Penentuan misi PPSMI

Penentuan misi PPSMI


MASA depan pelajaran murid-murid perlu menjadi perhatian utama dalam keputusan Kabinet mengenai PPSMI.


Hari ini akan ditentukan sama ada Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diteruskan atau dihentikan.

Pandangan dan idea daripada orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, pensyarah, guru dan pelajar pasti telah diambil kira bagi memastikan keputusan itu memanfaatkan semua pihak.

Pada hakikatnya, sebarang keputusan Kabinet itu pasti mengambil kira pelbagai faktor, realiti, emosi tanpa tekanan atau kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu termasuk politik.

Cadangan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah mendapat tentangan hebat khususnya daripada kalangan pejuang bahasa dan budaya sejak enam tahun lalu.

Namun, pelaksanaan menggunakan bahasa Inggeris diteruskan sekalipun banyak pihak melihat PPSMI tidak banyak membantu penguasaan bahasa Inggeris kalangan pelajar.

Mengimbau kembali cetusan idea PPSMI pada 2002 dan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran pada 2003 - perjalanannya menempuh ranjau yang penuh berduri.

Tujuh tahun lalu idea pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah.

Keputusan kerajaan melaksanakan PPSMI adalah dengan matlamat untuk memastikan penguasaan yang lebih baik dalam Sains dan Matematik di kalangan pelajar.

Pelaksanaan PPSMI juga dengan harapan untuk meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Ringkasnya, PPSMI adalah wadah untuk mempersiapkan generasi pewaris untuk menghadapi persaingan masa hadapan.

Ada pihak melihat langkah mengejut yang dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mei 2002 dan dipersetujui oleh Mesyuarat Kabinet pada Julai 2002 adalah satu tindakan yang menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Lalu banyak kritikan dan kecaman dilemparkan oleh pelbagai pihak kepada Kementerian Pelajaran sejak 2003 supaya PPSMI dihentikan.

Paling konsisten memperjuangkan supaya PPSMI dimansuhkan ialah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein. Beliau menggesa kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PPSMI kerana ia dilihat tidak adil kepada pelajar sekolah luar bandar.

Gapena tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI yang dilihat boleh mengetepikan martabat bahasa kebangsaan serta melanggar Perlembagaan negara.

Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat pernah meminta Kementerian Pelajaran mendengar permintaan daripada golongan guru dan pelajar yang mahukan pengajaran Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa Melayu.

Sokongan memansuhkan PPSMI turut berkumandang dalam Perhimpunan Agung UMNO. Malah Konvensyen UMNO Johor 2006 bangkit membantah PPSMI di sekolah-sekolah kerana dasar tersebut hanya menyebabkan bangsa Melayu kehilangan identiti dan jati diri.

UMNO Johor agak konsisten perjuangannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan mahu melihat bahasa Melayu digunakan semula dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah.

Peserta, pemerhati dan ahli panel Kongres Permuafakatan Melayu tahun lalu turut mendesak kerajaan mengembalikan semula PPSMI diajar dalam bahasa Melayu.

Kongres Permuafakatan Melayu menjadi badan pendesak yang kuat untuk memastikan PPSMI dimansuhkan.

Ini kerana anggota kongres itu terdiri daripada pejuang bahasa, budaya dan sasterawan Melayu yang cukup dihormati.

Dalam kalangan anggota Kabinet juga terdapat Menteri yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan meneruskan PPSMI kerana ia mendatangkan kerugian dalam usaha pembinaan negara bangsa.

Datuk Seri Dr. Rais Yatim secara sinis mengatakan, walaupun kanak-kanak Melayu belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, tetapi yang mendukacitakan, pelajaran yang sama tetap diajar dalam bahasa Mandarin di sekolah Cina.

Apa yang nyata pelaksanaan PPSMI, memperlihatkan dengan jelas akan konflik di kalangan pencetus dan penyokongnya serta bangsa Melayu seluruhnya.

Malah ia turut memecah belahkan orang Melayu. Pada setiap tahun, isu PPSMI dibangkitkan dan ditentang dalam semua seminar bahasa, sastera dan kebudayaan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Gapena, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia dan pelbagai pertubuhan bahasa dan sastera di negara ini.

Menurut tokoh budayawan, Prof. Datuk Zainal Kling, sejak 2002 dan setiap tahun dalam pelbagai seminar, kongres, persidangan dan mesyuarat agung tahunan pelbagai persatuan telah dibuat resolusi dan ketetapan untuk memohon kerajaan menghapuskan PPSMI.

Sikap meremehkan cendekiawan Melayu dan menganggap hal ini sebagai permainan politik dengan menuduh ada dalang pembangkang di sebalik gerakan ini ada kesannya.

Memang pembangkang akan mengambil kesempatan terhadap apa saja rasa tidak puas hati rakyat, apa lagi isu besar seperti bahasa Melayu dan pendidikan nasional.

Kesan PPSMI terhadap penggunaan bahasa Melayu daripada peringkat sekolah rendah hingga ke universiti sedang dan sudah berlaku di seluruh negara sekarang - bahasa Melayu telah dibuang dalam semua kuliah kecuali beberapa kuliah bahasa Melayu dan sastera.

Menurut Prof. Zainal, yang tinggal menggunakan bahasa Melayu hanya Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Pengajian Melayu. Semua universiti baik IPTA apatah lagi IPTS sudah menghapuskan pengajaran dalam bahasa Melayu.

Maka seluruh masyarakat sudah meremehkan bahasa Melayu.

Inilah kesan dan natijah yang akan menjangkit ke seluruh masyarakat. Status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa pasar.

Inilah juga yang diingini oleh pelbagai golongan yang menentang bahasa Melayu dalam negara.

Kesan yang amat teruk ini yang mesti difahami oleh semua orang terutama semua pemimpin negara. Kerana itu, muncul penentangan daripada kalangan badan-badan budaya dan parti politik Melayu tertentu termasuk UMNO sendiri bagi memenuhi kehendak rakyat mempertahankan kedaulatan dan keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pendekatan cendekiawan Melayu dan ahli politik daripada parti pembangkang dalam memperjuangkan misi penentangan mereka terhadap dasar PPSMI cukup berbeza. Pendekatan secara intelektual lebih berkesan daripada aksi kasar demonstrasi di jalanan.

Selama tiga tahun janji 'kita akan kaji semula setelah selesai pusingan pengajaran PPSMI' kini berada di garisan penamat.

Apakah PPSMI akan memasuki gelanggang seterusnya atau terhenti dalam tempoh ditentukan kelak, sama-sama kita nantikan keputusannya.

0 comments: