Bank patut bantu usahawan keluar daripada kemelut ekonomi

Bank patut bantu usahawan keluar daripada kemelut ekonomi

INSTITUSI perbankan negara ini ditegur lagi. Beberapa bulan lalu, bank ditegur kerana liat untuk memberikan pinjaman.

Tetapi kali ini, isunya bank menarik balik kemudahan pinjaman kepada komuniti peniaga yang berdaya maju tanpa memberikan sebarang alasan kukuh.

Jika begini sikap dan pendekatan yang diamalkan oleh institusi perbankan, maka memang wajar Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan membuat teguran.

Sungguhpun negara kita sedang menghadapi cabaran ekonomi berikutan krisis kewangan global, tidak semestinya aktiviti pertumbuhan ekonomi juga perlu diperlahankan.

Untuk menangani masalah ekonomi yang perlahan, sektor swasta mempunyai peranan untuk merancakkan kembali pertumbuhan.

Namun, pergerakan jentera ekonomi itu perlu juga mendapat sokongan institusi perbankan melalui penyaluran bantuan modal.

Adalah cukup menghairankan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan institusi perbankan tempatan tidak berdepan dengan sebarang risiko. Tetapi kenapa sukar sangat hendak memberikan kemudahan kredit kepada para usahawan.

Malah sektor perbankan negara dinyatakan masih mencatatkan imbangan kira-kira yang teguh dengan nisbah modal berwajaran risiko 13.4 peratus pada akhir Mac lalu dengan mempunyai jumlah penampan kerugian sebanyak RM44.6 bilion serta nisbah hutang tidak berbayar 2.2 peratus.

Persoalannya, apakah strategi bank-bank yang seolah-olah tidak mahu membantu menyediakan kredit kepada sektor swasta.

Kita percaya pengurusan bank tiada niat untuk menggagalkan dasar-dasar kerajaan dan projek-projek swasta untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan.

Barangkali bank tempatan mengambil pendekatan terlalu berhati-hati. Tetapi langkah itu akan menyusahkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendapatkan pembiayaan untuk meneruskan survival perniagaan masing-masing.

Dalam waktu-waktu yang mencabar sekarang, peniaga menghadapi tekanan akibat aktiviti ekonomi yang lembap.

Perjalanan ekonomi yang tidak lancar semestinya menyebabkan sumber pendapatan para peniaga terjejas. Apabila itu terjadi, akan timbul kesulitan di pihak para peniaga untuk melunaskan pinjaman bank.

Kita sedar institusi perbankan amat berpegang kepada prosedur serta syarat-syarat yang mereka cipta sendiri, kemudahan pinjaman kepada peniaga yang gagal membuat pembayaran akan ditarik balik.

Dalam tempoh ini jugalah ada peniaga yang diisytiharkan muflis, menambahkan lagi tekanan dalam gelombang ekonomi negara.

Sebab itu dalam hal ini semua bank mesti bersikap rasional.

Oleh itu, kita menyeru pihak bank supaya berhemah dengan tidak mengambil tindakan keterlaluan terutama berkaitan dengan kepentingan peniaga kita.

Dalam situasi sekarang, institusi perbankan diharap tidak terus menyusahkan kerajaan dan peniaga. Bank patut membantu membawa keluar usahawan daripada kemelut ekonomi dengan mempermudahkan syarat pinjaman.

0 comments: