Acuan baru ekonomi suntik semula momentum KDNK
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
SEPANJANG tempoh lebih 50 tahun selepas merdeka, kisah kejayaan Malaysia dalam pelbagai aspek sama ada dari segi membasmi kemiskinan, menyediakan keperluan asas kepada rakyat, pembangunan infrastruktur selain keupayaan mengekalkan pertumbuhan ekonomi, diakui pada peringkat antarabangsa.
Sepanjang tempoh itu juga ekonomi negara mengalami perkembangan yang amat pesat, iaitu pada purata 6.4 peratus setahun, sekali gus memberi manfaat kepada semua segmen dalam masyarakat. Ketika mula mencapai kemerdekaan, lebih 50 peratus rakyat negara ini dibelenggu kemiskinan.
Bagaimanapun, kadar itu kini berjaya dikurangkan kepada bawah enam peratus. Dalam tempoh itu juga, ekonomi negara berjaya beralih daripada kebergantungan kepada sumber asli seperti bijih timah dan getah kepada industri berorientasikan eksport yang moden dan pelbagai, sekali gus menganjak daripada sebuah negara miskin kepada negara berpendapatan sederhana.
Kejayaan itu bukan sesuatu yang perlu dilupakan kerana ketika mula mengecap kemerdekaan, banyak pihak menjangka kita akan gagal membangunkan negara secara sendirian. Malah negara baru merdeka seperti Ghana, Nigeria, Sri Lanka dan Myanmar dijangka berjaya berikutan memiliki sumber asli yang banyak dan paras pendidikan tinggi.
Kejayaan kita adalah disebabkan kepemimpinan baik yang berani mengambil langkah drastik dan melaksanakan pemikiran di luar kotak.
Bagaimanapun, hari ini kita mungkin perlu mengkaji semula model ekonomi yang membawa kejayaan kepada Malaysia itu. Ini adalah disebabkan sejak 1997, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mulai sederhana iaitu pada kadar purata 4.3 peratus setahun berbanding 9.2 peratus pada tempoh sebelum 1998.
Pada peringkat serantau, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi negara Asean adalah 5.0 peratus setahun selepas krisis kewangan 1997/98, manakala dua ekonomi terbesar Asia Pasifik iaitu India dan China masing-masing pada kadar enam dan 10 peratus setahun.
Agak membimbangkan apabila Malaysia turut ketinggalan dari segi pertumbuhan produktiviti buruh. Selepas 1997, kadar purata pertumbuhan produktiviti buruh di negara ini susut kepada 2.1 peratus berbanding 5.3 peratus sepanjang tempoh sebelum krisis kewangan Asia. Angka itu adalah di bawah kadar purata keseluruhan Asean, India dan China dengan masing-masing pada 3.0, 4.4 dan 9.2 peratus.
Jelas, negara semakin kehilangan momentum pertumbuhan tinggi dan berisiko terperangkap dalam sebanyak negara berpendapatan menengah. Negara juga terancam terbelenggu dalam keseimbangan pertumbuhan rendah, iaitu bukan sebagai negara pengeluar berkos rendah, juga bukan sebagai negara yang berkembang pesat dan bukan negara inovasi bernilai tambah tinggi.
Oleh itu, adalah wajar pemimpin dan penggubal dasar di negara ini memikirkan sesuatu model baru ekonomi yang mampu menangani cabaran itu, sekali gus mampu merangsang semula pertumbuhan.
Pada 2 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan model baru ekonomi berteraskan peningkatan inovasi dan produktiviti pekerja adalah satu tindakan tepat, kerana negara tidak boleh berlengah lagi dalam mencari sumber pertumbuhan baru.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop baru-baru ini menggariskan antara cabaran utama yang perlu diatasi menerusi model baru ekonomi ialah pertamanya, perubahan cara pelaksanaan model perniagaan.
Cara pengendalian perniagaan di negara ini perlu diubah kerana walaupun Malaysia kini sudah menjadi negara berpendapatan sederhana tinggi, model perniagaan yang diguna pakai sebahagian besar komuniti perniagaan masih lagi ketinggalan.
Keduanya, pendekatan yang mampu menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) berikutan persaingan yang semakin sengit khususnya di kalangan negara Asia.
Sekitar era 1980-an, Malaysia tidak berdepan masalah besar merebut dan menarik FDI, namun landskap pelaburan global kini sudah berubah dengan tidak hanya menyaksikan persaingan sengit dari negara ekonomi baru muncul gergasi seperti China dan India, malah di kalangan negara Asean pun keadaannya semakin mencabar.
Malaysia kini terletak di tengah iaitu di antara negara berkos rendah seperti Vietnam dan Indonesia serta negara yang bernilai tambah tinggi seperti Singapura. Oleh itu, negara berdepan dengan bersaingan dari pelbagai sudut.
Kuasa ekonomi global juga kini semakin berubah dengan kemunculan China, India dan negara Asia Barat, justeru Malaysia perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan hubungan perdagangan di kalangan negara Asia yang menjadi pusat perdagangan dunia ketika ini.
Keterbukaan hubungan antara negara ekoran globalisasi adalah perkara yang sukar dielakkan. Susulan itu juga perpindahan modal kewangan dan modal insan menjadi semakin mudah, justeru negara memerlukan strategi baru dalam usaha menarik kemasukan modal luar, di samping mengekalkan yang sedia ada.
Kesimpulannya, dunia sudah berubah dan sudah tiba masanya model ekonomi negara juga turut diubah kerana negara kini berada pada kedudukan kritikal dan jika tidak bertindak sekarang, ia akan memberi kesan bagi tempoh beberapa dekad akan datang.
Usaha untuk mencapai negara maju menjelang 2020 perlu diteruskan walaupun kita sudah agak ketinggalan. Sesuatu perlu dilakukan dengan segera untuk meningkatkan pertumbuhan KDNK pada kadar 7.5 peratus setahun dan meningkatkan taraf hidup semua segmen masyarakat di negara ini.
Sasaran itu sukar dicapai apatah lagi kerajaan semalam menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK bagi tahun ini daripada antara - 1 peratus hingga positif 1 peratus kepada - 4 peratus hingga - 5 peratus, setelah ia ekonomi negara menguncup 6.2 peratus bagi suku pertama tahun ini.
Memang sasaran itu sukar, jika kita terus leka dan gagal memberi nafas baru kepada ekonomi untuk mencapai lonjakan pertumbuhan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan akan jauh ketinggalan berbanding negara jiran Asia lain.
0 comments:
Post a Comment