Transformasi program penyelidikan dan inovasi

Transformasi program penyelidikan dan inovasi

Oleh Datuk Zaini Ujang

FELDA hanya satu di dunia’ ialah mantra baru Felda yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena program bersama warga Felda pada 26 Mei lalu. Di sebalik mantra itu, tersirat gagasan untuk memperkasa Felda sebagai agensi pembangunan tanah terunggul di dunia.

Seperti ditegaskan Najib, Felda perlu beranjak menghayati budaya lebih cemerlang dan menjana kekayaan dalam bentuk baru bukan saja memberi manfaat kepada warga Felda bahkan kepada negara. Untuk menjayakan hasrat itu, Felda memerlukan sekurang-kurangnya tiga anjakan transformasi iaitu amalan baik dari segi ekonomi, pemasaran dan proses perniagaan lebih menguntungkan, dan memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Memang selama ini Felda melaksanakan ketiga-tiga tindakan itu. Namun seperti dinyatakan oleh Najib, masih banyak lagi perlu dipertingkatkan, terutama dari segi R&D. Memang R&D semakin penting peranannya dalam k-ekonomi walaupun kadangkala realitinya sekadar frasa penyedap mulut di kalangan warga korporat.

Dalam konteks Felda, aktiviti R&D memang sudah bermula menerusi Yayasan Felda dan beberapa anak syarikat. Hal yang sama lumrah di kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) khususnya sepanjang Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8). Menerusi pelbagai inisiatif dan insentif disediakan pelbagai agensi awam, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sejumlah dana besar disediakan untuk menyemarakkan lagi R&D agar lebih relevan dengan keperluan industri.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), peruntukan dana R&D ialah RM3.567 bilion berbanding RM1.264 bilion ketika RMK-8. Dari segi perbelanjaan kasar R&D negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia dijangka memperuntukkan 1.5 peratus kepada R&D menjelang 2010, berbanding 0.5 peratus 2000.

Jika jumlah dana yang diperuntukkan itu dibelanja dan dimanfaatkan sebaiknya, maka Malaysia boleh menapak maju ke depan menjadi lebih kompetitif.

Ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penjawat perkhidmatan awam pada 28 April lalu, Najib menyebut mengenai cabaran besar semasa yang perlu ditangani segera, iaitu memastikan impak minimum terhadap ekonomi negara kesan kegawatan kewangan dan ekonomi global, keluar daripada kemelut secepat mungkin dan membantu rakyat menangani keperitan hidup.

Sebagai warga prihatin, kita perlu memahami perubahan struktural yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Najib. Perubahan struktural diperlukan segera bagi membolehkan negara memacu pertumbuhan daripada berperanan sebagai pusat sektor pengeluaran berkos rendah ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai sektor yang sama.

Sudah pasti antara cirinya ialah peningkatan kualiti barangan dan perkhidmatan menerusi R&D, pelestarian alam sekitar dan peningkatan kualiti hidup rakyat. Ini bermakna kemahiran, keupayaan dan kecekapan golongan pekerja di negara kita perlu dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi dengan ganjaran dan gaji lebih lumayan.

Dalam persekitaran k-ekonomi, maka peranan Malaysia akan lebih menyerlah jika R&D dimajukan secara lebih transformatif dengan mengambil kira peranan semua pihak berkepentingan termasuk penyelidik, agensi penyelidikan, dana, pemaju teknologi dan pengguna. Dalam RMK-9, semua pihak telah digabung-jalin untuk mengambil peranan tertentu, sesuai dengan keupayaan dan fokus masing-masing.

Definisi kontekstual penyelidik misalnya tidak terhad kepada staf agensi penyelidikan awam, bahkan turut diperluaskan kepada pensyarah universiti awam dan swasta, serta penyelidik dalam sektor korporat tempatan dan multinasional. Dana yang disediakan juga lebih banyak menjurus kepada komersial teknologi menerusi Dana Tekno dan Tabung Bantuan Teknikal Industri (ITAF).

Dari segi teorinya, kerangka R&D dalam RMK-9 memang jauh lebih fokus dan berorientasi penjanaan kekayaan negara berbanding sebelumnya. Kerangka itu juga mengambil kira faktor tempatan yang menyebabkan aktiviti R&D tidak begitu subur dalam GLC apatah lagi di kalangan industri kecil dan sederhana.

Untuk menatap maju jauh ke hadapan, khususnya dalam konteks RMK-10, saya mencadangkan lima pendekatan strategik kerangka R&D iaitu berorientasi mengurus permintaan; bidaan geran R&D berasaskan tawaran; berasaskan sektor; bukan disiplin ilmu; berasaskan penilaian pakar antarabangsa atau penilai bebas Petunjuk utama prestasi (KPI) lebih jelas.

Kelima-lima pendekatan ini digunakan dengan meluas di kalangan negara maju, termasuk sebahagian negara membangun seperti Arab Saudi, Turki dan Brazil. Pengurusan permintaan merujuk kepada kaedah untuk memastikan aktiviti R&D digubal selari dengan keperluan pelbagai sektor membabitkan pelbagai agensi berkaitan.

Ini termasuk mengurus harta intelek dengan menyediakan persekitaran lebih kondusif seperti dasar membeli dan mengguna keluaran R&D tempatan walaupun ‘kurang nilai’ berbanding produk dan perkhidmatan hasil R&D import. Dasar ini dilaksanakan dengan jayanya di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan sehingga membolehkan produk negara terbabit memasuki pasaran antarabangsa.

Selain itu, KPI aktiviti R&D juga perlu lebih telus dan kompetitif. Menjadi amalan semua negara maju, KPI utama bagi penyelidik dan agensi penyelidikan ialah artikel diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi, jumlah petikan dan harta intelek.

Ketika ini pencapaian sedemikian masih rendah di Malaysia, misalnya pada 2000 jumlah artikel antarabangsa ialah 1920 dengan jumlah penyelidik 15.6 bagi setiap 10,000 penduduk. Angka itu meningkat pada 2005 kepada 2,993 dengan jumlah penyelidik 25. Ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat.

Lebih ketara ialah jumlah paten yang difailkan iaitu 6,227 pada 2000 menjadi 6,288 pada 2005 walaupun bertambah bilangan penyelidik. Lebih merisaukan paten yang difailkan oleh pemastautin hanya 206 pada 2000 dan 522 pada 2005.

Petunjuk dan perkembangan R&D tempatan masih banyak perlu dipertingkatkan. Selain dasar lebih jelas dan stimulatif, program R&D memerlukan transformasi lebih meluas dan fundamental. Ucapan Najib pada majlis Felda itu adalah satu perkembangan yang dinanti-nantikan kerana memberi ruang dan peranan lebih untuk memastikan relevan dan kemajuan R&D dalam konteks korporat.



Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Akademi Sains Malaysia.

0 comments: