Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
KUALA LUMPUR: Wanita Indonesia yang menelan kad SIM telefon bimbit, dipercayai mengandungi maklumat yang dapat membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, dikatakan tidak mahu makan bagi mengelak membuang air besar.
Suspek yang ditahan di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak Sabtu lalu, dipercayai bertindak demikian kerana tidak mahu objek yang dikesan di dalam perutnya, dipercayai kad SIM itu, keluar apabila membuang air besar.
Sumber memberitahu Berita Harian, keadaan itu menyebabkan pihak hospital masih gagal mengeluarkan kad SIM itu untuk diserahkan kepada polis.
Wanita terbabit, satu-satunya yang masih direman polis berhubung kes Nurin, sebelum ini juga dilaporkan enggan makan sejenis ubat bagi memudahkan objek berkenaan dikeluarkan melalui pembuangan air besar.
Suspek ditahan bersama dua telefon bimbit dan empat kad SIM di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Wanita itu bagaimanapun dikatakan menyorok satu lagi kad SIM di bawah lidah sebelum menelannya ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Majistret di sini untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya.
Pemeriksaan x-ray ke atas wanita terbabit di Unit Pengimejan Bio Perubatan, PPUM, Isnin lalu, mengesan objek berbentuk segi empat bersaiz kecil yang menyamai bentuk kebanyakan kad SIM di pasaran tempatan.
Difahamkan, PPUM memberi keutamaan mengeluarkan kad SIM melalui pembuangan air besar berbanding cara lain, seperti pembedahan.
Sumber itu berkata, wanita Indonesia terbabit yang masih menggunakan kerusi roda, dikawal ketat pegawai polis.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata polis masih menjalankan siasatan rapi kes Nurin.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada polis sudah mendapat maklumat mengenai seorang lelaki dan wanita yang lakaran wajah mereka disiarkan media bagi membantu siasatan kes penderaan seksual dan pembunuhan kejam Nurin.
“Saya tidak mahu beri apa-apa ulasan mengenainya, kita sedang siasat,” katanya.
Lelaki dengan ketinggian kira-kira 168 sentimeter (sm) dan berusia antara 35 hingga 40 tahun itu, dikatakan mencari bilik sewa sekitar Bangsar untuk dihuni bersama anak perempuannya, beberapa hari sebelum mayat Nurin ditemui dalam sebuah beg di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 17 September lalu.
Wanita berumur dalam lingkungan 20-an dengan ketinggian 153 sm pula dilihat berdekatan beg Diadora bersaiz 35sm yang mengandungi mayat mangsa pada petang Ahad, iaitu sehari sebelum mayat mangsa ditemui. Ketika itu dia berpakaian baju merah.
0 comments:
Post a Comment