Manfaatkan kegiatan belia gagasan baru
Oleh NOR HARTINI SAARI
BERSATU teguh, bercerai roboh! Begitulah gagasan Satu Belia: Satu Malaysia yang cuba diterapkan dalam penyusunan semula pembangunan belia hari ini. Seiring dengan matlamat tersebut, golongan belia yang berusia antara 15 sehingga 39 tahun adalah usia yang paling subur untuk mencapai gagasan tersebut, apatah lagi golongan ini dijangka mencecah 11.6 juta orang menjelang tahun 2010.
Gagasan Satu Belia yang disampaikan ini amat penting dalam menyuarakan semangat perpaduan di kalangan belia, yakni bersepakat, bekerjasama, tolong-menolong, bantu-membantu dalam apa jua keadaan.
Namun, persoalan untuk mencapai gagasan baru mungkin mudah untuk dijawab jika belia Muslim hari ini memiliki peribadi yang mulia dari sudut rohaniah, akhlaqiah dan jasmaniah serta bertanggungjawab sebagai pewaris dalam memupuk dan menyuburkan semangat perpaduan negara.
Imam Al-Ghazali pernah berkata: "Jika kita ingin tahu corak dan rupa masa depan maka lihatlah kepada generasi muda hari ini." Ini bermakna belia kini perlu diperkasa, dengan hakikat kejayaan belia akan membantu kejayaan bagi Malaysia terutama dalam membina tamadun yang hebat pada masa depan, seiring menjadikan umat Islam sebagai umat tersohor.
Sebenarnya, jika kita menyelusuri sirah Nabi serta apa yang diceritakan dalam al-Quran, kejayaan belia Muslim menegakkan syariah Islam patut dicontohi.
Ketangkasan Usamah bin Zaid, pada usia 18 tahun, berjaya memimpin satu bala tentera menyerang kerajaan Rom dan kehebatan Mehmet Fateh berjaya membuka Kota Istanbul ketika baru berusia 21 tahun perlu menjadi panduan generasi muda hari ini.
Mampukah hakikat kejayaan belia masa lampau berulang? Bagi menjawab persoalan ini, beberapa langkah segera perlu dilakukan kerana belia hari ini berhadapan dengan pelbagai tuntutan persekitaran sosial yang amat mencabar.
Walaupun Laporan Indeks Belia Malaysia (IBM) 2008, menyatakan salah laku yang membabitkan belia di negara ini masih di peringkat yang baik, namun kebimbangan sentiasa wujud kerana kejadian yang tidak berakhlak, antaranya gejala mat rempit atau samseng jalanan, ragut, buli, ketagih rokok, dadah, pembuangan anak, pendedahan bahan-bahan lucah di web serta banyak lagi masalah sosial semakin menjadi-jadi.
Apatah lagi, yang berlaku ini banyak membabitkan mereka yang masih lagi bersekolah atau di peringkat juvana yang kebanyakannya terdiri daripada belia Muslim.
Bagaimana pula semangat Satu Belia: Satu Malaysia akan tercapai jika permasalahan ini terus bersarang di kalangan belia Muslim? Mungkinkah frasa-frasa yang sering kali dikaitkan dengan belia, antaranya 'Belia Cerminan Negara', 'Belia Harapan Bangsa', 'Belia Aset Negara' dan sebagainya akan terkubur begitu sahaja.
Apa pun keadaan, dalam merancang pembangunan belia, golongan ini perlu mempunyai semangat untuk bersatu padu terutama menerusi kegiatan berpersatuan. Bagi belia di peringkat usia 15 sehingga 18 tahun mereka perlu digalakkan menyertai beberapa kegiatan berpersatuan yang bermanfaat.
Manakala bagi kelompok belia yang berusia antara 19 sehingga 25 tahun, kebanyakan mereka masih berada di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta.
Di IPT ini, belia perlu didedahkan dengan pelbagai kegiatan yang berguna melalui beberapa pertubuhan dan persatuan. Namun, di sini peranan pentadbir dan ahli pendidik perlu digembleng untuk menyemarakkan pelbagai kegiatan berpersatuan.
Malahan peranan ahli pendidik untuk menterjemahkan kegiatan-kegiatan ilmiah mereka melalui persatuan dengan penglibatan pelajar perlu juga dialu-alukan.
Namun begitu, kelompok belia yang berada di luar bandar yang tidak berjaya memasuki mana-mana IPT atau kurang berjaya dalam pendidikan, tidak boleh terabai begitu sahaja.
Walaupun mereka berada di kampung, semangat berpersatuan dalam mewujudkan perpaduan perlu disemai melalui beberapa kegiatan persatuan belia terutama dalam memberi bimbingan dan tunjuk ajar menerusi latihan dan kemahiran.
Dalam hal ini, peranan institusi kemahiran, badan-badan belia, NGO dan beberapa kementerian terbabit amat diperlukan dalam memberikan penyediaan, pendedahan dan penawaran baru bagi mereka mengikuti beberapa latihan dan kemahiran yang disediakan agar golongan belia ini dapat mengembangkan potensi mereka.
Hal ini penting bukan sahaja mereka dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain tetapi yang lebih penting belia mendapat peluang lebih luas untuk mendapatkan latihan dan kemahiran bagi membangunkan diri menjadi lebih berbakat, berdaya cipta dan cemerlang dalam bidang yang dipilih sekali gus menjauhi daripada kegiatan yang kurang sihat.
Perlulah kita ingat bahawa sumbangan pemikiran dan daya cipta golongan belia ini penting sebagai pemangkin baru ekonomi berasaskan daya cipta yang boleh membantu kerajaan menjana pendapatan untuk pembangunan negara.
Justeru, menyedari golongan belia ini sebagai golongan terpenting dalam menyahut gagasan baru negara, maka belia perlulah memanfaatkan pelbagai kegiatan yang diatur dengan baik agar belia hari ini dapat diperkasakan pada masa depan dengan hakikat kejayaan Satu Belia akan membantu kejayaan bagi Satu Malaysia.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Ekonomi & Kajian Sosial Institut Kefahaman Islam Malaysia.
0 comments:
Post a Comment