan Najib-Muhyiddin akan terus stabil dengan imej baru yang memberangsangkan.

"Kita akan berusaha dengan lebih gigih untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat lagi antara Malaysia dan Perancis,'' katanya.

0 comments: