Oleh Azman Zakaria
azmanz@bharian.com.my
PERTEMUAN Najib dan Hsien Loong buka lembaran baru. |
HUBUNGAN Kuala Lumpur-Singapura, yang selama ini sering berdepan pelbagai hambatan ekoran isu yang sebahagiannya boleh disifatkan sebagai 'duri dalam daging', kini melalui transformasi baru selepas kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke republik berkenaan.
Lawatan sulung Najib ke Singapura Khamis dan Jumaat lalu, selepas menjawat jawatan Perdana Menteri awal April lalu, membawa dan membuka harapan baru dalam hubungan dua negara berjiran ini ke arah membentuk kerjasama lebih erat.
Dalam pertemuan empat mata kira-kira 45 minit dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsein Loong dan disusuli mesyuarat anggota delegasi kedua-dua negara juga kira-kira 45 minit, pelbagai isu yang menjadi hambatan dibincang untuk dirungkai.
Malah dalam tempoh 90 minit itu juga, kedua-dua negara pada dasarnya mencapai persetujuan bersama dalam banyak hal - pembinaan jambatan ketiga, mewujudkan kawasan atau pusat kesihatan besar di Iskandar Malaysia, serta pengwujudan kawasan pembangunan bercampur-campur merangkumi kawasan perindustrian, penempatan dan komersial di Iskandar Malaysia, yang kesemuanya akan diteliti dan dikaji lebih lanjut.
Kedua-dua negara turut bersetuju berusaha menyelesaikan isu legasi yang sekian lama tertunggak termasuk 'points of agreement' (POA); manakala Malaysia mahu kekerapan penerbangan terutama penerbangan kos murah kedua-dua negara ditambah, dan Singapura pula mahu membuka pejabat konsulat di Johor Bahru.
Persetujuan dalam banyak perkara ini berupa permulaan yang memberi harapan lebih besar dalam peningkatan hubungan dua hala, terutama dalam usaha merintis pelaksanaan POA yang dipersetujui 18 tahun lalu, yang selama ini menjadi kekangan dalam hubungan Malaysia-Singapura.
Matlamat yang dicari dalam pelaksanaan POA ialah mewujudkan 'situasi menang-menang' bagi kedua-dua belah pihak, dengan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman akan melakukan intepretasi bagi pelaksanaan POA dan di pihak Singapura oleh Menteri Luarnya, George Yeo.
POA itu adalah berkaitan pembangunan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad di republik terbabit, yang ditandatangani pada November 1990 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Selain itu, isu legasi atau tertunggak pula membabitkan isu bekalan air mentah Malaysia ke Singapura dan pengeluaran caruman dari Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) oleh pekerja dari Semenanjung Malaysia.
Penyelesaian kepada POA ini sememangnya sukar yang dapat dilihat sendiri kerana sejak ditandatangani 18 tahun lalu, pelaksanaannya menghadapi jalan buntu. Kesukaran penyelesaiannya diakui Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura, dengan masing-masing menyatakan jika ia sesuatu yang mudah, sudah tentu sudah lama dapat diselesaikan.
Dalam hal ini Najib berkata: "Ini sesuatu yang kita (Najib dan Hsein Loong) warisi... ia sudah berlarutan 18 tahun, satu tempoh yang terlalu lama. Tidak wajar ia tidak diselesaikan, kita tidak boleh tunggu 18 tahun lagi untuk menyelesaikannya... ini menjadi kekangan kepada peningkatan hubungan Malaysia-Singapura."
Namun, kesediaan Najib dan Lee berbincang mengenainya memperlihatkan kesungguhan kedua-dua pemimpin untuk mempertingkatkan lagi hubungan, dan juga berupa permulaan baik yang membawa sinar baru ke arah penyelesaiannya.
Harapan supaya hubungan kedua-dua negara bergerak ke depan secara lebih produktif dan membina, diperkuatkan dengan cadangan oleh Najib supaya jambatan baru di timur Johor dibina sebagai laluan penghubung ketiga antara kedua-dua negara, iaitu selepas jambatan sedia ada di Tambak Johor dan antara Tanjung Pelepas dan Tuas, di Singapura.
Cadangan pembinaan jambatan ketiga di Pengerang atau Desaru itu, berupa langkah jangka panjang dan sederhana bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara, disambut baik oleh Lee dan kedua-dua pemimpin bersetuju supaya sebuah jawatankuasa bersama menjalankan kajian lanjut mengenainya.
Pembinaan jambatan itu, pastinya akan menjadi pemangkin kemajuan Pengerang dan Desaru serta kawasan sekitarnya yang mempunyai potensi besar untuk maju.
Begitu pun, pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, buat masa ini tidak akan menjadi kenyataan. Isu pembinaan jambatan itu pernah mewujudkan ketegangan hubungan kedua-dua negara pada masa lalu, dengan Malaysia ketika itu membina jambatan di sebelah Johor sehinggalah Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkannya pada 2006.
"Saya tidak mahu melalui perjalanan sama dan berdepan masalah seperti sebelum ini... berakhir dengan masalah atau kekecewaan," kata Najib.
Justeru, melalui perbincangan antara Najib dan Lee tempoh hari, Tambak Johor yang sedia ada, buat masa ini akan tetap kekal tetapi akan melalui proses penambahbaikan dan pembesaran, seperti menambah laluan kenderaan, laluan keretapi atau membina Transit Aliran Ringan (LRT).
"Pada masa ini tidak ada cadangan membina jambatan lurus atau bengkok menggantikan Tambak Johor. Kita perlu faham untuk membina jambatan baru di situ memerlukan persetujuan dan kerjasama Singapura.
"Saya berpendapat sukar bagi mereka membuat justifikasi membina jambatan baru menggantikan Tambak Johor tetapi mereka mahu membesarkannya seperti membina LRT," kata Najib.
Kuala Lumpur dan Singapura turut memberi komitmen dalam menjadikan Iskandar Malaysia di Johor sebagai model atau 'show case' peningkatan hubungan dua hala, dengan dua projek bersifat ikonik akan menjadi mercu tanda hubungan itu.
Dalam hubungan ini, Najib mencadangkan supaya diwujudkan kawasan atau Pusat Kesihatan yang merangkumi rawatan perubatan homeopati dan spa untuk kemudahan rakyat kedua-dua negara serta rakyat negara lain yang berkunjung.
Lee pula mencadangkan idea itu diperluaskan dengan diwujudkan sebuah bandar baru melalui pembangunan bercampur merangkumi kawasan penempatan, komersial dan perindustrian, yang mengambil kira kemungkinan beberapa pelabur di Singapura dipindahkan ke Iskandar Malaysia.
Perkara ini akan dikaji dan diteliti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di pihak Malaysia, manakala di pihak Singapura pula oleh Menteri Pembangunan Negara Singapura, Mah Bow Tan dan Menteri Pengangkutan, Raymond Lim.
Sebagai satu isyarat kepada pengukuhan hubungan dua negara berjiran ini, Malaysia turut bersetuju untuk Singapura membuka sebuah pejabat konsulat di Johor Bahru bagi memberi keselesaan kepada rakyat negara itu sekiranya berdepan masalah ketika di Johor Bahru, dengan merujukya kepada pejabat konsulat itu.
"Ia tidak merugikan Malaysia... ia adalah isyarat bahawa Malaysia inginkan Singapura lebih yakin dan lebih selesa dalam membuat urusan di Malaysia," katanya.
Kedua-dua negara juga akan mempertingkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan, dan Lee menghargai tindakan anggota keselamatan Malaysia yang berjaya memberkas pemimpin Jemaah Malaysia (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, baru-baru ini di Johor selepas pemimpin JI itu melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road, Singapura 27 Februari lalu.
Bermula daripada lawatan sulung Najib ke Singapura ini selepas memegang jawatan Perdana Menteri, hubungan kedua-dua negara jelas menggambarkan transformasi, dengan Singapura menamakan sejenis bunga anggerik kacukan 'Dendrobium' sebagai 'Dendrobium Najib Rosmah' sempena lawatan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke Taman Anggerik, Kebun Bunga Singapura.
Lee turut mengundang Najib untuk 'retreat' di Singapura tahun ini.
Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Johor
0 comments:
Post a Comment