Banyak sektor halal perlu diterokai

Banyak sektor halal perlu diterokai

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
bisnes@utusan.com.my


PELUANG perniagaan di dalam industri halal sememangnya berpotensi untuk berkembang di mana ia merupakan satu sektor pertumbuhan baru untuk masa depan.

Dengan anggaran pengguna Islam di dunia kira-kira 1.6 bilion, nilai pasaran global tahunan untuk makanan halal dan produk bukan berasaskan makanan dianggarkan sekitar AS$.1 trilion (RM7.35 trilion).

Bagaimanapun pasaran halal global dijangka naik berikutan peningkatan populasi Muslim di dunia yang meningkat 2.5 peratus setahun dan mampu mencecah 3 bilion populasi Muslim menjelang tahun 2010.

Malah pasaran halal bukan sahaja tertumpu di negara-negara Islam sahaja kerana pasaran negara bukan Islam juga dilihat berpotensi seperti Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Rusia dan China.

Namun sebagai pengguna, perlu diingat bahawa pasaran halal bukan hak eksklusif untuk negara-negara Muslim atau syarikat milik orang Islam.

Ini kerana apa yang disijilkan halal ialah produk atau proses serta perkhidmatan yang dipasarkan dan bukannya pemilikan.

Bagi menerangkan secara jelas tentang perkara itu, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 keenam yang telah berlangsung dari 6 hingga 10 Mei lalu telah membuktikan bahawa perkembangan industri halal amat berkembang maju.

Bukan setakat negara-negara Islam yang menyertai pameran itu, turut serta negara bukan Islam seperti Australia, Singapura, China, Kanada dan Thailand.

Para usahawan dari negara-negara tersebut amat agresif untuk memecah dominasi negara-negara Islam di dalam industri makanan halal dunia kerana percaya potensi yang dimiliki dalam industri tersebut amat besar dan lumayan.

Pameran selama lima hari itu berjaya menarik lebih 500 pembeli antarabangsa dari 48 negara menyertai program pertemuan perniagaan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan pameran itu turut mengakui bahawa industri halal mempunyai potensi yang besar dan sangat menarik untuk diteroka.

Katanya, peningkatan pengaruh Islam di seluruh dunia dan kesedaran mengenai halal telah mewujudkan satu permintaan tinggi bagi produk dan perkhidmatan halal.

Mengenai industri halal, Najib berkata peluang perniagaan tidak terhad kepada sektor makanan dan bukan makanan malah turut meliputi sektor perkhidmatan seperti kewangan dan perbankan, insurans, pendidikan dan latihan, penyelidikan pensijilan, perundingan logistik, penjagaan kesihatan serta pengembaraan dan lawatan.

Selain itu Perdana Menteri turut menggesa agar satu ikatan strategik diwujudkan dengan pengeluar jenama halal antarabangsa sebagai strategi untuk meluaskan pasaran di dalam industri tersebut.

Salah satu strategi yang dicadangkan beliau untuk menjadi sebuah jenama halal terkemuka ialah melalui penyertaan ekuiti atau pengambilalihan jenama besar dan terkenal yang pastinya akan mempercepatkan lagi kemasukan ke dalam pasaran global.

Namun cadangan itu mungkin mengambil sedikit masa untuk direalisasikan tetapi dengan menjadikan Malaysia sebagai hab halal untuk menembusi pasaran dunia, komitmen dan kesungguhan amat ditagih oleh syarikat-syarikat sedia ada untuk mendominasi pasaran halal dunia.

0 comments: