Kenapa pihak berkuasa tidak bertindak ke atas ah long?

Kenapa pihak berkuasa tidak bertindak ke atas ah long?

SUNGGUH kejam dan menyayat hati! Itulah kata-kata yang mampu diucapkan apabila melihat gambar-gambar kekejaman ah long terhadap tiga lelaki peminjam yang diseksa tanpa berperikemanusiaan di Utusan Malaysia, semalam.

Ah long bertindak di luar batasan sifat manusia dengan menjadikan sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Selangor sebagai lokap buatan sendiri bagi menahan peminjam yang tidak membayar hutang mereka.

Paling mengejutkan 'lokap' tersebut umpama lokap bagi tahanan Teluk Guantanamo, di Cuba. Ketiga-tiga lelaki tersebut dirantai di leher dan kaki umpama anjing yang ditambat. Inilah kekejaman ah long yang semakin berleluasa.

Sebelum ini, kita selalu mendengar ah long menyimbah cat ke rumah peminjam yang tidak membayar hutang dan mengganggu keluarga mereka. Kini dengan terbongkarnya kes 'lokap ah long' terbuktilah bahawa mereka sanggup buat apa sahaja dan berani melanggar undang-undang seolah-olah mereka amat berkuasa.

Tindakan segera perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini supaya ia tidak menjadi barah yang tidak boleh lagi diubati. Maka, satu perancangan teliti dan pelaksanaan yang berhemah secara holistik perlu dirangka dan dilaksanakan. Perkara paling utama yang perlu difokuskan ialah mencari punca permasalahan ini.

Sudah pasti, faktor utamanya ialah permasalahan hutang di kalangan rakyat Malaysia. Permasalahan hutang ini bukannya hanya berlaku di Malaysia, bahkan krisis ekonomi yang melanda kini yang bermula di Amerika Syarikat (AS) juga berpunca daripada permasalahan hutang.

Statistik di Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia berhutang terutamanya kad kredit berbilion-bilion ringgit. Bank-bank menawarkan pelbagai kaedah dan insentif untuk memberi pinjaman secara kad kredit sehingga memudahkan sesiapa sahaja memperolehi kad itu.

Lantaran penggunaan berlebihan menyebabkan pengguna kad kredit tersebut mencari alternatif lain bagi memperolehi wang untuk membayar hutang. Cara paling mudah ialah melalui ah long. Mudah dan segera! Tanpa perlu penjamin, bakal peminjam hanya sekadar perlu menyertakan salinan bil telefon, bil air atau bil elektrik dan kad pengenalan bagi tujuan ah long mengetahui alamat sebenar rumah bakal peminjam. Selepas itu wang boleh dikeluarkan dengan kadar tidak sampai beberapa minit.

Cuba bayangkan seseorang yang meminjam sebanyak RM250 perlu membayar kembali hutang tersebut sebanyak RM1,000 dalam tempoh sebulan! Inilah jenis perniagaan yang cukup menguntungkan sesiapa sahaja.

Penawaran tidak akan sehebat begini, jika tiada permintaan. Maka permintaan terhadap pinjaman ah long perlu ditangani segera.

Apakah yang menyebabkan golongan peminjam sanggup meminjam wang daripada ah long meskipun dikehendaki membayar dengan kadar yang amat tinggi dan risiko keselamatan bakal diterimanya jika tidak membayar hutang tersebut? Apakah tidak ada cara lain untuk memperolehi sumber kewangan? Jika ada, kenapakah perkara ini terjadi?

Begitu juga dengan persoalan bahawa faktor kos sara hidup yang amat tinggi pada masa kini, membelenggu rakyat Malaysia menyebabkan permintaan terhadap pinjaman ah long meningkat?

Bagaimana pula, ah long dengan sewenang-wenangnya mengiklan dan menampal poster di hentian-hentian bas dan tempat-tempat awam tanpa tindakan diambil? Adakah mereka merupakan pemberi pinjaman yang sah? Jika tidak, kenapakah pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap mereka berpandukan dengan nombor-nombor telefon yang tertera di iklan-iklan tersebut.

Adakah ah long begitu licik dan dilindungi sehinggakan tiada tindakan yang berani dan segera dapat diambil terhadap mereka?

Inilah sebahagian daripada persoalan-persoalan asas yang perlu dijawab dan dirungkai agar permasalahan ini dapat diatasi segera.

Namun, walau apa pun persoalannya, perkara pokok yang perlu diambil tindakan segera ialah kesedaran semua pihak berkaitan dengan pengurusan kewangan peribadi secara berhemah.

Jika ini boleh dilakukan maka permintaan terhadap pinjaman ah long akan berkurangan dengan kadar yang banyak.

Sudah sampai masanya setiap rakyat Malaysia memahami dan menerapkan budaya pengurusan kewangan peribadi yang berhemah. Jika ini dapat diamalkan, sudah pasti permintaan terhadap pinjaman ah long dapat dikurangkan dan tidak mustahil satu hari nanti perniagaan ceti haram atau ah long berkubur bersama-sama dengan kekejaman mereka.

Malaysia.

0 comments: