Hentikan demonstrasi kaum

Hentikan demonstrasi kaum


Sebahagian penunjuk perasaan yang mengikuti perhimpunan haram di Batu Caves, kelmarin.


CUBA bayangkan senario berikut; hari ini sekumpulan orang Melayu mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan Thailand ke atas puak pemisah Islam di selatan Thailand. Esok pula, sekumpulan penganut Islam mengambil tindakan yang sama bagi menyokong perjuangan puak pemisah di selatan Filipina. Lusa, satu lagi kumpulan Islam mengadakan protes membantah tindakan dunia memerangi Al-Qaeda.

Persoalannya, wajarkah tindakan seumpama itu? Kalaulah semua kaum di negara ini mahu mengadakan demonstrasi berdasarkan sentimen kaum dan agama masing-masing di seluruh dunia, tidak kira mereka itu pengganas atau tidak, apa yang akan berlaku kepada Malaysia?

Jadi, adalah tidak wajar sekelompok penyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tetap meneruskan perhimpunan di Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves, kelmarin walaupun diberi amaran oleh pihak polis agar tidak berbuat demikian.

Lebih dikesalkan, turut hadir memberi ceramah ialah Timbalan Menteri Wilayah, Datuk M. Saravanan; Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam dan Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran.

Tindakan kumpulan berkenaan menghadiri perhimpunan anjuran World Tamil Relief (WTR) itu adalah jelas cuba mencabar undang-undang negara.

Mungkin mereka akan memberikan pelbagai alasan tetapi tindakan mengadakan perhimpunan yang awalawal lagi sudah diberikan amaran supaya tidak diadakan, membuktikan perkara itu.

Atas sebab itu, pihak polis tidak harus bertolak ansur dengan kumpulan tersebut, biarpun seorang timbalan menteri terlibat. Apa yang pasti tindakan tegas harus diambil supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan perasaan perkauman secara membuta-tuli di negara ini.

Sebenarnya, tidak salah untuk kumpulan berkenaan melahirkan simpati kepada nasib penduduk Tamil di Sri Lanka. Malah kerajaan Malaysia pun turut menghulurkan bantuan kira-kira AS$100,000 bagi membantu kerajaan Sri Lanka menguruskan penduduk yang terpaksa menjadi pelarian akibat usaha memerangi pemberontakan LTTE itu. Tetapi tindakan secara terang-terangan menyokong LTTE adalah jelas bermotifkan perkauman.

Ini kerana anggota LTTE adalah berketurunan Tamil. Apakah kerana ia berketurunan Tamil maka sokongan harus diberikan biar pun mereka pemberontak? Kalau itulah sudut yang dilihat, bagaimana jika ada orang Melayu Islam di negara ini turut menyokong perjuangan Al-Qaeda atau puak pemisah di selatan Thailand atau selatan Filipina? Malah umat Islam turut mengadakan demonstrasi membantah kekerasan oleh polis India ke atas penduduk Islam di Kashmir?

Tidakkah kumpulan yang mengadakan demonstrasi di Batu Caves itu memahami betapa LTTE dalam melaksanakan agenda mereka turut menyingkirkan penduduk Islam yang kini menjadi pelarian?

Penulis pernah membuat liputan konflik ini pada awal 1996. Penulis berkesempatan bertemu dengan ribuan penduduk Islam dari wilayah yang dikuasai oleh LTTE. Mereka terpaksa menjadi pelarian. Kalau tidak berbuat demikian mereka akan dibunuh oleh puak pemberontak tersebut.

Begitu juga dengan tindakan ganas LTTE melakukan serangan berani mati ke atas penduduk Sri Lanka yang tidak berdosa. Apakah ia dianggap tindakan yang mulia oleh puak yang berdemonstrasi di Batu Caves itu?

Justeru tidak usahlah mereka melihat daripada sudut perkauman yang sempit. Bukan sahaja kerajaan Sri Lanka malah mana-mana kerajaan tidak akan membenarkan pemberontak bermaharajalela.

Lihat sahaja kejayaan Republik Indonesia menamatkan perjuangan Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Sepanjang tempoh berkenaan ribuan rakyat negara itu terbunuh tetapi ia berakhir dengan perjanjian damai.

Ketika itu, tidak ada pula orang Islam di negara ini mengadakan demonstrasi bagi membantah tindakan kerajaan Indonesia menamatkan perjuangan GAM itu.

Justeru penulis melihat adalah wajar jika pihak berkuasa tidak membiarkan kewujudan atau aksi demonstrasi berasaskan kaum ini terus berkembang di negara ini.

Kita bimbang selepas ini akan ada pihak lain pula turun ke jalanan untuk mengadakan demonstrasi untuk tujuan yang sama.

Selain itu, pucuk pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) juga perlu meminta penjelasan Saravanan kenapa beliau bertindak melanggar perintah polis dengan menghadiri perhimpunan haram tersebut.

Beliau berada dalam kerajaan, justeru tidak wajar beliau berbuat demikian, apatah lagi ia menyentuh isu membabitkan hal ehwal dalaman negara lain.

Apa yang menghairankan, kenapa sejak kebelakangan ini, MIC terlalu beria-ia apabila ada isu berkaitan kaum Tamil, biarpun kadangkala apa yang mereka suarakan itu bertentangan dengan dasar kerajaan.

Namun tidak kiralah apa pun motifnya, yang pasti demonstrasi yang berlaku di Batu Caves itu tidak harus dibiarkan berulang kerana di situlah juga kumpulan haram Hindraf mengadakan demonstrasi pertama mereka.

Hindraf adalah kumpulan ekstremis kaum. Jadi kita tidak boleh biarkan kumpulan seumpama itu wujud di negara ini.

Kalau WTR benar-benar hendak membantu penduduk Tamil di Sri Lanka yang menjadi pelarian atau mangsa perang saudara di sana, mereka boleh melancarkan tabung bagi mengutip derma di kalangan masyarakat India di negara ini. Penulis yakin ramai yang akan tampil memberi sumbangan, bukan sahaja di kalangan penduduk Tamil tetapi semua kaum atas dasar kemanusiaan.

Oleh itu hentikan tindakan sia-sia dengan terpekik-terlolong di jalanan. Gunakanlah cara yang lebih bijak bagi melahirkan tanda simpati kepada penduduk Tamil Sri Lanka. Pasti ada caranya. Kecualilah sekiranya kumpulan itu mempunyai niat lain iaitu menyokong puak pengganas LTTE.

Apa pun kita menanti tindakan susulan daripada pihak polis yang sudah pun mula menjalankan siasatan ke atas WTR dan berharap tindakan tegas dilakukan demi menjaga keharmonian kaum di negara ini.

0 comments: