Jangan permain sunnah Rasulullah
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
APABILA Rasulullah SAW wafat pada 11 hijrah baginda meninggalkan dua sumber hukum terpenting bagi umat Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah.
Al-Quran merupakan kitabullah yang menjadi sumber hukum pertama dan ia diturunkan kepada Rasulullah melalui Malaikat Jibrail dalam bentuk wahyu.
Manakala as-Sunnah yang merupakan sumber kedua dalam Islam adalah segala yang diriwayatkan daripada Rasulullah berupa perkataan, perbuatan, ketetapan, karakter, akhlak, ataupun perilaku, baik sebelum atau sesudah diangkat menjadi Nabi.
Peranan utama as-Sunnah adalah untuk menjelaskan dan menghuraikan maksud al-Quran, memperkukuh serta memperkuatkan hukum yang terdapat dalam al-Quran selain menentukan hukum yang tidak disebut dalam al-Quran.
Daripada berpakaian, mendirikan rumah tangga, menjaga kebersihan dan amalan-amalan sunat dalam ibadat, kesemuanya dilakukan oleh baginda dengan penuh tertib dan beradab.
Aisyah Radiallahuanha berkata, Rasulullah telah bersabda: "Sepuluh perkara yang terdiri dari fitrah iaitu mengandam misai, menyimpan janggut, bersugi, memasukkan sedikit air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh celahan jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan istinjak." (Riwayat Imam Muslim).
Hadis di atas merupakan sebahagian daripada beberapa sunnah yang menjadi amalan Rasulullah. Rasulullah menyebutnya secara khusus di dalam hadis tersebut supaya umatnya selepas zaman baginda dapat menjadikannya sebagai panduan.
Sebagai contoh bersugi. Sugi bertujuan untuk membersihkan gigi dan mulut kerana anggota itu mudah terdedah dengan kekotoran. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:
''Sekiranya tidaklah menjadi suatu bebanan kepada umatku nescaya aku menyuruh mereka bersugi setiap kali hendak solat." (Riwayat al-Bukhari dan Imam Muslim).
Menyimpan janggut yang juga salah satu daripada sunnah Rasulullah amat digalakkan. Begitu juga dengan pemakaian serban, ia juga merupakan salah satu sunnah Rasulullah.
Menurut satu hadis dari Abil Malih bin Usamah dari ayahnya telah berkata: Rasulullah telah bersabda: ''Berserbanlah kamu nescaya bertambah sifat Hilman (tenang penyabar)." (Riwayat Imam At Tabrani , Al Hakim dan Ibnu Abbas)
Bagaimanapun dalam zaman serba moden ini terdapat segelintir umat Islam yang sengaja mempersenda sunnah Rasulullah dalam pelbagai bentuk tanpa memikirkan kesannya. Ingatlah setiap sunnah Rasulullah wajib dipertahankan.
Dengan perkataan lain umat Islam dilarang keras mengeluarkan kata-kata, isyarat atau apa jua bentuk yang sengaja memperlekehkan sunnah Rasulullah. Janganlah kita dengan sengaja menyamakan sunnah Rasulullah dengan perbuatan yang boleh merendahkan martabatnya.
Misalnya, menyamakan amalan bersugi dengan menghisap rokok (amalan merokok sebelum sembahyang). Apabila ditegur mereka menyatakan merokok itu umpama bersugi. Insiden ini pernah berlaku dan tidak terfikirkah bahawa mereka telah mengeluarkan satu kenyataan yang merendahkan sunnah Rasulullah walaupun dalam bentuk gurauan.
Sebenarnya, sebarang usaha untuk memperlekehkan sunnah Rasulullah boleh mendorong kepada rosak akidah dan mereka yang telah melakukan perbuatan tersebut wajib bertaubat bagi memohon keampunan daripada Allah SWT.
Umat Islam berhak membuat pilihan sama ada mahu melakukan satu pekerjaan sunnah (selagi ia tidak bertaraf wajib untuk dilaksanakan) atau sebaliknya.
Namun begitu mereka tidak boleh mempermainkannya atau menidakkan pihak lain yang mahu beramal dengannya.
0 comments:
Post a Comment