ISU-ISU AKHBAR CINA

ISU-ISU AKHBAR CINA

Kes 2 Menteri Besar Perak
HAMPIR semua akhbar Cina pada 12 Mei 2009 menyiarkan tajuk utama mengenai kemelut politik negeri Perak yang berterusan, dan akhbar Oriental Daily News mengemukakan tajuknya: “Kes 2 Menteri Besar Negeri Perak’ melaporkan perkembangan kes Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar kedudukan Datuk Seri Zambry Abd. Kadir mengenai kedudukan Menteri Besar Perak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei 2009 memutuskan Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Berita akhbar Sin Chew Daily pula bertajuk ‘Nizar Menteri Besar yang Sah’ melaporkan tiga tindakan susulan ekoran keputusan mahkamah itu. Pertamanya, Nizar akan sembah menghadap Sultan Perak; keduanya, dia bersama DUN Perak dari Pakatan Rakyat akan bertugas di pejabat semula, dan yang ketiga, Datuk Seri Mohamad Najib menjelaskan Barisan Nasional akan membuat rayuan ke mahkamah.

Akhbar ini juga melaporkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilarang oleh mahkamah daripada menjalankan tugas dan kaki tangan pejabat Menteri Besar Perak sekarang terpaksa mengemaskan dokumennya.

Berita mengenai keputusan mahkamah ini turut tersiar dalam akhbar China Press secara terperinci, malahan melaporkan penjelasan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz dengan tajuk: “Barisan Nasional kena beri undi tidak percaya,” iaitu kalau mahu jatuhkan Menteri Besar Perak, BN perlu mengadakan sidang DUN khas dan mengemukakan cadangan untuk memberi undi tidak percaya terhadap Nizar.

Jika dilihat dari segi kronologi kes ini yang mula pada 13 Februari 2009, kes ini pernah ditolak pada 6 Mac 2009, namun dibicarakan juga oleh Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun keputusan kes ini masih boleh dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Harapan transformasi asyik terhalang

Oriental Daily News 12 Mei 2009 mengupas mengenai selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa menyampai mesejnya, memberitahu kepada semua orang, beliau seorang pemimpin yang sedia melakukan perubahan demi negara.

Maka dengan slogan ‘Satu Malaysia’, pelbagai polisi kerajaan yang terbuka dilaksanakan, termasuk membebaskan tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), membatalkan larangan terhadap akhbar dan melonggarkan hak saham Bumiputera. Rakyat kita memang boleh melihat dengan mata sendiri semua usaha ini.

Bagaimanapun, kekecohan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei 2009 menunjukkan kalau krisis politik-perlembagaan ini tidak dapat ditangani dengan baik, imej diri yang cuba dibina dengan susah payah, mungkin musnah begitu sahaja.

BN dapat menarik beberapa orang ADUN Perak hingga berjaya memegang kuasa pemerintah negeri, adakah tindakan ini suatu kesilapan? Apa-apa sekali pun, perkara yang tak dapat dinafikan ialah kemelut politik negeri Perak tidak mungkin selesai dengan mampu memuaskan hati semua pihak.

Sebaliknya semakin lama semakin parah sehingga BN terpaksa menghabiskan lebih banyak modal politik.

Untuk mempertahankan kuasa kerajaan negeri ini, BN melakukan satu kesalahan besar. Walaupun kewangan BN sangat kukuh, apakah ia terus-menerus membiarkannya terbuang begitu sahaja? Sehingga semakin parah, sukar mahu diselamatkan lagi?

Kuasa pemerintahan negeri Perak memang sayang nak dilepaskan, tapi pengorbanan yang tinggi terpaksa dicurahkan.

Apatah lagi, pihak lawan juga terlalu banyak menghabiskan duit kita.

BN menanggung begitu berat beban tapi masih tak mahu melepaskannya, akhirnya mungkinkah ia menjadi gejala buruk yang akan mengancam Kerajaan Pusat? Sesal dahulu yang bertuah, jangan sesal kemudian.

Kelolaan HAFIZAH MOHD. YUSOF

0 comments: