Sampai bila harus menagih simpati?
Oleh ZAINAL ABIDDIN MASLEH
SIKAP pemurah masyarakat kadangkala menjadi 'lubuk dan lombong' kepada pihak-pihak tertentu yang mengeksploitasi keadaan itu bersandarkan nama agama.
Golongan itu mengeksploitasi ruang ini dengan menggunakan hujah dan helah yang meratap dan meruntun hati kecil kita sehingga wujudnya perasaan belas kasih dan serba salah. Mengapa begitu aibnya masyarakat Islam sehingga meminta-minta dan menagih simpati untuk melaksanakan sesuatu projek atau pembangunan.
Saban hari kita melihat terpacaknya tabung-tabung derma yang diletakkan di pintu bank, pasar raya, pasar malam, gerai dan restoran. Orang yang dipertanggungjawabkan sudah semestinya berpakaian dan penampilan seperti 'orang alim' dengan songkok atau ketayap di kepala dan jika perempuan, tudung dan jubah semacam kemestian.
Pastinya tertera tulisan di tabung dengan perkataan tabung untuk rumah anak yatim, tabung untuk maahad tahfiz, tabung untuk membina masjid dan pelbagai lagi. Tidak ketinggalan surat sokongan dan kelulusan oleh pihak berkuasa, entah benar atau sebaliknya.
Penulis tidak mempertikaikan kerana pasti ada yang betul-betul ikhlas, tetapi sekadar "pelik bin ajaib" jika difikirkan kenapa begitu rendahnya maruah kita. Begitu juga penggunaan kanak-kanak untuk mengutip derma untuk rumah anak yatim dan sekolah tahfiz.
Mereka berkeliaran di pasar-pasar raya, kedai makan, stesen minyak, pintupintu bank dan pelbagai tempat lagi dengan bermodalkan sebotol minyak sapuan mahupun kalendar Islam. Alasan yang diberi ialah usaha itu merupakan salah satu keperluan dalam pengajian, baik sebagai aktiviti luar kelas atau manisnya lagi disebut aktiviti 'rakan niaga' dan sebagainya.
Kenapa begini keadaannya? Kadangkala kanak-kanak itu sudah 'bertugas' dari awal pagi hingga ke malam. Apakah mereka tidak bersekolah? Mengapa mereka perlu dididik menjadi seperti peminta sedekah?
Sepatutnya mereka memberi tumpuan terhadap pelajaran dan bagaimana boleh belajar jika badan letih meminta sedekah. Kita tidak mahu buruk sangka, tetapi penulis pernah mengajukan soalan kepada kanak-kanak ini: "Siapa yang hantar, kenapa perlu lakukan kerja ini, tak pergi sekolahkah?" Jawapan yang diberikan seolah-olah mereka 'dikawal' dan sering kali jawapan sukar diterima akal sedangkan sistem pengajian dan pendidikan kita tidaklah sekejam ini.
Adakah mereka takut? Wujudnya pelbagai rumah kebajikan untuk anak-anak yatim yang diusahakan oleh pihak-pihak tertentu sudah semestinya amat dipuji dan moga amalan sentiasa diberkati. Namun usaha perlu digembleng agar pengurusan lebih sistematik dan terancang.
Janganlah kanak-kanak ini dijadikan bahan untuk mencari dana atas nama perniagaan ataupun sumber kewangan. Kepada pihak-pihak yang ingin mendirikan surau, masjid mahupun maahad tahfiz buatlah dengan lebih terancang. Pemantauan oleh pihak berkuasa perlu lebih telus dan tulus. Turunlah ke padang, lihatlah kepayahan, dengarlah rintihan dan bantulah mereka seadanya.
Masyarakat sekarang bijak menilai bukannya menerima dan mengangguk semata-mata. Ke manakah perginya golongan elit dan berada, tokoh-tokoh agama yang bijak berbicara, politikus yang petah berhujah, pakar-pakar motivasi yang pandai bermain kata serta mereka yang menjaga dana-dana Islam?
0 comments:
Post a Comment