Minda Pengarang : Tiada tempat buat golongan pelampau di negara ini

Minda Pengarang : Tiada tempat buat golongan pelampau di negara ini


KEMUNCULAN pertubuhan haram dikenali dengan nama Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) pada akhir 2007, yang mengadakan pelbagai kegiatan yang dilihat boleh mencetuskan pergeseran antara kaum tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat majmuk di negara ini. Mereka bukan setakat mengadakan demonstrasi jalanan atas alasan ingin memperjuangkan hak kaum India di negara ini tetapi turut mencemarkan nama baik negara dengan menghantar memorandum kepada Kerajaan Britain dan membuat pelbagai tuduhan terhadap Kerajaan Malaysia dan penduduk beragama Islam apabila mendakwa kononnya rakyat keturunan India dipinggirkan dan berlaku `pembersihan etnik' di negara ini. Sesetengah wakil Hindraf juga berada di luar negara termasuk India untuk meminta bantuan dan mendakwa mereka ditindas di negara ini. Pada 1 Oktober tahun lalu, mereka bertindak kurang ajar apabila menyerbu Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet beragama Islam di ibu negara. Mereka bukan datang untuk bersalam dan mengucapkan Selamat Hari Raya tetapi menggunakan majlis hari mulia serta untuk bermaafan bagi umat Islam itu bagi mendesak lima pemimpinnya dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pucuk kepemimpinan negara baru-baru ini, kerajaan membebaskan 26 tahanan ISA termasuk lima pemimpin Hindraf dalam dua kumpulan berasingan.

Bagaimanapun setelah dibebaskan, Penasihat Undang-undang Hindraf, P Uthayakumar mendakwa penahanannya sejak Disember 2007 tidak mengikut undang-undang dan tiada sebab beliau perlu berterima kasih kerana tidak melakukan kesalahan. Uthayakumar juga tidak menghadiri perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA seperti yang ditetapkan sebelum pembebasannya kerana mendakwa Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan menetapkan setiap rakyat hidup bebas tanpa sebarang sekatan. Seorang lagi pemimpin Hindraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan pula menegaskan beliau tidak akan mematuhi syarat ditetapkan polis sebelum dibebaskan dari ISA. Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang kini tinggal di luar negara, turut mengugut kerajaan supaya menarik balik arahan mewajibkan abangnya, Uthayakumar menghadiri sesi perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA atau sekali lagi berdepan dengan protes jalanan di seluruh negara.

Berdasarkan ugutan itu serta sejarah Hindraf sejak 2007 dan tindak-tanduk pemimpinnya terus membuat kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan negara, maka kerajaan perlu bertindak lebih tegas. Kita percaya majoriti rakyat negara ini menyokong jika pihak berkuasa sekali lagi menahan individu seperti itu mengikut ISA. Majoriti rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan agama tetapi cintakan keamanan dan perpaduan, tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kumpulan dan individu seumpama itu. Tiada tempat bagi mereka yang bersikap melampau di negara ini yang tidak tahu erti berterima kasih, malah cuba mengeruhkan lagi suasana keharmonian apatah lagi dalam keadaan politik dan ekonomi yang tidak stabil. Bukan saja pemimpin Hindraf, malah sesiapa saja yang mengancam keselamatan negara perlu ditahan demi kepentingan rakyat dan negara.

0 comments: