Kesan ekonomi pada kanak-kanak

Kesan ekonomi pada kanak-kanak

Di Amerika Syarikat, ramai kanak-kanak pada usia semuda 10 tahun terpaksa bekerja untuk membantu menyara keluarga mereka.


DENGAN tujuan membantu keluarganya, Demetri Wolfe-Maris bekerja mengira duit syiling.


KRISIS ekonomi yang melanda masa kini bukan hanya memberi impak yang besar kepada golongan dewasa di Amerika Syarikat (AS), malah kanak-kanak turut merasai tekanannya.

Demetri Wolfe-Maris, yang baru berusia 10 tahun menjadi antara contoh kanak-kanak yang terpaksa bekerja.

"Dia bekerja mengira duit syiling dengan jiran kami. Mendapat RM18 sejam, anak saya berasa bangga kerana tidak perlu meminta wang daripada saya," kata ibu kanak-kanak itu, Abebi Wolfe, 34, yang telah menganggur sejak setahun lalu.

Pada bulan lalu, selepas Demetri mengetahui ayahnya tidak tinggal bersama keluarga itu dan kehilangan pekerjaannya, kanak-kanak yang belajar di gred lima itu pergi bertemu kaunselor di sekolahnya.

"Kaunselor tersebut memberitahu kami bahawa Demetri datang dengan hati yang berat dan berkata beliau mahu mendapatkan pekerjaan untuk membantu keluarganya," ujar Wolfe.

Kanak-kanak itu telah merancang segala-galanya. Dia akan pergi ke restoran McDonald's yang terletak enam blok dari rumahnya kerana yakin mampu menyediakan burger dan kentang goreng yang terbaik.

Tetapi pada usia yang menghampiri 11 tahun, kaunselor tersebut menjelaskan kepada kanak-kanak itu, bahawa di bawah undang-undang AS, Demetri terlalu muda untuk bekerja.

Di bandar Pueblo, Colorado yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk kelas pertengahan, seorang kaunselor sekolah, Nancy menganjurkan satu kutipan dana untuk membantu empat adik-beradik yang berusia antara lima hingga 10 tahun selepas beliau sedar mereka datang ke sekolah dalam kelaparan dan penat.

"Ibu mereka kehilangan kerja dan kanak-kanak tersebut terpaksa berjaga sehingga lewat malam untuk membantu beliau membuat barangan yang akan dijual bagi membeli makanan.

"Saya mendapatkan sumbangan wang daripada orang ramai dan kami membeli mereka barangan rumah untuk sebulan. Sumbangan ini cukup untuk membantu mereka sehingga ibu kanak-kanak itu mendapat pekerjaan baru," kata Nancy.

Pada satu perkembangan lain, katanya, semakin ramai kanak-kanak mengambil peluang sarapan percuma di bawah sistem sekolah awam di Pueblo.

"Ramai kanak-kanak mendapat tamparan hebat ekoran krisis ekonomi ini. Ia sesuatu yang mengejutkan...,sedangkan AS merupakan salah sebuah negara terkaya dunia," ujar Nancy.

Menurutnya, dalam era maklumat pantas serta mempunyai capaian laporan media terhadap peningkatan kadar pengangguran dan kepayahan hidup masa kini, kanak-kanak kini sedar tekanan yang dialami oleh keluarga masing-masing.

"Demetri yang menonton berita dan terdengar mengenai statistik pembuangan pekerja, tidak benar-benar memahami apa yang dimaksudkan.

"Apa yang dia faham adalah dua insan yang paling dikasihinya telah kehilangan pekerjaan," kata Wolfe.

"Kanak-kanak mampu merasakan bahawa diri mereka turut bertanggungjawab terhadap tekanan yang dialami oleh ibu bapa di rumah apabila mereka kehilangan pekerjaan," kata pula Wendy Blome, seorang profesor di Pusat Pengajian Perkhidmatan Sosial, Universiti Catholic, Washington.

"Kebimbangan kanak-kanak yang lebih besar mungkin dapat dilihat dalam cara berbeza seperti mereka berkata, 'Saya akan mendapatkan kerja atau kita akan berjimat," katanya.


PENINGKATAN tahap tekanan di rumah akibat kegawatan ekonomi masa kini mempengaruhi emosi kanak-kanak di Amerika Syarikat.


Diamond Patterson, 16, baru-baru ini mendapat pekerjaan separuh masa di tempat permainan kanak-kanak dan restoran di kawasan subbandar Washington.

"Keadaan ekonomi semakin teruk. Ibu saya perlu menjelaskan bil-bil yang ada dan saya mahu membantunya sebaik mungkin, sungguhpun ibu sering menegaskan bahawa satu-satunya tugas saya adalah pergi ke sekolah," kata remaja itu.

Terdapat juga remaja yang berhenti terus dari sekolah sungguhpun diploma sekolah tinggi merupakan syarat minimum untuk 'memastikan kejayaan masa depan' dalam zaman kesuraman ekonomi ini, menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Pendidikan Penyelidikan dan Polisi Rennie.

Laporan tersebut, yang melihat kadar pemberhentian sekolah di wilayah timur laut Massachusetts di mana satu dalam lima pelajar tidak melengkapkan pembelajaran di sekolah menengah, berkata, sebab yang sering kali diberikan oleh pengetua terhadap mengapa pelajar tersebut berhenti sebelum mendapatkan diploma mereka adalah 'isu rumah atau keluarga'.

"Maksud sebenar pengetua-pengetua itu adalah remaja tersebut terpaksa berhenti sekolah kerana mereka perlu membantu menyara keluarga masing-masing," kata Jill Norton, Pengarah Eksekutif Pusat Rennie.

Blome juga berkata, ekonomi yang semakin teruk ini juga bermakna kanak-kanak berada pada risiko yang lebih besar terhadap penderaan dan diabaikan oleh keluarga mereka.

"Kita tahu dari segi sejarah, penderaan dan pengabaian kanak-kanak biasanya seiring dengan kadar pengangguran," katanya.

Sungguhpun kesan perkara tersebut tidak dapat dilihat pada masa ini, Bloom menambah, ia masih menjadi satu kebimbangan yang besar. - AFP

0 comments: