Ubah persepsi ubat perlu diisi dalam plastik

Ubah persepsi ubat perlu diisi dalam plastik

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD


MENJADI suatu lumrah apabila kita berkunjung ke farmasi sesebuah hospital mahupun klinik untuk mendapatkan beg plastik bagi tujuan mengisi ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor.

Senario ini amat mudah dibayangkan bagi pesakit yang menggunakan kombinasi pelbagai jenis ubat-ubatan, terutama bagi penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang.

Mungkin akan menjadi suatu kekecohan apabila seseorang pesakit itu tidak diberikan beg plastik apabila mereka mengambil ubat di kaunter farmasi.

Malah ada pesakit yang merungut dan marah kepada petugas di kaunter sekiranya tiada beg plastik yang diberikan untuk mengisi ubat-ubatan yang diperoleh.

Menunggu untuk diberikan plastik secara automatik ini sememangnya diakui menjadi persepsi masyarakat selama ini dan paradigma ini sewajarnya dan sememangnya boleh diubah.

Dalam usaha pelbagai pihak untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar, penggunaan beg plastik secara berlebihan adalah suatu yang dianggap serius. Ini kerana beg plastik itu sendiri adalah ancaman yang besar dalam perang manusia menyelamatkan alam sekitar daripada bahan pencemar.

Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam kapasiti semampu yang boleh. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa dalam kes-kes tertentu beg plastik ini diperlukan namun ada masanya ia boleh dielakkan.

Bukannya sukar untuk membawa beg kecil yang lebih cantik dan kekal lama untuk mengisikan ubat-ubatan yang diperoleh dari hospital.

Pengurangan penggunaan beg plastik ini bukan sahaja boleh membuktikan kesungguhan kita dalam usaha-usaha membaik pulih alam sekitar bahkan ia juga merupakan suatu langkah penjimatan.

Manakan tidak, beribu-ribu pesakit yang mengambil ubat setiap hari, jika kos penggunaan beg plastik dapat dinyahkan, maka betapa banyaknya jumlah wang yang dapat diselamatkan dan digunakan dalam hal yang lebih berfaedah terutamanya dalam memantapkan perkhidmatan sektor kesihatan.

Semua orang tahu akan kesan dan akibat penggunaan beg plastik secara berleluasa. Walaupun memperolehnya secara percuma, menggunakannya secara sementara dan membuangnya amatlah mudah dengan pelbagai cara, namun tangisan bumi yang sengsara dan alam yang menderita amat jauh untuk didengari dan dihayati oleh pancaindera kita.

Mengurangakn penggunaan beg plastik bukan sahaja dapat membantu melestarikan alam sekitar untuk kehidupan generasi hari esok, bahkan ia merupakan suatu bentuk penjimatan.

Selepas melancarkan "Kempen Keranda Putih" yang merujuk kepada penghapusan penggunaan bekas makanan polisterin di dalam kampus, Universiti Sains Malaysia juga telah mengambil inisiatif untuk mengurangkan penggunaan beg-beg plastik di kafeteria pelajar, berkuat kuasa 1 Ogos 2008.

Kempen seumpama ini wajar menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan mahu pun agensi swasta bagi sama-sama membuktikan bahawa tema Hari Alam Sekitar tahun lepas iaitu "Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama" bukan hanya suatu retorik, bahkan suatu misi sejagat yang memerlukan penglibatan semua.

Mengambil pendekatan yang sama, Hospital Universiti Sains Malaysia turut mengimplimen kempen mengurangkan penggunaan plastik dalam perkhidmatan yang disediakan.

Kempen pengurangan penggunaan plastik di kaunter-kaunter farmasi hospital kerajaan yang lain juga seharusnya digerakkan secara yang lebih agresif dan intensif terutama dalam aspek menyedarkan orang ramai terutamanya pengguna perkhidmatan bahawa kita sebenarnya tidak memerlukan plastik untuk mengisi ubat dari hospital.

Kerjasama secara kolektif amatlah penting dalam menjayakan misi menyelamatkan alam daripada terus musnah akibat perbuatan tangan-tangan manusia ini.

Sewajarnya, jika kita benar-benar ikhlas dan proaktif untuk menjayakan konsep kelestarian alam sekitar, kita bukan sahaja mengelakkan diri dari meminta beg plastik bahkan mudah bertindak untuk menolaknya jika diberikan sekalipun.

PENULIS ialah Exco Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia

0 comments: